24 June 2009

Bahagian Antarabangsa Di Kementerian Dalam Negeri

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri mewujudkan bahagian antarabangsa dan bahagian penyelidikan, pembangunan dan pengawasan, dalam usaha meningkatkan tarafnya setanding dengan tanda aras antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata buat permulaan, dua bahagian itu akan memberi tumpuan kepada jenayah merentasi sempadan iaitu penyeludupan dadah dan manusia, penipuan kad kredit dan pemalsuan pasport.

"Kami telah menubuhkan dua bahagian -- bahagian antarabangsa serta bahagian penyelidikan, pembangunan dan pengawasan -- bagi membantu dan mendapatkan bantuan dari badan kerajaan lain termasuk perwakilan diplomatik kita di luar negara.

"Kami juga sedang mengusahakan persefahaman dengan beberapa negara seperti Australia dan New Zealand bagi menangani penyeludupan dadah dan manusia," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat pada Mesyuarat Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di luar negera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Beliau berkata dua bahagian itu juga diwujudkan bagi menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia serius dalam menangani jenayah merentasi sempadan dan membantu rakyat Malaysia yang menghadapi pelbagai masalah perundangan di luar negara.

"Dua bahagian ini juga diwujudkan bagi kita mematuhi standard antarabangsa dalam memerangi jenayah merentasi sempadan.

"Ini bukan sahaja baik untuk negara tetapi juga akan membantu rakyat Malaysia yang menghadapi masalah ketika berada di luar negara," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan perwakilan Malaysia di luar negara, beliau berkata beberapa isu dibangkitkan dan mereka juga memberi input "bernilai" bagaimana Kementerian Dalam Negeri boleh menangani masalah yang timbul dari semasa ke semasa.

"Kami juga bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu yang mencemarkan imej negara di luar negeri. Kita perlu mencari jalan untuk mengatasi persepsi buruk terhadap negara yang direka oleh sesetengah pihak," katanya.

-- BERNAMA

Ramai tak hargai doktor kerajaan

Berita Harian

SAYA berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan selama enam tahun sebelum berpindah ke sektor swasta. Sepanjang tempoh 10 tahun bekerja sebagai doktor, bermacam-macam kerenah pesakit saya lalui, ada yang manis dan tidak kurang pula pahit.

Pengalaman merawat manusia yang sakit adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat digambarkan dan menuntut seribu kesabaran serta pengorbanan. Kerjaya ini memerlukan minat mendalam, ketekunan dan kesungguhan kerana nyawa manusia adalah taruhan.

Sering kali kita terdengar rintihan dan keluhan orang awam mengenai perkhidmatan doktor di hospital kerajaan di akhbar atau televisyen. Isu ini mendapat liputan meluas dan kebebasan untuk bersuara yang diberikan kepada orang awam menjadikannya lebih panas.

Pelbagai tohmahan dan penghinaan terus dilemparkan tanpa pembelaan secukupnya menjadikan profesyen pegawai perubatan kerajaan tidak lagi dipandang tinggi masyarakat. Doktor kerajaan dituduh cuai, tidak cekap, mata duitan, memalukan dan bermacam-macam lagi.

Doktor kerajaan kini tidak lagi dihormati seperti dulu dan sering menjadi mangsa maki hamun pesakit atau keluarga mereka. Perkara ini terus berlaku tanpa ada pembelaan sewajarnya daripada pihak berwajib. Malah ada di kalangan orang ata-san di jabatan kerajaan yang turut sama merendahkan martabat mereka semata-mata untuk tujuan politik.

Pernahkah kita terfikir akan pengorbanan mereka? Untuk makluman semua, tugas seorang doktor di hospital kerajaan amat berat. Memang pada zahirnya mereka gah berjalan memakai kot putih tetapi pada lahirnya mereka menanggung banyak beban tugas yang wajib dilaksanakan, tidak sejajar dengan gaji yang mereka peroleh.

Seawal jam 8 pagi mereka sudah mula bertugas dan pulang hanya apabila tugas selesai tanpa had masa. Tugasan 'on-call' menjadikan mereka berjaga sepanjang 24 jam tanpa rehat atau tidur yang cukup. Dalam waktu ini otak mestilah sentiasa berfungsi kerana sebarang kesilapan akan membahayakan nyawa pesakit.

Doktor di dewan bedah pula sentiasa perlu fokus menjalankan pembedahan berjam-jam sehingga mereka tidak berkesempatan untuk makan semata-mata berusaha menyelamatkan nyawa pesakit. Akibat kekurangan doktor, mereka kadangkala terpaksa bekerja berterusan sehingga lebih 48 jam tanpa rehat.

Hospital menjadi rumah kedua mereka dan pesakit lebih diutamakan berbanding keluarga mereka sendiri. Namun, dalam keadaan ini mereka terus juga melakukan tanggungjawab tanpa mengharapkan balasan daripada pesakit mereka. Kerana inilah kerjaya doktor di hospital kerajaan adalah tidak ternilai pengorbanannya dengan wang ringgit.

Perkhidmatan hospital kerajaan dianggap murah kerana pesakit hanya perlu membayar sedikit wang serendah RM1 untuk mendapatkan ubat di jabatan pesakit luar. Dengan wang yang sedikit ini pesakit boleh diberikan apa juga ubat bergantung kepada penyakit mereka. Perkara ini tidak berlaku di negara maju kerana kos perubatan amat tinggi dan tiada subsidi diberikan setanding negara kita.

Jika dibandingkan dengan kos perubatan di hospital swasta, nilai rawatan di hospital kerajaan adalah berkali-kali jauh lebih murah.

Mengapakah rakyat masih lagi tidak tahu bersyukur dan berterima kasih? Adakah kerana nilai RM1 ringgit ini perkhidmatan hospital kerajaan dianggap memberikan perkhidmatan mu-rahan dan doktor kerajaan juga manusia yang tidak bernilai yang tidak perlu dihormati?

Saya berharap doktor dan semua kakitangan yang bekerja di hospital kerajaan diberi perhatian dan pembelaan kerana merekalah sebenarnya tunjang perkhidmatan kesihatan negara. Janganlah kita berterusan mewujudkan paradigma negatif terhadap mereka demi kebaikan kita semua.

BEKAS DOKTOR KERAJAAN,
Damansara Damai,
Selangor.

Kurang Kompeten Punca Unit Audit Dalaman IPTA Tidak Berkesan - Ketua Audit Negara

KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) -- Kurang kemahiran di kalangan petugas di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mengendalikan hal kewangan, merupakan sebab kenapa Unit Audit Dalaman (UAD) mereka tidak berkesan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata pengurusan kewangan di IPTA melibatkan banyak kakitangan dan mungkin ada antara mereka yang tidak kompeten dan tidak mengetahui tentang maklumat yang perlu disediakan.

"Punca utama ini adalah manusia sendiri kenapa kita gagal melaksanakan 'check and balance' di IPTA. Sekali pun petugas-petugas ini kompeten, mungkin mereka kurang teliti (semasa menyemak maklumat). Jadi kalau tidak kompeten, macam mana mereka nak menyelia," katanya semasa menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Audit Negara Siri Ketiga di Universiti Malaysia Sabah, di sini Selasa.

Katanya IPTA merupakan badan berkanun kerajaan, maka ia perlu mengikut peraturan-peraturan yang diwartakan dan tidak boleh bertindak di luar autoriti mereka.

Ambrin menambah UAD dan jawatankuasa audit IPTA yang berkesan dan berjaya merupakan salah satu elemen kecemerlangan organisasi IPTA.

Beliau berkata unit tersebut perlu proaktif dalam mengenal pasti 'grey areas' di IPTA dan tidak menunggu arahan untuk bertindak di samping meluaskan peranan audit ke bahagian-bahagian lain.

"UAD perlu selalu memeriksa perkara atau kesilapan sebelum berlaku dari bertindak kepada apa yang telah berlaku," katanya.

Katanya keberkesanan UAD boleh dikukuhkan dengan memastikan petugas-petugas mengikuti kursus formal atau tidak formal, atau organisasi universiti itu boleh mendapatkan khidmat nasihat dari syarikat-syarikat perakaunan.

Pihak pentadbiran IPTA juga mesti peka dan perlu membuat pemeriksaan mengejut dari masa ke semasa, atau meminta audit dalamannya membuat laporan, kata beliau.

Ambrin berkata jika didapati salah laku berlaku, IPTA boleh mengamalkan amalan tegur menegur dan ambil tindakan disiplin, dan kakitangan terbabit tidak perlu dibuang kerja.

"Yang penting, IPTA belajar daripada kesilapan yang dilaporkan oleh pihak audit, dan mengambil tindakan untuk memperbaiki keadaan.

"Pastikan pengurusan kewangan aktiviti cemerlang agar tidak ada pemborosan dan penyelewengan, dan IPTA perlu letakkan sasaran realistik dan boleh dilaksanakan," jelas beliau.

Ambrin berkata dengan kawalan dalaman yang kukuh dan modal insan yang seimbang, maka pembudayaan integriti dan akauntabiliti akan terjadi secara semula jadi.

Menjawab soalan hadirin mengenai tanggungjawab pihak atasan IPTA yang mungkin sibuk dengan kajian dan penyelidikan akademik lalu kurang memberi tumpuan kepada aktiviti audit dalaman, beliau berkata ini terserah kepada kebijaksanaan Naib Canselor dalam mengatasinya asalkan pemantauan dan maklum balas berterusan dijalankan.

Ambrin juga berkata setakat ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara belum pernah memanggil mana-mana IPTA mengenai masalah pengurusan kewangan mereka.

-- BERNAMA

Cuepacs Minta TPM Kaji Penswastaan Pengurusan Sisa Pepejal PBT

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta agar kerajaan memberi lebih perhatian dan menimbangkan kedudukan para pekerja kumpulan sokongan khususnya yang berkhidmat mengikut kontrak.

Presidennya, Omar Osman berkata, kumpulan pekerja berkenaan terdiri daripada 25,000 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara yang bakal menghadapi kemungkinan hilang pekerjaan jika enggan menyertai proses penswastaan pengurusan sisa pepejal bermula 1 Ogos tahun ini.

Katanya, Cuepacs telah meminta jasa baik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengkaji semula penswastaan itu dengan menyenaraikan pilihan ketiga kepada para pekerja tersebut.

"Selama ini para pekerja itu hanya diberi dua pilihan iaitu menyertai penswastaan atau kehilangan pekerjaan.

"Jika ini berlaku, mereka akan kehilangan punca pendapatan, tambahan pula sebahagian besar daripada golongan pekerja terlibat sudah berusia dan sukar bagi mereka untuk memohon pekerjaan lain," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Isnin.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai hasil pertemuan Cuepacs dengan Muhyiddin di pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini Isnin.

Omar berkata, kerajaan wajar menyenaraikan pilihan ketiga, iaitu membenarkan para pekerja berkenaan terus berkhidmat di bawah perbadanan jika enggan diserap sebagai pekerja swasta.

"Pilihan ketiga ini bukan sesuatu yang baru. Ia pernah diamalkan sebelum ini justeru tidak ada salahnya jika Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melakukan yang sama," katanya.

Fasa pertama penswastaan pengurusan sisa pepejal akan dilaksanakan mulai 1 Ogos tahun ini melibatkan PBT wilayah utara.

Dalam perkembangan lain, Omar memberitahu Cuepacs turut meminta jasa baik Timbalan Perdana Menteri untuk melihat semula kedudukan para pekerja pembersihan dengan Jabatan Pendidikan Negeri yang diupah mengikut kontrak.

Katanya, lebih 400 pekerja dari Jabatan Pendidikan Kelantan hilang punca pendapatan selama lapan bulan ekoran kontrak yang tidak disambung.

"Perkara yang sama bakal berlaku kepada 119 pekerja dari Jabatan Pendidikan Terengganu apabila kontrak mereka yang berakhir 30 Jun ini tidak disambung," katanya.

Muhyiddin jelas beliau, telah memberikan persetujuan untuk melihat dan menghalusi kedua-dua perkara berkenaan.

"Cuepacs bersedia menunggu dan berharap agar Tan Sri Muhyiddin akan melihat perkara ini dengan teliti demi kebajikan para pekerja berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

Tujuh Peratus Jawatan Sektor Awam Diperuntukkan Kepada Oku

PETALING JAYA, 22 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memperuntukkan tujuh peratus jawatan dalam perkhidmatan awam untuk golongan orang kurang upaya (OKU), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan menggalakkan lebih ramai golongan OKU memohon jawatan yang ditawarkan terutama bagi mereka yang berkelulusan serta tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.

"Saya berharap OKU mengambil peluang ini kerana kerajaan telah memperbaiki skim gaji dan kemudahan kepada penjawat awam," katanya pemberita selepas merasmikan Kem Motivasi Kelurga Integrasi OKU di sini, Isnin.

Murugiah berkata OKU yang berminat boleh melayari laman web SPA di alamat www.spa.gov.my bagi mengetahui jawatan yang peruntukkan kepada mereka.

-- BERNAMA