31 May 2007

Piawaian bertaraf dunia angkat imej guru

Berita Harian

USAHA Kementerian Pelajaran memperkenalkan Standard Guru Malaysia (SGM) bermula bulan depan bagi meningkatkan tahap pengajaran 339,882 guru di negara ini adalah langkah bijak yang bukan saja dialu-alukan di kalangan pendidik, malah pelajar dan ibu bapa.

Piawaian yang dikenali sebagai Standard Pengajaran Malaysia akan berfungsi sebagai penanda aras baru yang membantu sistem pendidikan negara mencapai tahap yang boleh dibanggakan pada peringkat dunia.

Bukan hanya di kalangan guru, langkah ini juga satu titik tolak terhadap masa depan profesion guru yang pernah dilihat sebagai satu profesion hanya didokongi mahasiswa yang tiada pilihan kerja.

Pernah suatu ketika, apabila ramai graduan tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan sesuai dengan pengajian memilih bidang perguruan sebagai kerjaya. Golongan ini boleh dikatakan memilih bidang yang murni ini secara terpaksa, selain tanpa minat dan keghairahan untuk berkongsi ilmu dengan murid yang pelbagai ragam.

Persepsi masyarakat terhadap golongan guru pula semakin buruk, dalam masyarakat kita hari ini, guru tidak lagi dilihat sebagai golongan yang membakar diri untuk menerangi orang lain, tetapi lebih kepada golongan yang dipaksa ‘membakar diri’ untuk menyinari diri sendiri.

Tanpa piawaian tertentu, golongan ini masih boleh terus ‘bekerja’ sebagai guru, yang pastinya tidak boleh menandingi mereka yang ‘berkhidmat’ sebagai guru. Guru yang ‘berkhidmat’ demi murid, sekolah dan negara memberi keutamaan kepada pencapaian murid berbanding perkara lain.

Tidak hairan, ada golongan guru mengorbankan waktu malam untuk memberi tuisyen secara percuma di rumah bagi pelajar kurang cemerlang. Golongan inilah yang dikatakan sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.

Bagaimana pula golongan guru yang terpaksa? Selain merungut terpaksa membawa balik buku murid yang banyak setiap hari, proses pengajaran dan pembelajaran bukanlah agenda terpenting mereka, selain rutin masuk dan keluar kelas setiap hari.

Malah, ada segelintir yang membuat kerja sambilan untuk menambah pendapatan! Lebih menyedihkan, waktu pengajaran dalam kelas kadang-kadang turut terganggu.

Guru sepatutnya menjadi antara golongan paling dihormati dalam masyarakat. Selain mengajar dan sabar dengan kerenah murid terutama di sekolah rendah, golongan ini adalah individu kedua terpenting yang berfungsi sebagai ejen sosial kanak-kanak.

Guru yang ‘berkhidmat’ kepada pelajar ialah guru yang sebenar, bukan guru yang hanya ‘bekerja’ untuk menampung keperluan sehariannya.

SITI SURIANI OTHMAN,
Program Komunikasi,
Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments: