27 May 2007

Soal Jawab: Budaya kerja tanpa diarah selaras kenaikan gaji

Berita Harian


Penjawat awam diminta tingkat produktiviti, disiplin dan jauhi rasuah sebagai tanda terima kasih


CERITA menarik bagi kira-kira 1.2 juta kakitangan perkhidmatan awam sudah tentulah kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus serta kadar elaun bantuan sara hidup (Cola) 100 peratus. Di kalangan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula lebih tinggi, iaitu antara sembilan hingga 42 peratus. Kenaikan itu disifatkan sebagai terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam. Pada masa sama, suara menuntut kakitangan perkhidmatan awam memberikan khidmat lebih baik semakin kuat. Apakah selepas ini perkhidmatan lebih berkualiti? Ikuti pandangan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan kepada wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Presiden Cuepacs, Omar Osman kepada Kandau Sidi, mengenai isu ini.

Harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam sentiasa tinggi. Apakah dengan kenaikan gaji memberi kesan terhadap kualiti perkhidmatan awam negara?

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam pada 21 Mei lalu, mengumumkan kenaikan gaji anggota perkhidmatan awam yang besar.

Kakitangan perkhidmatan awam perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dengan pemberian itu. Perasaan terima kasih ini perlu diterjemahkan oleh kakitangan perkhidmatan awam dengan meningkatkan produktiviti dan kualiti bekerja serta berusaha lebih gigih untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Menerusi cara ini, harapan untuk melihat mutu perkhidmatan terbaik serta peningkatan produktiviti yang ketara dan setimpal dengan kenaikan gaji dapat dirasai dengan meluas.

Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Kita sudah dapat melihat beberapa usaha penambahbaikan. Ia termasuk pelaksanaan inisiatif penambahbaikan urusan penyenggaraan dan pengurusan hartanah yang dilancarkan Perdana Menteri pada 13 April lalu.

Menerusi inisiatif ini, Pusat Setempat (OSC) di pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyelaras pelbagai permohonan seperti tukar syarat dan pecah sempadan tanah, kebenaran merancang, pelan bangunan dan perakuan teknikal yang membabitkan pelbagai agensi. Proses permohonan pasport pula dipercepatkan dari tiga hari kepada sehari.

Selain itu, lebih banyak perkhidmatan kerajaan disediakan secara talian atau online bagi kemudahan orang ramai seperti bayaran cukai pintu, permohonan lesen serta permit tertentu. Baru-baru ini, lesen memandu boleh diperbaharui secara online. Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang ditubuhkan pada 7 Februari lalu terus berusaha untuk melaksanakan beberapa inisiatif tertentu bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, saya tidak menafikan masih banyak ruang untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan awam. Kakitangan perkhidmatan awam perlu terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti serta kualiti perkhidmatan.

Secara dalaman, beberapa mekanisme tertentu diwujudkan bagi memantau prestasi kakitangan perkhidmatan awam. Sebagai contoh pelaksanaan KPI (Key Performance Indicators) atau Petunjuk Prestasi Utama di beberapa agensi kerajaan tahun lalu akan diperluaskan membabitkan semua kementerian dan jabatan menjelang 2010.

Apabila KPI diwujudkan dan dilaksanakan sepenuhnya, kenaikan pangkat serta imbuhan anggota perkhidmatan awam akan bergantung kepada pencapaian KPI.

Presiden Cuepacs berjanji pihaknya akan berusaha supaya kakitangan perkhidmatan awam bekerja lebih keras, apakah pula tindakan Tan Sri?

Nasihat saya kepada semua kakitangan perkhidmatan awam adalah mudah, just do it (lakukan saja). Saya menekankan perkara ini sejak mula memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara pada 3 September tahun lalu. Saya berharap dan percaya ia dapat dibudayakan oleh semua penjawat awam. Just do it with a sense of urgency and integrity (lakukan saja dengan perasaan kesegeraan dan integriti).

Kakitangan perkhidmatan awam perlu mempunyai sense of urgency (perasaan kesegeraan) dalam melaksanakan sesuatu tindakan atau keputusan yang dibuat. Pemantauan terhadap pelaksanaan sesuatu tindakan atau keputusan juga penting bagi memastikan semua berjalan lancar seperti dihasratkan. Semua tindakan dan keputusan hendaklah dilaksanakan dengan segera serta mengikut dasar dan peraturan.

Dalam hubungan ini, setiap keputusan mesti dibuat dengan penuh integriti berdasarkan kepentingan rakyat dan negara.

