Transformasi pengajian tinggi
Utusan Online
Oleh: NORDIN KARDI
Universiti di Malaysia kerap kali memperjuangkan kepentingan fakulti, jabatan, program pengajian dan lebih jauh lagi mengenai mata pelajaran masing-masing. Kadangkala para pentadbir akademik menghadapi jalan buntu bagaimana harus kepentingan-kepentingan nipis itu dapat disatukan semula menjadi kepentingan besar dan bersama. Ahli akademik pula membina dunia dan meletakkan peraturan kepada ahlinya supaya jangan keluar dari dunia itu.
Dunia itu selalunya dibina berdasarkan latihan formal purata satu setengah tahun untuk sarjana atau purata tiga tahun setengah untuk doktor falsafah yang kemudian menentukan corak hidup seorang ahli akademik puluhan tahun selanjutnya. Calon ditetapkan supaya mengajar, menyelidik, menulis, memberi khidmat masyarakat dan memberi rundingan profesional dalam dunia itu sahaja. Jika dia keluar, maka akan ada tukang sibuk menyemak dan mempersoalkan kenapa ahli akademik itu bekerja di luar dunianya. Seorang yang mempunyai Doktor Falsafah mungkin akan gagal dalam temu duga atau tapisan untuk menjadi seorang Profesor Penuh Gred Khas C jika dia didapati oleh panel pemilih sebagai telah tidak mengajar, menyelidik, menulis dan pelbagai lagi dalam bidang pengkhususan Doktor Falsafahnya dahulu.
Hal ini dipertahankan oleh banyak ahli akademik yang telah berkedudukan dengan mengatakan itulah tradisi ilmu. Mungkin itu benar pada kurun ke-19 tetapi ia mungkin tidak benar lagi dalam kurun ke-21 ini. Apabila diteliti amalan universiti ternama di dunia, tradisi itu telah tidak dipegang lagi. Saya pernah berjumpa dan berkenalan dengan beberapa profesor (bukan seorang!) dari universiti yang selalu disebut sebagai universiti nombor satu di dunia yang tidak memenuhi kriteria profesor universiti di Malaysia itu.
Ada yang ijazah pertamanya dalam bidang bahasa dan linguistik kemudiannya meneruskan pengajian lanjutannya dalam bidang lain dan sekarang dia menduduki profesor dalam bidang teknologi maklumat. Yang lain pula mempunyai ijazah doktor falsafah dalam bidang sejarah tulen dan sekarang menduduki Profesor Berkerusi Unggul dalam bidang pemasaran di fakulti pengurusan terunggul di dunia. Seorang lagi berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan sekarang profesor dalam bidang pengurusan sumber manusia yang teori dan bukunya menjadi pakaian di seluruh dunia.
Saya menekankan perkataan ‘berkerusi’ di sini untuk membezakannya dengan amalan Gred Gaji Khas C di Malaysia. Imbuhan dan prestij profesor berkerusi di negara maju berbeza antara satu kerusi dengan kerusi yang lain berbanding gred khas C di Malaysia yang menyeragamkan gred gaji dan taraf profesor dalam apa jua bidang. Untuk makluman awam, berdasarkan skim akademik ini, secara hakikinya tidak ada seorang pun profesor berprestij di universiti awam di Malaysia! Asalkan mereka menjadi profesor, semua mereka jadi sama sahaja, tidak lebih tidak kurang. Yang ada, mungkin profesor senior kerana lama pada kedudukan mata gaji profesor atau pada Gred B dan A (bukan pun turus!). Jika pun ada profesor berkerusi dan pemegangnya profesor tempatan, imbuhannya akan diselaraskan dengan gred-gred tersebut.
Apakah kaitan profesor berkerusi dengan isu yang hendak diketengahkan? Sekali lagi kaitannya ialah sama ada yang berprestij itu ialah dunia akademik tertutup atau dunia akademik terbuka dan merentas bidang? Di Harvard, misalnya, terdapat dua jenis profesor, iaitu profesor bidang dan profesor universiti. Mungkin terdapat ribuan Profesor Bidang yang tidak pula diikat oleh bidang pengajian dan penyelidikan PhDnya tetapi ada beberapa kerat sahaja yang dipanggil Profesor Universiti. Yang jelas Profesor Universiti lebih tinggi prestijnya daripada profesor bidang. Hanya calon yang telah membuktikan keunggulan merentas bidang sahaja boleh berhajat untuk diangkat ke taraf itu.
Maksudnya, seorang profesor fiqah tidak mungkin menjadi profesor universiti jika dia tidak keluar dari dunia itu dengan mengungguli (pengajaran, penulisan, perkhidmatan masyarakat dan perundingan profesional). Begitu juga dunia usuluddin, bahasa dan sebagainya. Ringkasnya, universiti ternama memberi prestij kepada mereka yang berupaya keluar daripada penjara tesis PhDnya dan merentas serta menguasai pelbagai dunia lain.
Banyak penulis, yang antaranya termasuk David De Long (1997) yang menulis untuk Center for Business Innovation, Ernst and Young, percaya bahawa banyak inisiatif baru dalam dunia ilmu pengetahuan dibantutkan oleh budaya aktivis ilmu itu sendiri. Oleh itu katanya, kita mesti menukar budaya itu. Yang mungkin kelihatan aneh dalam dunia ilmu ialah biasa aktivis ilmu memperjuangkan slogan ‘kebenaran dan tidak lain daripada kebenaran’ tetapi mereka jugalah yang menutup kebenaran itu dengan tembok sempadan-sempadan yang mereka cipta sendiri.
Benar bahawa kemajuan inisiatif ilmu secara dominannya ditentukan oleh sekurang-kurangnya tiga faktor iaitu: (i) Proses kerja dan aktiviti yang memanfaatkan ilmu pengetahuan itu sendiri. (ii) Prasarana, umpamanya teknologi, yang menyokong perolehan ilmu, pemindahan ilmu dan penggunaan ilmu. (iii) Norma tingkah laku dan tabiat pekerja-pekerja ilmu – yang selalu disebut sebagai budaya organisasi atau dalam bahasa Inggeris ia popular sebagai organisational culture atau organisational behaviour.
Orang selalu percaya bahawa wang dan teknologi biasanya menjadi pra syarat kecekapan pengurusan ilmu. Namun, banyak juga pihak yang mengakui bahawa yang paling asas ialah tingkah laku yang membentuk budaya kerana pada kesudahannya budaya itulah yang akan menyokong atau membantutkan transformasi sesebuah institusi ilmu.
Apa yang cuba diutarakan setakat ini ialah tentang adanya dunia silo dalam alam universiti. Alam ini perlu dipecahkan dalam usaha membawa transformasi pengajian tinggi di Malaysia. Ini sangat fundamental. Ia mungkin disentuh dalam dokumen transformasi Kementerian Pengajian Tinggi. Jika tidak, architecture pengajian tinggi Malaysia nanti mungkin akan kelihatan cantik dan kukuh di luar, tetapi belum terjamin sedemikian juga di dalamnya.
Siapakah yang akan beruntung apabila budaya silo di universiti ini dapat dipecahkan? Tentulah pengguna. Pengguna ilmu dari dalam dan luar universiti sama ada pelajar, ahli masyarakat, pembuat dasar, pengguna teknologi dan sebagainya akan mendapat sebuah ‘gambar siap’ bukan cebisan gambar dari pelbagai tangan yang tidak saling mengenal antara satu sama lain. Pelajar misalnya kerap terkial-kial cuba mengintegrasikan sendiri pelbagai mata pelajaran yang diikutinya daripada seorang guru yang apabila ditanya kaitannya dengan mata pelajaran lain akan segera menutup soalan itu dengan jawapan ‘itu bukan bidang saya’. Pemecahan tembok silo akan membuka hijab inspirasi pelajar tadi.
Apakah budaya silo ini unik kepada dunia universiti sahaja di Malaysia? Jawabnya tidak! Budaya ini diamalkan secara meluas dalam segenap aspek kehidupan. Kaum di Malaysia bercakap mengenai kaumnya. Integrasi harus dipaksakan. Tidak ada kerelaan. Tidak banyak yang mahu berkongsi. Perkongsian ditafsir sebagai bertentangan dengan keutamaan merit. Parti politik dengan kepentingan parti masing-masing. Budaya pemikiran ‘biarlah jumlahnya sedikit asalkan dapat semua’ mengalahkan pemikiran ‘biar tidak dapat semua asalkan jumlahnya banyak’.
Dari perspektif sektor ekonomi pula setiap sektor mementingkan sektornya dan tidak melihatnya sebagai suatu rantaian aktiviti menguntungkan semua pihak yang merentas sektor. Apabila gaji naik misalnya peniaga akan menaikkan harga tanpa memikirkan kesan buruk jangka panjang yang lambatlaun akan mengetuk pintu rumahnya sendiri. Jabatan-jabatan kerajaan juga hidup dalam silo masing-masing dengan bersaing-saing supaya dapat masuk buku baik autoriti tertentu. Antara satu perkhidmatan bersaing dengan perkhidmatan lain dan mesti menang. Jika tidak menang tercalarlah imej perkhidmatan! Tentulah rakyat jelata amat berharap agar pemikiran silo tidak sampai menjengah pemimpin setinggi menteri yang berfikir untuk kementerian masing-masing sahaja.
Abad 21 nampaknya mengajak manusia seluruh dunia untuk keluar dari tempat pertapaan masing-masing. Marilah kita keluar beramai-ramai!
- DATUK DR. NORDIN KARDI ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.
No comments:
Post a Comment