23 October 2009

Bayaran Khas Kewangan RM500 Untuk Semua Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Bayaran khas kewangan sebanyak RM500 kini dipanjangkan kepada semua penjawat awam Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat.

Beliau bekata bayaran khas itu akan dibuat pada Disember dan langkah itu memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM400 juta.

Bulan lepas, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan itu kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada September dan Disember. Ia melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM430 juta.

Terdapat kira-kira 1.2 juta kakitangan awam pada masa ini, bermakna sebanyak 340,000 lagi penjawat awam dalam Gred 41 hingga Gred 54 akan menikmati faedah itu sekarang.

"Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penjawat awam dan pesara dan diharapkan mereka akan menggunakan pemberian ini dengan sebaik-baiknya," katanya semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.

Kerajaan, katanya menghargai komitmen dan kegigihan penjawat awam dalam memastikan pembangunan negara tercapai demi kesejahteraan rakyat.

Bagi mengalakkan pengunaan komputer, penjawat awam kini boleh membuat pinjaman kerajaan bagi maksimum RM5,000, sekali dalam setiap tiga tahun bermula tahun depan, berbanding sekali setiap lima tahun sekarang, katanya.



-- BERNAMA

Cuepacs Nasihatkan Penjawat Awam Terus Tingkatkan Prestasi

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman mengingatkan penjawat awam agar terus meningkatkan prestasi dan produktiviti mereka walaupun tiada pembayaran bonus diumumkan pada pembentangan bajet 2010 Jumaat.

Beliau berkata penjawat awam tidak sepatutnya mengharapkan bonus sebagai penentu prestasi sehingga menjejaskan kerja mereka, tetapi sepatutnya melihat dari sudut positif tentang kemudahan dan kebajikan yang diperuntukkan kerajaan.

"Memanglah sebagai wakil pekerja ada rasa tidak puas hati dengan pembentangan (bajet) kali ini tapi soal bonus bukan menjadi satu landasan atau ukuran kepada prestasi kerja kami.

"Bukan semata-mata bonus yang dikejar, tapi yang lebih penting adalah perjuangan kebajikan penjawat awam itu sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama.

Berkenaan bayaran khas RM500 yang diberikan kepada semua penjawat awam Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib Osman berkata, bayaran itu diharapkan dapat ditambahkan lagi nilainya.

Bayaran khas itu diumumkan semasa pembentangan bajet 2010 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan pembayarannya akan dibuat Disember ini dan langkah itu memerlukan peruntukan tambahan RM400 juta.

Omar berkata satu mesyuarat tergempar akan diadakan Ahad ini untuk membincangkan isu berhubung keputusan pembentangan bajet ini.

Katanya dalam mesyuarat yang akan datang ini, para perwakilan Cuepacs akan membincangkan secara professional tentang keputusan bajet ini dengan memberi fokus tentang kesannya untuk jangka masa panjang.

"Kami akan bawa ia (hasil perbincangan) itu kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan untuk mempertimbangkan semula harapan pemberian bonus dua bulan untuk penjawat awam," katanya.

Omar menyifatkan bajet kali ini lebih memberi fokus kepada rakyat sejajar dengan konsep rakyat didahulukan.

-- BERNAMA

JPA perlu tangani masalah elak jejas moral kakitangan

Utusan Online

SAYA ingin merujuk kepada pekeliling JPA berkaitan 'penjumudan pembantu tadbir rendah N11 ke N17' yang mula berkuat kuasa pada bulan Julai 2009. Penambahbaikan tersebut oleh pihak JPA amatlah dialu-alu oleh kakitangan awam yang terlibat.

Namun di sebalik itu, bagaimanakah nasib Pembantu Tadbir N17 dan W17 yang sekarang ini telah sama taraf dengan Pembantu Tadbir Rendah yang telah dijumudkan?

Jika dilihat dari segi gaji, mereka yang dijumudkan jawatan N17 lebih 'untung' berbanding dengan N17 dan W17. Ini kerana semasa tempoh perkhidmatan sebagai pembantu tadbir rendah, kebanyakan mereka telah pun lulus ujian menaip dan diberi anjakan empat mata gaji.

Kenaikan gaji tahunan juga lebih daripada N17 dan W17 setiap tahun. Bagi yang lulus PTK, pastinya gaji akan dianjak lagi.

Apabila dijumudkan, anjakan gaji akan berlaku lagi. Jika dibuat perbandingan dengan gaji Pembantu Tadbir Rendah dijumud N17 dengan Pembantu Tadbir N17 dan W17 yang sedia ada, gaji mereka lebih tinggi.

Selepas proses penjumudan ini, sudah semestinya Imbuhan Khidmat Awam, Imbuhan Perumahan juga akan dibuat pelarasan dan mereka pastinya akan mendapat bayaran tunggakan. Ini juga memberi kelebihan kepada mereka yang dijumud.

Dari segi tanggungjawab pula, kebanyakan pembantu tadbir yang dijumud kurang arif dengan kerja-kerja perkeranian kerana sebelum ini mereka hanya menjalankan kerja menaip seperti yang diarahkan.

Pihak JPA seharusnya mengambil inisiatif membuat pertukaran jabatan kepada mereka agar dapat belajar perkara yang baru.

Sekiranya masih di jabatan lama, tabiat sebagai typist sukar dibuang dan mereka masih menjalankan tugas-tugas 'lama' mereka.

Keadaan akan bertambah buruk jika ketua jabatan tidak membuat penstrukturan semula tugas mereka agar ia bersesuaian dengan jawatan dan gaji baru mereka.

SEKADAR INGIN MELUAH

19 October 2009

JPA perjelas skim gaji

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk artikel ‘Gaji pensyarah lulusan sarjana sama gred guru sekolah rendah’ oleh Pensyarah Sarjana Malang yang disiar 7 Oktober lalu.

Untuk pengetahuan, Skim Perkhidmatan Pensyarah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah adalah berbeza yang memperuntukkan kelayakan masuk, gred jawatan, perbekalan kenaikan pangkat, jadual gaji matriks mengikut skop dan fungsi diperlu perkhidmatan itu.

Skim Perkhidmatan Pensyarah mengambil kira keperluan semasa dan peranan pensyarah dalam pembangunan modal insan pada peringkat pengajian tinggi. Pelantikan ke Skim Perkhidmatan Pensyarah bermula di Gred DS45. Kelayakan ialah sarjana. Pemegang kelulusan ini boleh dilantik ke gred lebih tinggi berdasarkan pengalaman dan kecemerlangan akademik istimewa.

Pensyarah Universiti Gred DS45, DS51 dan DS52 boleh dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi (Gred DS54 dan ke atas) jika universiti bersetuju pensyarah berkenaan mencapai tahap kecemerlangan akademik istimewa dan memenuhi syarat lain ditentukan lembaga pengarah universiti. Keputusan kenaikan pangkat perlu diperakukan ketua perkhidmatan. Pengadu boleh hubungi 03-8316 4073 di Bahagian Saraan, JPA untuk tindakan lanjut.

NIK NORAINI

NIK YA,

Ketua Unit Komunikasi

Korporat, JPA.

Pengurusan Hutan Di Kelantan, Pahang, Johor Dan Sarawak Kurang Memuaskan

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan hari ini mendapati pengurusan hutan di Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak kurang memuaskan.

Menurut laporan itu antara faktor yang menyebabkan terjadinya demikian ialah pembalakan haram, pembalakan di kawasan hutan simpan atau taman negara dan kawalan serta penguatkuasaan yang kurang berkesan oleh pihak yang berkenaan.

Pengurusan hutan yang kurang cekap antara lain telah menyebabkan pencemaran sungai, hakisan dan tanah runtuh serta kemusnahan spesies flora dan fauna, menurut laporan itu.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) yang menguruskan hutan di negeri itu dikatakan lebih mementingkan hasil yang diperoleh daripada pemberian kawasan pembalakan berbanding menjaga kepentingan alam sekitar.