Dalam apa juga tindakan, niat adalah sangat penting. Jangan sekali-kali kita menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan. Civil service role is to facilitate, and not to frustrate (peranan perkhidmatan awam adalah untuk memudahkan dan bukan mengecewakan).

Kita perlu berusaha untuk memudahkan urusan dengan pelbagai pihak, termasuk sektor swasta dan rakyat. Sumbangan kakitangan perkhidmatan awam perlu dirasai dan bukan dilihat.

Perkhidmatan yang responsif, mesra, berbudi bahasa, integriti dan sentiasa memikirkan penambahbaikan amat diharapkan oleh orang ramai.

Oleh itu, usaha untuk membudayakan perkhidmatan yang berteraskan kecemerlangan amat dialu-alukan. Harapan saya ialah agar kakitangan perkhidmatan awam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan jujur, ikhlas dan integriti.

Apakah ukuran yang boleh dibuat bahawa wujud perubahan positif selepas kenaikan gaji. Apakah dengan semakin kurang aduan sama ada melalui media massa atau Biro Pengaduan Awam atau ada cara lain?

Pengaduan orang ramai, sama ada melalui media massa dan Biro Pengaduan Awam adalah saluran maklum balas kepada kerajaan berhubung prestasi perkhidmatan awam. Jika orang ramai berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, maka tidak ada sebab mereka perlu membuat pengaduan.

Selain itu, soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen ketika persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang membabitkan kakitangan perkhidmatan awam, boleh dijadikan ukuran bagi menilai sama ada berlaku perubahan positif selepas kenaikan gaji.

Kajian atau indeks prestasi yang dijalankan oleh badan antarabangsa seperti The World Bank Report, The World Competitiveness Yearbook, juga boleh memberi gambaran mengenai keberkesanan perkhidmatan awam negara ini dan daya saing negara pada peringkat antarabangsa.

Tan Sri menyatakan orang ramai boleh menjadi hakim untuk menilai kakitangan perkhidmatan awam. Bagaimanakah caranya?

Orang ramai boleh menjadi `mata dan telinga’ kepada kerajaan dengan melaporkan atau membuat aduan berhubung sebarang salah laku atau penyelewengan yang mungkin berlaku di kalangan kakitangan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, saya berharap aspek positif seperti penambahbaikan yang dibuat, perkhidmatan yang cepat dan responsif oleh jabatan tertentu perlu dilaporkan. Ia bagi membolehkan perkhidmatan awam membuat penilaian sendiri perkhidmatan yang berjaya dilaksanakan dengan baik serta perkara yang perlu diberi lebih tumpuan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan.

Rakyat pasti gembira jika perubahan positif berlaku. Bagaimanapun, jika pandangan rakyat bahawa tiada perubahan atau sangat minimum, apakah yang perlu dilakukan?

Rakyat boleh terus membuat aduan. Saya percaya kakitangan perkhidmatan awam bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perubahan yang positif bagi meningkatkan tahap kecemerlangan perkhidmatan awam. Saya dimaklumkan oleh ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan bahawa mereka juga bersungguh-sungguh dan berhasrat bersama-sama memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Bukan rahsia terdapat segelintir kakitangan yang berada di kantin atau restoran ketika waktu kerja. Malah, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, mengeluarkan arahan melarang kakitangan awam negeri itu berbuat demikian. Bagaimanakah keadaan ini secara keseluruhan?

Bilangan kakitangan perkhidmatan awam adalah seramai 1.2 juta orang. Dalam kumpulan yang sebesar ini, sedikit sebanyak terdapat kakitangan yang kurang berdisiplin dari aspek waktu bekerja, tingkah laku, dan sebagainya.

Ketua jabatan, sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri bertanggungjawab mengingatkan dan menegur kakitangan di bawah seliaan mereka supaya sentiasa mempamerkan tingkah laku yang baik dan sopan serta menghormati waktu bekerja ditetapkan.

Arahan seperti dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu adalah sesuatu yang baik dan perlu dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi memperingatkan serta memantapkan disiplin bekerja di kalangan kakitangan perkhidmatan awam.

Ketua jabatan juga perlu tegas mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan yang melanggar peraturan atau arahan yang ditetapkan. Ia adalah bagi memberi pengajaran kepada kakitangan lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Arahan tidak akan bermakna jika tiada usaha pemantauan terhadap kakitangan yang melanggar peraturan atau arahan?

Ya! Keputusan atau perancangan terbaik sekali pun tidak akan bermakna jika tidak dilaksanakan. Pemantauan pelaksanaan kepada saya adalah sangat penting. Dalam kesibukan kita, banyak keputusan yang dicapai mungkin tidak dilaksanakan kecuali ada satu mekanisme pemantauan yang sistematik dan rapi.

