19 March 2010

JPA sedia syarat pengecualian potongan pampasan pesara

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk surat Bakal Pesara Hampa pada 3 Mac lalu bertajuk ‘Pesara Bantah Potong Pampasan’.

Persaraan pilihan ialah keistimewaan yang boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk surat Bakal Pesara Hampa pada 3 Mac lalu bertajuk ‘Pesara Bantah Potong Pampasan’.

Persaraan pilihan ialah keistimewaan yang boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.
‘Pampasan’ yang dimaksudkan Bakal Pesara Hampa ialah ganjaran yang hanya dibayar 20 peratus atau RM10,000 mengikut mana yang lebih ketika bersara. Baki dibayar pada tarikh ditetapkan kerajaan, tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib mengikut syarat perlantikan atau opsyen umur persaraan wajib.

Peraturan ini hanya bagi persaraan pilihan yang berkuat kuasa selepas 1 Februari lalu. Namun, surat edaran JPA ‘Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Persaraan Pilihan’ pada 25 Januari lalu jelas menyatakan ada kelonggaran atas sebab seperti:

Rawatan perubatan diperlukan anggota atau keluarga. (Berasaskan surat akuan bertulis oleh penjawat perubatan kerajaan);

Perbelanjaan pendidikan bagi anggota atau keluarga. (Berasaskan surat tawaran pengajian dan surat penerimaan pengajian dari institusi pendidikan); dan Memerlukan kewangan bagi mengelak tindakan kebankrapan. (Berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang).

Jika bakal pesara ada sebab selain di atas, pengecualian boleh dimohon daripada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA dengan mengemukakan bukti bertulis untuk pertimbangan JPA.

Berkenaan potongan pinjaman perumahan, ia tertakluk kepada arahan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia. Rayuan untuk mengurangkan potongan boleh diajukan kepada bahagian terbabit.

Untuk maklumat rujuk http://www.jpapencen.gov.my

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,

Kaji Semula Jawatan Pembantu Makmal Sains Di Sabah - Cuepacs

SANDAKAN, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Sabah diminta mengkaji semula jawatan pembantu makmal sains yang dilihat tidak dinaik taraf untuk memenuhi keperluan dan status sekolah di negeri ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata langkah itu penting berikutan jawatan pembantu makmal sains yang sedia ada dilihat tidak setaraf dengan sekolah-sekolah di negeri ini yang kebanyakannya telah dinaikkan taraf kepada sekolah cemerlang atau sekolah bestari.

Katanya daripada 500 pembantu makmal sains di seluruh negeri ini, hanya tiga orang sahaja memegang gred C22 dan selebihnya masih gred C17.

"Ini dilihat jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung dengan lebih 30 orang menyandang gred C26," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Kesatuan Pembantu Makmal Sains (KPMS) Negeri Sabah di sini Jumaat.

Omar berkata beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri bagi mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya.

Beliau berkata masalah lain yang dihadapi oleh pembantu makmal sains di negeri ini adalah mereka yang masih dalam status sementara atau kontrak biarpun telah berkhidmat lebih 20 tahun.

Katanya adalah wajar jika golongan itu diserap kepada jawatan tetap berdasarkan prestasi mereka yang cemerlang selama ini.



-- BERNAMA