Kenaikan pangkat PTD perlu direvolusi semula
Sumbar : Utusan Online
Pendapat
ISU bantahan daripada kumpulan pendidik terhadap ‘gangguan’ pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) ke wilayah mereka bergema lagi. Utusan Malaysia semalam menyiarkan suatu bantahan yang boleh disifatkan sebagai hujah paling kuat setakat ini, iaitu pandangan daripada kumpulan 30 bekas pengarah pelajaran kementerian dan negeri, diketuai oleh Datuk Omar Hashim, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran.
Isu pengisian jawatan-jawatan tinggi dalam mana-mana jabatan kerajaan ini sememangnya menjadi duri dalam daging. Ia sedikit sebanyak mengurangkan motivasi para kakitangan dari sektor perkhidmatan lain yang bukan PTD untuk menyumbang khidmat dengan lebih kuat kepada negara. Mereka sedikit kecewa apabila terpaksa menunggu begitu lama untuk berpindah tangga kenaikan sama ada dari 41 ke 44, dan seterusnya.
Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam sektor pendidikan. Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan bahawa terdapat para doktor yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan selama sepuluh tahun masih lagi berada di tangga U41.
Dalam laporan yang sama, diberitakan bahawa kerajaan Singapura berminat untuk membuka perjawatan khususnya bagi para doktor dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.
Kita semua tahu bahawa untuk memasuki bidang kedoktoran, para pelajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan melalui penyaringan yang sangat ketat. Setelah belajar bertungkus-lumus, mereka pula akan menghadapi proses praktikum yang amat ketat sebelum mendapat kebenaran menjalani profesion mereka. Mereka bekerja berasaskan on call, tanpa mengira masa, siang atau malam.
Berbanding dengan para penjawat PTD ini, mereka biasanya direkrut daripada pelajar jurusan Sastera atau Kemanusiaan di universiti tempatan. Setelah dilatih dalam tempoh tertentu, maka mereka akan bekerja berasaskan waktu pejabat. Tepat loceng berbunyi jam lima petang mereka akan keluar pejabat dan mempunyai masa bersantai-santai di rumah.
Namun demikian, proses kenaikan pangkat mereka amat luar biasa. Setelah tiga atau empat tahun berada dalam tangga gaji 41, mereka akan terus dinaikkan ke tangga 44. Belum sampai 10 tahun berkhidmat, mereka telah mencapai 48, berbanding kakitangan awam dari sektor lain yang mungkin sampai pencen pun masih lagi berada di tangga 44 atau 48.
Apakah alasan kenaikan yang luar biasa cepat ini jika bukan disebabkan konspirasi PTD sesama mereka? Adakah kecemerlangan kerja dan wibawa yang menjadi sandaran kenaikan mereka?
Jika sebelum ini ada pandangan mengatakan bahawa kumpulan ini jumlahnya sedikit dan membentuk kumpulan elitis dalam perkhidmatan awam, sehingga digelar anak emas kerajaan. Persoalannya, adakah disebabkan jumlah yang sedikit maka mereka perlu dinaikkan pangkat dengan begitu pantas? Bilangan doktor tempatan juga sedikit, mengapa mereka tidak mendapat kenaikan secepat PTD?
Memetik semula kata-kata Omar disebabkan kenaikan pangkat yang cepat inilah menjadikan kumpulan PTD sebagai kumpulan yang menghidap sindrom Superiority Complex. Sindrom ‘mahkota yang terlalu berat untuk diletakkan di kepala’ ini, menurut seorang kawan, menjadikan seseorang pegawai PTD menanggung tugas yang tidak sepadan dengan kewibawaannya. Sebahagian mereka gagal menunjukkan sikap atau wibawa yang sepatutnya apabila bermesyuarat dengan para pegawai tinggi di dalam negeri atau luar negara.
Perkara ini sudah menjadi tradisi, dan orang-orang politik nampaknya semacam takut untuk mengusik kumpulan PTD sehingga tidak pernah menyentuh perkara ini di Parlimen. Maka sudah tiba masanya urusan kenaikan pangkat ini direvolusi semula. Orang politik perlu mempunyai keazaman yang tinggi kerana mungkin hanya dengan keazaman politik peringkat tinggi sahaja yang mampu mengubahnya.
Sudah pasti jika dibiarkan dan tidak disemak semula, ia akan menjadi barah kepada negara. Misalnya dengan tawaran yang menarik dari Singapura, bukan sahaja doktor, malah jurutera atau guru yang berkualiti pun mungkin akan berhijrah ke sana.
Pada masa itu, bukan soal patriotik lagi yang akan kita hujahkan. Kadang-kadang, orang akan berhijrah ke padang lain yang lebih hijau, walaupun hati mereka sangat ingin merasa walaupun hujan batu di tempat sendiri.
– ZAINUDIN OMAR,
Sintok, Kedah.