Bagaimanapun, saya berpendapat aspek pemantauan adalah sesuatu yang sementara bagi memastikan semua arahan dan peraturan dikuatkuasakan dan dipatuhi.

Apa yang lebih penting ialah kita perlu mewujudkan suatu budaya mendisiplinkan diri sendiri apabila kita bangga dan seronok untuk melaksanakan tugas dan arahan tanpa disuruh atau dipaksa, mahupun dipantau.

Kita perlu percaya bahawa bekerja itu adalah suatu ibadah dan perlu bekerja bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, ada pegawai yang pulang lewat dan bekerja lebih masa, kadang-kadang hingga waktu malam bagi menjalankan tugas masing-masing. Mereka dengan sendiri melakukan demikian tanpa dipaksa. Sikap begini yang perlu dibudayakan di kalangan kakitangan perkhidmatan awam. Ia adalah suatu cabaran bagi perkhidmatan awam untuk merealisasikannya.

Gaji rendah sebelum ini dikatakan menyebabkan sesetengah kakitangan awam membuat kerja sampingan untuk menampung kehidupan. Apakah dengan kenaikan gaji akan menghentikan amalan itu?

Saya harap amalan itu akan dihentikan kerana kerja sampingan boleh menjejaskan tumpuan kakitangan perkhidmatan awam terhadap tugas mereka.

Presiden Cuepacs ketika menuntut kenaikan gaji memberikan alasan itu antara alasan kenaikan gaji perlu dipertimbangkan.

Jika tidak, apakah tindakan yang akan diambil terhadap kakitangan yang terus membuat kerja sampingan dan berniaga. Apakah tindakan drastik akan dilakukan?

Jenis tindakan yang akan diambil bergantung kepada kesalahan. Jabatan Perkhidmatan Awam akan melihat perkara ini dengan lebih teliti bagi menentukan tindakan sesuai yang boleh dikenakan atas kesalahan demikian.

Antara punca amalan rasuah adalah kerana gaji rendah. Bolehkah kenaikan gaji mengurangkan amalan itu?

Gaji atau pendapatan rendah bukan alasan bagi seseorang itu untuk melakukan rasuah. Pada pendapat saya, kenaikan gaji sebanyak mana pun tidak akan mencukupi. Apa yang lebih penting ialah kita harus berbelanja mengikut kemampuan, iaitu mengikut jumlah pendapatan diterima.

Saya sentiasa menekankan aspek integriti di kalangan kakitangan perkhidmatan awam.

Tiada tolak ansur berhubung aspek integriti kerana ia adalah antara tonggak utama bagi memastikan kejayaan dan kecemerlangan perkhidmatan awam merealisasikan agenda yang disusun untuk kemajuan dan kemakmuran negara.

Saya ingin mengingatkan semua ketua jabatan supaya sentiasa memastikan kakitangan di organisasi masing-masing menjauhi amalan rasuah atau tidak beretika.

Adakah selepas ini, kakitangan yang terbabit dalam rasuah perlu dikenakan tindakan keras walaupun membabitkan nilai kecil?

Tiada tolak ansur dalam aspek integriti. Saya amat tegas dalam hal ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbukti terbabit dalam gejala rasuah. Tidak kira sama ada nilainya kecil atau besar, rasuah tetap rasuah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang disabitkan dengan kesalahan itu.

Secara keseluruhan, bagaimanakah kedudukan gaji kakitangan perkhidmatan awam negara berbanding negara lain, terutama rantau Asia Tenggara?

Secara am, gaji kakitangan awam antara negara tidak sesuai dibandingkan secara langsung kerana faktor berbeza yang mempengaruhi saraan kakitangan awam setiap negara. Contoh faktor itu adalah seperti keadaan ekonomi negara, kadar inflasi yang mempengaruhi kos sara hidup, kuasa membeli, tahap produktiviti dan kadar pertukaran wang yang berbeza.

Setiap negara mempunyai sebab tersendiri dan menggunakan penanda aras yang berbeza bergantung kepada keperluan untuk menetapkan gaji kakitangan mereka. Sebagai contoh di Singapura, gaji kakitangan awam ditetapkan dengan membandingkan secara langsung dengan gaji kakitangan sektor swasta.

Oleh itu, Singapura sentiasa menyemak gaji kakitangan mereka untuk memastikan gaji yang ditawar sekurang-kurangnya sama menarik seperti sektor swasta. Thailand dan India pula meletakkan kadar inflasi sebagai faktor utama.

Di Malaysia, antara faktor yang dipertimbangkan ialah berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan kemampuan kerajaan menentukan gaji kakitangan sektor awam.

No comments: