13 March 2008

'Usah dengar khabar angin dibuang kerja'

Berita Harian

SHAH ALAM: Penjawat awam di Selangor diminta tidak panik dengan khabar angin mereka akan diberhentikan kerja oleh kerajaan negeri baru yang dikuasai pakatan pembangkang.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud, berkata kerajaan negeri campuran gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak boleh membuang kakitangan kerajaan sesuka hati walaupun pekerja kontrak kerana banyak prosedur perlu dipatuhi.

Katanya, kerajaan negeri berdepan masalah termasuk diseret ke mahkamah jika memecat kakitangan kerajaan tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan seperti memberi notis lebih awal dan sebab pemecatan.

"Sepatutnya tiada masalah dengan kakitangan kerajaan kerana mereka perlu bersikap berkecuali dan hanya bertugas memberi khidmat kepada kerajaan yang memerintah," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, ada tiga kategori kakitangan kerajaan iaitu kakitangan kerajaan Pusat yang dilantik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan semua urusan pertukaran dilakukan JPA.

Bagi kakitangan kerajaan negeri, pelantikan dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) dengan perkenan Sultan Selangor dan pemecatan seseorang kakitangan itu perlu melalui banyak prosedur.

Ramli berkata, bagi kakitangan kontrak yang diambil untuk mengurangkan beban tugas kakitangan tetap pula perlu dimaklumkan lebih awal dan mematuhi peraturan sebelum boleh dipecat.

"Memang mudah untuk ambil kakitangan bekerja tetapi sukar untuk berhentikan mereka. Kita telah berhentikan ramai kakitangan tetapi mengikut prosedur. Jika tidak, kita akan diseret ke mahkamah dan mungkin diarah bayar ganti rugi sampai kakitangan berkenaan pencen," katanya.

Mengenai jawatan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Datuk Bandar, beliau berkata mereka adalah kakitangan Kerajaan Pusat yang diambil bekerja di negeri dan akan balik ke Persekutuan jika tidak diperlukan.

"Jawatan ini terbuka dan sesiapa saja boleh dilantik oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri dulu ambil pegawai kerajaan dan diletakkan di PBT untuk memudahkan mereka ditukar jika tidak memberi prestasi baik," katanya.

Dalam pada itu, Ramli menafikan dakwaan dokumen sulit kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba dibawa keluar dari bangunan SUK kerana semua maklumat rahsia dan sulit milik kerajaan negeri telah direkodkan.

"Kerajaan memerintah akan duduk di bangunan ini untuk mentadbir negeri. Semua fail sulit direkodkan dan siapa yang bawa keluar fail ini akan direkodkan," katanya yang berterima kasih kepada pakatan pembangkang kerana memahami situasi itu.

Pelajar tajaan JPA di Jordan juga hidup daif

Berita Harian

SAYA bersetuju dengan cadangan Md Rusli Md Nor dalam ruangan in, baru-baru ini yang merayu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan elaun pelajar Malaysia tajaannya di Mesir. Saya bukan penuntut di Mesir tetapi keadaan pelajar Malaysia di Jordan tidak kurang 'daif' dibandingkan dengan keadaan dipaparkan Rusli.

Saya dan rakan di Jordan adalah pelajar sarjana tajaan Kementerian Pengajian Tinggi di Amman.

Peluang melanjutkan pelajaran di bumi Anbia ini kami syukuri dan memohon kenaikan ini bukan atas dasar untuk bermewah tetapi mencukupkan keperluan seharian.

Sejak berada di Amman, kami dapati kos sara hidup di sini semakin tinggi dari masa ke masa. Kenaikan harga barang meningkat dalam kadar mendadak sehinggakan berita terbaru di Jordan, kami dikejutkan dengan berita kerajaan Jordan tidak lagi mampu memberi subsidi kepada rakyat. Barang asasi seperti beras dan susu terus naik. Kami semakin terhimpit.

Purata tukaran wang dinar Jordan (JD) dengan ringgit Malaysia ialah 1JD bersamaan dengan RM4.90.

Mata wang Jordan adalah antara yang tertinggi di dunia selepas pound sterling. Elaun yang kami terima untuk tiga bulan ialah RM4,134. Jika ditukar kepada nilai JD ialah sebanyak 843JD dan selepas dibahagikan kepada tiga bulan, jumlah elaun sara hidup yang kami dapat dalam sebulan ialah 281JD (RM1,376)

Bayangkanlah keadaan kehidupan bulanan kami dengan purata kos sewa rumah di sini sekitar 100JD-220JD. Selepas ditolak harga rumah sewa, bil elektrik dan air, pengangkutan ke kampus, makanan bagi sebulan, jumlah itu tidak mencukupi. Antara contoh barang yang paling mahal ialah gas. Jika dulu harga bagi satu tong gas ialah 4.25JD ( RM20.80), kini harganya 6.50JD (RM31.85). Malah, ada berita mengatakan harga gas mungkin akan naik lagi kepada 10JD (RM49) satu tong. Begitu juga dengan harga susu. Bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak, ia memberi kesan memandangkan harga susu naik daripada 7JD (RM34) ke 10JD sekotak/setin.

Memandangkan sekarang musim sejuk, kami memerlukan gas untuk memasang alat pemanas. Dengan elaun tidak mencukupi, kadang-kadang kami terpaksa menahan kesejukan untuk berjimat.



PENUNTUT TAJAAN KPTM,

Amman, Jordan.

11 March 2008

Kenaikan gred penguasa KDRM terlalu lambat

Berita Harian

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (KDRM), sebuah jabatan di bawah Kementerian Kewangan, dipertanggungjawabkan untuk memungut cukai tidak langsung dan menjadi pemungut cukai kedua terbesar selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Namun, agak malang kebajikan anggota kastam, terutama kenaikan pangkat bagi skim penguasa kastam gred W41 ke gred W44, terlalu lambat pergerakannya.

Ada penguasa kastam yang berkhidmat lebih 15 tahun hingga 20 tahun, masih di gred W41.

Kalau dibandingkan kenaikan pangkat Penguasa Kastam dengan pegawai tadbir diplomatik (PTD), didapati penjawat PTD gred M41 ke gred M44 mengambil masa tiga tahun saja.

Kenaikan pangkat dalam tempoh singkat juga berlaku untuk skim pegawai sistem maklumat F41 ke F44 dan akauntan gred W41 ke gred W44 yang mengambil masa maksimum lima tahun saja.

Guru juga boleh tersenyum dalam hal kenaikan pangkat apabila secara automatik naik ke gred G44 selepas 10 tahun berkhidmat. Namun, bagi penguasa kastam, kenaikan pangkat ke gred W44 dalam tempoh 10 tahun hanya mimpi indah.

Pada 5 Mac lalu, Kementerian Kesihatan pula mengumumkan bahawa pegawai perubatan (doktor) di gred U41 berpeluang ke Gred W44 dalam tempoh dua tahun saja.

Apabila mendengar itu, kami tertanya-tanya bila pula penguasa kastam akan mendapat khabar baik mengenai kenaikan pangkat lebih cepat?

Keadaan yang menimpa kami, seolah-olah tiada langkah yang boleh diambil pengurusan KDRM selama ini untuk mempercepatkan kenaikan pangkat penguasa kastam dari gred W41 ke W44.

Kenaikan pangkat itu perlu dipercepatkan untuk meningkatkan moral dan tahap kepuasan bekerja bagi jawatan penguasa kastam.

Kenaikan pangkat dalam tempoh minimum mungkin dapat mendorong penguasa kastam untuk bekerja dengan lebih bersemangat kerana sumbangan mereka dihargai.

Diharapkan pihak berkaitan, terutama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan pengurusan tertinggi jabatan kastam menilai masalah yang dihadapi kumpulan penjawat awam, supaya jalan penyelesaiannya boleh dicari.

PENGUASA KASTAM VETERAN,
Kajang, Selangor.

Kelayakan pendaftaran PTK perlu disemak

Berita Harian

SEMUA kakitangan awam dibenarkan menduduki ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) setiap tahun, namun tidak pernah ada penafian daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bahawa pemberian tahap lulus aras empat mempunyai kuota tertentu.

Pendaftaran PTK untuk kakitangan awam, khususnya di Kementerian Pelajaran perlu diteliti dan disemak mengikut kelayakan dan kepentingan jawatan.

Apa yang terjadi selama ini ialah kakitangan sudah dinaikkan pangkat tetapi mendaftar ujian PTK sebelum kenaikan pangkat, masih dibenarkan menduduki ujian PTK jawatan lamanya.

Secara kebetulan keputusan PTK mereka lulus pada aras empat, namun kerana mereka sudah dinaikkan pangkat sebelum ujian PTK, mereka tidak layak menuntut anjakan gaji. Saya melihat kejadian itu banyak kali berlaku.

Saya berpendapat, mereka menafikan hak kakitangan awam lain yang mungkin lulus aras empat tetapi kuota terhad kerana kelayakan untuk mendapatkan lulus aras empat mengikut kuota ditetapkan.

Saya mendapati kakitangan gred W yang perlu menduduki PTK yang dianjurkan Jabatan Akauntan Negara, namun mereka duduk bawah bumbung Kementerian Pelajaran, secara suka suka menduduki PTK anjuran kementerian berkenaan.

Kebetulan, ada di antara mereka lulus aras empat, namun mereka tahu ia tidak melayakkan apa-apa kerana itu bukan ujian PTK yang wajib diduduki. Perbuatan mereka ambil ujian 'suka-suka' itu menyebabkan satu kuota untuk kakitangan awam lain mendapat anjakan gaji disia-siakan.

Jika PTK tidak memerlukan kuota lulus, isu itu tidak berbangkit.

Saya dapati tiga tahun yang membabitkan tiga kuota untuk anjakan gaji disia-siakan begitu saja, kerana ada pihak yang secara 'suka-suka' mengambil peperiksaan PTK, walaupun 'tahu' tidak layak untuk kenaikan pangkat atau anjakan gaji.

FARIZ IJAZ,
Keningau, Sabah