07 May 2010

Rugi F41 urus meja bantuan

MERUJUK kepada surat Jurutelefonis, Putrajaya dalam akhbar ini bertarikh 23 April lalu bertajuk Pegawai Gred F41, Urus Meja Bantuan.

Meja bantuan diwujudkan sebagai pusat untuk menerima aduan dan memberi bantuan teknikal berkaitan komputer di sesebuah agensi.
Kementerian atau jabatan menempatkan juruteknik komputer Gred FT17 di meja bantuan kerana kebanyakan aduan adalah berkaitan masalah teknikal seperti kerosakan, perisian dan penyelenggaraan komputer.

Jika pertanyaan adalah khusus mengenai sistem, maka pegawai di meja bantuan akan menyalurkannya kepada pegawai yang terbabit dengan pembangunan sistem atau berkaitan.

Pewujudan jawatan juruteknik komputer, Gred FT17 adalah berdasarkan tanggungjawab yang merangkumi penyelenggaraan sistem komputer, aplikasi pengkomputeran dan operasi sistem dalam sesebuah organisasi. Adalah satu kerugian jika Pegawai Teknologi Maklumat (PTM) Gred F41 atau Penolong Pegawai Teknologi Maklumat (PPTM) Gred F29 ditempatkan di meja bantuan kerana PTM mempunyai skop tugas yang lebih besar.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Putrajaya

06 May 2010

Jangan tangguh kepulangan – JPA

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 5 Mei – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini memutuskan pelajar-pelajar dalam semua bidang pengajian yang ditaja dengan biasiswa di luar negara tidak lagi dibenarkan untuk membuat sebarang penangguhan pulang ke tanah air atas apa alasan sekalipun.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja oleh agensi penajaan Kerajaan sama ada secara biasiswa atau pinjaman pelajaran hendaklah kembali ke Malaysia untuk menjalani housemanship setelah tamat pengajian.

Dalam aspek ini, kata beliau, para pelajar di dalam bidang kritikal akan mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran dan sub-kepakaran semasa mereka berkhidmat kelak.

“Pelbagai pihak tidak bersetuju dengan dasar penangguhan balik sedia ada yang memberi kebenaran kepada pelajar-pelajar tajaan kerajaan untuk menangguhkan kepulangan mereka selepas tamat pengajian.

“Dengan mengambil kira bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh negara, para pelajar di dalam bidang tersebut perlu kembali ke tanah air untuk menyumbang khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat pekeliling perkhidmatan bilangan 2 tahun 2010 berhubung Pindaan Dasar Penangguhan Balik Pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, para pelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja dengan biasiswa dibenarkan untuk memohon penangguhan kepulangan kerana melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran atau menunggu pasangan yang ditaja oleh agensi kerajaan untuk menamatkan pengajian.

Ismail memberitahu, kerajaan tidak pernah membenarkan pelajar tajaannya untuk berkahwin semasa di dalam tempoh pengajian masing-masing.

“Ia kecuali dengan kebenaran Kerajaan dan sebarang risiko yang dihadapi berhubung ketetapan yang disyaratkan oleh pihak penaja hendaklah dipatuhi sepenuhnya termasuklah mematuhi arahan balik ke Malaysia serta-merta.

“Makluman awal diberikan oleh agensi penajaan Kerajaan kepada semua pelajar yang telah berkahwin dan mempunyai pasangan yang masih di dalam pengajian bahawa tiada lagi kebenaran penangguhan balik untuk menunggu pasangan diberikan,” katanya.

Beliau berkata, untuk pelajar yang ditaja secara pinjaman pelajaran sama ada bagi bidang kritikal ataupun bukan kritikal dibenarkan untuk membuat penangguhan balik bergantung kepada pertimbangan oleh pihak kerajaan.

“Penguatkuasaan dari segi arahan lapor diri dan memastikan pelajar membuat pembayaran balik pinjaman perlu diberi penekanan dan usaha ke atas penguatkuasaan itu dipertingkatkan,” katanya.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Abdul Aziz Dilantik Duta Ke Perancis

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Khamis berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada empat duta dan seorang pesuruhjaya tinggi.

Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, 58, yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera menerima watikah sebagai duta Malaysia ke Perancis dalam satu istiadat penyerahan watikah pelantikan di Istana Negara.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Datuk Zakaria Sulong sebagai pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Britain, Datuk Ho May Yong sebagai duta ke Switzerland, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sebagai duta ke Austria dan Mat Dris Yaakob, 50, sebagai duta ke Syria.

Ini kali kedua Zakaria, 57, bertugas di London dalam karier diplomatik selama 35 tahun.

Beliau menyandang jawatan penasihat kedutaan pada tahun 1993 sebelum berkhidmat sebagai duta ke Bosnia-Herzegovina pada tahun 2000 dan duta ke Jerman pada 2007 sehingga sebelum pelantikan ke London.

Ho, 52, berkhidmat dengan Wisma Putra sejak 1984 dan pernah bertugas sebagai Konsul Besar Malaysia di Perth, Australia, dan pegawai tugas-tugas khas kepada Perdana Menteri.

Muhammad Shahrul Ikram, 48, sebelum ini duta ke Qatar dan pada Februari tahun ini, beliau dipilih sebagai pengerusi lembaga gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang beribu pejabat di Vienna untuk penggal 2009/2010.

Mat Dris sebelum ini pernah bertugas sebagai Konsul Besar Malaysia di Vancouver, Kanada, dan penasihat kedutaan di Oman.

-- BERNAMA