PDRM galak ketrampilan diri
Berita Harian
Oleh Hardi Effendi Yaacob
Usaha tingkat kemahiran melayan orang ramai di pelbagai peringkat: Musa
PETALING JAYA: Bukit Aman bercadang memperkenalkan subjek ketrampilan diri dan kemahiran melayani pelanggan sebahagian daripada modul asas latihan anggota polis di seluruh negara dalam usaha meningkatkan profesionalisme pasukan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata keutamaan diberikan kepada anggota, termasuk pelatih yang bertugas di kaunter, terutama di balai polis, yang terpaksa menghadapi pelbagai kerenah orang ramai.
“Budi bahasa yang baik perlu ada pada setiap anggota polis, terutama mereka yang memberikan perkhidmatan kaunter. Perlu ada ketrampilan diri, selain kemahiran bercakap dan melayan pelanggan supaya kita kelihatan profesional.
“Ia mengeratkan lagi hubungan kita dengan orang ramai, sekali gus menggalakkan mereka sama-sama membantu memerangi jenayah. Kita bercadang menjadikan subjek ini sebahagian daripada modul kursus kita, termasuk pada peringkat latihan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pelancaran Kempen Senyum dan Mesra Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2007 oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, di sini semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Zakiah Ahmad; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee dan Ketua Polis Selangor, Datuk Ismail Mansor.
Musa berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan ahli akademik, selain universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengajian itu untuk bekerjasama menyiapkan modul latihan berkenaan sebelum dilaksanakan secara meluas di seluruh negara.
“Dalam PDRM, latihan dibuat secara berterusan menggunakan kaedah teori dan praktikal. Sebab itulah, ramai pelatih kita turut dihantar bertugas di balai polis untuk diberikan pendedahan, selain melihat sendiri suasana tugasan sebenar.
“Biar mereka melihat sendiri bagaimana anggota yang ada dalam perkhidmatan, terutama petugas di kaunter melayan pelanggan. Ini penting supaya mereka boleh membuat persediaan apabila tamat latihan dan mula bertugas nanti,” katanya.
Beliau mengaku pernah menerima rungutan daripada orang ramai mengenai sikap segelintir anggota yang biadab, selain tidak mesra ketika bertugas, terutama petugas kaunter.
“Ini masalah serius dan tindakan segera akan diambil. Biasanya, mereka akan ditukarkan serta-merta sebab kita tidak mahu hanya kerana seorang anggota berperangai begitu, seluruh pasukan dipandang negatif.
“Ia bukan bermakna kita mahu menghukum mereka. Kita akan hantar mereka berkursus dan memperbaiki segala kelemahan itu, dengan harapan mereka boleh berubah serta kembali bertugas di kaunter,” katanya.
Bagaimanapun, Musa memberi amaran tindakan tatatertib akan diambil terhadap mana-mana anggota yang masih berdegil dan terus bersikap biadab ketika berurusan dengan orang ramai.
“Apabila saya keluarkan arahan, saya harap ia dipatuhi. Jika masih ada anggota yang berdegil, saya tiada pilihan lain kecuali mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka. Kita mahu setiap anggota lebih bertanggungjawab ketika bertugas,” katanya.
Katanya, orang ramai boleh menggunakan borang e-aduan yang disediakan melalui laman web, www.rmp.gov.my bagi menyalurkan maklum balas mengenai mutu perkhidmatan setiap anggota polis.
No comments:
Post a Comment