"JPNK telah gagal mewartakan semua kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sebagai Hutan Perlindungan sebagaimana yang dicadangkan.

"Perkara ini boleh menjejaskan keselamatan dan perlindungan hutan yang sepatutnya dilindungi bagi mengekalkan dan memulihara kualiti alam sekitar terutama kawasan perlindungan tanah tinggi melebihi 1,000 m apl (meter atas paras laut)," demikian menurut laporan itu.

Laporan bagi Pahang pula mendapati Projek Ladang Hutan di HSK Lesong, walaupun sedang dilaksanakan dengan kelulusan, tetapi kedudukannya yang terletak di tengah-tengah kawasan itu telah memberi kesan serius terhadap alam sekitar.

"Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) perlu menyediakan satu perancangan khusus dan komprehensif sebelum melaksanakan projek itu dengan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar dan juga terhadap kawasan HSK yang dimajukan.

"Selain itu, implikasi kepada JPNP dari aspek pemantauan, keperluan guna tenaga, logistik, kos dan masa juga perlu diambil kira," menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Kerajaan Mungkin Tanggung Kos Kerugian RM1.14 Bilion Projek Landasan Berkembar Elektrik

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan besar kemungkinan terpaksa menanggung sebahagian RM1.14 bilion kos kerugian, dianggarkan bagi projek Landasan Berkembar Elektrik antara Rawang dan Ipoh, yang tidak diuruskan dengan baik.

Pengauditan yang dijalankan antara Ogos 2008 hingga Jan 2009 mendapati beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu seperti kelewatan projek disiapkan menyebabkan kos projek meningkat, peralatan dibeli melebihi keperluan serta perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur menyebabkan infrastruktur yang dibangunkan tidak dapat digunakan sepenuhnya sebaik sahaja ia disiapkan.

"Projek ini tidak diuruskan dengan baik menyebabkan objektif pelaksanaannya tidak dapat dicapai seperti mana yang dirancang," menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 yang diedarkan di sini.

Laporan itu berpendapat Kementerian Pengangkutan sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap pengurus projek iaitu Syarikat Kinta Samudera-Opus Consortium (KS-Opus) yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan melaporkan kepada Kementerian Kewangan supaya perkhidmatannya dapat ditamatkan selaras dengan syarat kontrak.

"Berdasarkan maklumbalas yang dikemukakan oleh Kementerian (Pengangkutan), didapati prestasi kerja KS-Opus adalah kurang memuaskan. Mengikut kementerian, syarikat ini gagal melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya seperti mana yang ditetapkan dalam kontrak," katanya.

Bagaimanapun pihak audit tidak mendapat sebarang bukti yang menunjukkan Kementerian Pengangkutan telah membuat teguran tentang pengurusan projek itu kepada Kementerian Kewangan dan tiada bukti menunjukkan Kementerian Pengangkutan menyediakan laporan suku tahun berhubung pengurusan projek seperti mana yang disyaratkan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 8 Tahun 2006.

Selain itu, laporan berkenaan mendapati keseluruhan jumlah itu mungkin tidak dapat dituntut daripada DRB-Hicom Berhad yang merupakan kontraktor asal projek berikutan syarat kontrak hanya sebanyak 10 peratus daripada nilai kontrak iaitu RM257.99 juta sahaja liabiliti maksimum yang boleh dituntut.

DRB-Hicom tidak dapat menyiapkan Pakej Infrastruktur pada 10 Dis 2003 dengan kemajuan kerja pada ketika itu adalah 76.8 peratus sahaja dan Kementerian Pengangkutan menamatkan kontrak DRB-Hicom pada 5 Ogos 2005.

"Kementerian Pengangkutan sepatutnya mengenakan Liquidated Ascertained Damages (LAD) berjumlah RM80.88 juta juta (RM164,727 sehari) terhadap DRB-Hicom kerana kegagalannya menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Kegagalan DRB-Hicom itu menyebabkan kerajaan terpaksa melantik kontraktor penyelamat untuk menyiapkan baki 22.4 peratus kerja yang belum disiapkan dengan melantik UEM Construction Sdn Bhd (UEMC) sebagai kontraktor utama melalui rundingan terus dengan harga kontrak ditetapkan secara tambahan kos bernilai RM772.05 juta pada Jun 2005.

Sehingga Disember 2008, sejumlah RM5.77 bilion dibelanjakan untuk melaksanakan projek ini dengan jumlah perbelanjaan RM1.43 bilion (32.9 peratus) lebih tinggi daripada nilai kontrak asal projek berjumlah RM4.34 bilion.

Mengenai kualiti kerja, laporan itu menyebut kualiti pembinaan stesen secara umumnya adalah memuaskan kecuali reka bentuk bumbung jejantas pejalan kaki yang menghubungkan antara dua platform di Stesen Tanjung Malim didapati kurang sesuai kerana terlalu tinggi dan menyebabkan tempias apabila hujan.

Laporan itu turut menyatakan perkhidmatan tren antara bandar KL Sentral dan Ipoh dimulakan pada Disember 2008 menggunakan tren diesel walaupun sepatutnya tren elektrik digunakan.

"Peruntukan untuk membeli enam Electric Train Set (ETS) berjumlah RM240 juta dipohon semasa Rancangan Malaysia Kelapan, namun hanya RM20 juta diluluskan dan peruntukan ini tidak mencukupi untuk membeli enam ETS. Hanya di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, sejumlah RM249.6 juta diluluskan untuk membeli ETS tersebut," menurut laporan itu.

Mengenai 10 Automatic Fare Collection System (AFCS) yang bernilai RM54.43 juta, laporan itu menyatakan hanya lima stesen di Serendah, Batang Kali, Rasa, Kuala Kubu Baru dan Tanjung Malim yang dipasang AFCS dan selebihnya disimpan di stor di Kuala Kubu Baru, Behrang dan Slim River.

"Kelemahan merancang dan kegagalan menyelaraskan perolehan AFCS dengan keperluan sebenar menyebabkan berlaku lebihan perolehan lima set bernilai RM27.22 juta. Sekiranya peralatan ini berterusan tidak digunakan, ia merupakan satu pembaziran," menurut laporan itu.

Projek Landasan Berkembar Elektrik antara Rawang dan Ipoh sepanjang 179km bagi membolehkan penggunaan keretapi dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam melibatkan nilai kontrak berjumlah RM4.34 bilion.

Penyelewengan Dalam Penggunaan Kenderaan Milik Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendapati berlaku penyalahgunaan kenderaan milik kerajaan negeri di tiga buah negeri iaitu Pahang, Perak dan Pulau Pinang pada tahun lepas.

Penyelewengan itu melibatkan pelbagai masalah termasuk penggunaan bahan api berlebihan, penyenggaraan kenderaan di bengkel yang tidak dikhususkan dan kekerapan penggantian tayar yang tidak munasabah.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara terdapat penyelewengan penggunaan bahan api yang berlebihan dalam tempoh masa yang singkat oleh kenderaan kerajaan negeri Pahang.

"Kenderaan yang didapati kerap mengisi bahan api adalah kereta jenis Proton Perdana nombor pendaftaran CBD 88 yang dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh sebulan pada Disember 2008.

"Semakan audit juga mendapati pengisian sebanyak 743.39 liter berjumlah RM1,350 itu dilakukan dalam tempoh yang singkat iaitu antara satu hingga dua minit berbanding dengan kuantiti yang diisi," menurut laporan itu.

Bagaimanapun tiada tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan menyebabkan pejabat setiausaha kerajaan menanggung kos penggunaan bahan api yang tinggi pada bulan tersebut.

Dalam pada itu di negeri Perak pula didapati kos penyenggaraan kenderaan kerajaan negeri adalah tinggi akibat tidak dihantar ke pusat servis yang dikhususkan.

Ini kerana kerajaan negeri tidak menetapkan bengkel khusus untuk menyenggara kenderaan sebaliknya ia dilakukan berdasarkan permohonan yang diterima daripada syarikat yang berkaitan.

"Menerusi semakan audit terdapat sampel baucar bayaran yang dipilih mendapati kos penyenggaraan berjumlah RM262,256 atau 69.4 peratus untuk kereta Proton Perdana di sebuah syarikat penjual tayar. Berbanding di Syarikat EON Service Sdn Bhd iaitu hanya RM15,197 atau 4 peratus sahaja untuk tempoh 2004 hingga 2008," katanya.

Laporan itu juga mendapati syarikat tersebut dimiliki oleh bukan bumiputera dan kebanyakan alat ganti yang digunakan adalah diimport dari luar negara berbanding Syarikat EON Sdn Bhd daripada keluaran tempatan.

Alasan pejabat SUK mengapa kereta tersebut dihantar ke syarikat itu adalah kerana kenderaan EXCO yang memerlukan penyenggaraan segera sedangkan Syarikat EON Services Sdn Bhd tidak dapat memberikan servis dengan segera.

Masalah kekerapan penggantian tayar dikenalpasti berlaku di Pulau Pinang iaitu kekerapan penggantian tayar berlaku pada tiga buah kenderaan yang bernombor pendaftaran PED 21, PBF 1 dan PAF 1.

Penyiasatan audit itu juga melaporkan kesemua penggantian tayar adalah disebabkan keadaan bunga tayar yang telah haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam dan tayar keras.

Katanya penggantian tayar yang terlalu kerap bagi tempoh tiga hingga 34 bulan dan penggunaan pada jarak perbatuan antara 1,700 kilometer hingga 21,900 kilometer untuk tiga kenderaan itu juga adalah meragukan.

Sehubungan dengan itu, Pejabat SUK telah menetapkan setiap penggantian tayar perlu mendapat kelulusan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) dan tayar yang telah digantikan akan disimpan bagi tempoh tertentu mulai 20 Mei 2009.

Secara keseluruhan didapati kebanyakan proses penyenggaraan kenderaan milik kerajaan negeri adalah tidak memuaskan dan tidak mengikut peraturan dan prosedur pejabat SUK.

"Pejabat SUK perlu mengawal perbelanjaan penyenggaraan kenderaan dengan meneliti kos pembaikan yang terlibat dan memilih pusat servis yang menawarkan harga yang munasabah supaya tujuan penjimatan dapat dicapai di samping memastikan hanya penyenggaraan yang perlu sahaja dilakukan," menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Perbezaan Besar Harga Pembelian Peralatan Bagi ILP, Kata Ketua Audit

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Seunit alat 'pole platform' yang dibekalkan oleh sebuah syarikat kepada Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Miri di Sarawak berharga RM30,510 manakala alat yang sama dibeli oleh ILP Sandakan dan ILP Kepala Batas masing-masing pada harga RM1,600 dan RM1,240.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008, kos pembelian peralatan itu jauh lebih tinggi daripada harga pasaran dan harga yang ditetapkan dalam kontrak pembekalan alat yang sama kepada ILP menunjukkan perbezaan yang ketara.

Ini adalah antara kelemahan ketara yang dikenalpasti oleh Jabatan Audit Negara dalam pengurusan peralatan di tiga institusi latihan iaitu ILP, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Teknikal Jepun-Malaysia.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan di sini hari ini, kesemua institusi latihan itu di bawah seliaan Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia.

Laporan itu juga menyebut harga yang ditawarkan oleh pembekal tidak disemak dengan teliti menyebabkan harga peralatan yang sama berbeza dengan ketara di antara ILP.

Laporan itu menyebut perolehan peralatan oleh kementerian itu termasuk beberapa peralatan bernilai RM3.66 juta yang dibekalkan antara 2001 dan 2006 masih tidak digunakan.

Misalnya, laporan itu berkata sembilan jenis peralatan bernilai RM1.42 juta yang dibekalkan kepada ILP Kota Samarahan, Sarawak, antara 2001 dan 2004 bagi kursus fabrikasi logam dan kursus juru elektrik tahap III masih belum digunakan hingga akhir tahun lepas.

Katanya ia adalah kerana kursus itu hanya akan dijalankan awal tahun ini.

Peralatan tersebut termasuk lima unit Micro Plasma Welding Machine yang bernilai RM93,160 seunit dan satu unit CNC Turret Punch Press bernilai RM593,527.

Laporan itu berkata keadaan ini boleh menyebabkan peralatan tersebut terdedah kepada risiko kerosakan dan kos pembaikan dan penggantiannya perlu ditanggung oleh kementerian berkenaan memandangkan tempoh jaminan peralatan itu telah pun tamat.

Laporan itu turut menyentuh nilai kontrak bagi membekalkan peralatan ke ILP Kuala Langat yang bernilai RM61.49 juta di mana nilainya antara 36.6 hingga 53.7 peratus lebih tinggi daripada harga siling projek itu yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Selain itu, laporan itu mendedahkan masalah ILP yang sama dikesan dengan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Misalnya, Kolej Komuniti Kuala Langat menyewa peralatan bagi kursus teknologi elektrik dengan harga sewaan RM137,473 untuk menjalankan teknik penilaian dalam kelas.

Bagaimanapun, peralataan yang disewa itu antara Mac tahun lepas hingga Februari lepas tidak disenaraikan dalam perolehan peralatan kursus.

Dalam pada itu, di Kolej Komuniti Tawau, Sabah, terdapat 10 jenis peralatan bernilai RM494,518 untuk kursus diploma automatif yang diterima sejak 2002 dan 2004 tetapi masih tidak digunakan kerana kursus itu belum dilaksanakan, katanya.

-- BERNAMA

Kelemahan Dalam Pengurusan Program Pembangunan Modal Insan MOSTI

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Beberapa kelemahan dikesan dalam pengurusan Program Pembangunan Modal Insan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengakibatkan objektif program tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Program Pembangunan Modal Insan Dalam Bidang Sains, Teknologi dan Inovasi Tahun 2008, antara masalah lain termasuklah pembiayaan kepada penerima tidak mematuhi syarat kelayakan, kelemahan dalam kontrak perjanjian, kelewatan mengagihkan peruntukan, kegagalan mematuhi syarat perjanjian serta kelemahan pemantauan dan penilaian terhadap pelaksanaan program.

"Kementerian memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan bagi membiayai latihan serta penyelidikan seramai 6,230 pelajar dan pegawai sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 hingga 2010).

"Bagaimanapun, semakan audit mendapati setakat 31 Dis 2008, seramai tidak kurang daripada 7,010 orang menerima pembiayaan daripada program ini melibatkan perbelanjaan RM153.73 juta iaitu 30.8 peratus daripada peruntukan keseluruhan dan ini menyebabkan sasaran mengikut skim tidak dapat dicapai," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut MOSTI seharusnya mempertingkatkan promosi menjelaskan tentang program ini terutamanya di kalangan pelajar dan pensyarah Institusi Pengajian Tinggi dan pegawai kementerian atau agensi yang terlibat dalam bidang sains dan teknologi.

Bagi masalah Ketidakpatuhan Terhadap Kriteria Kelayakan Skim Latihan Kepakaran Teknikal (LKT), semakan audit terhadap 3,452 penerima biayai mendapati hanya 1,152 penerima pembiayaan terdiri daripada mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Bagaimanapun, sejumlah RM20.10 juta daripada RM68.71 juta yang dibelanjakan pada tahun 2006 dan 2007 di bawah Skim LKT diluluskan oleh kementerian kepada MDeC Sdn Bhd untuk membiayai projek dan menjalankan kursus yang tidak berkaitan dengan skop di bawah skim itu," katanya.

Peruntukan itu digunakan untuk membiayai 2,300 penerima yang terlibat dengan skim itu termasuk kem kerjaya bertujuan membantu graduan menganggur mendapat pekerjaan, membantu syarikat berstatus MSC Malaysia mendapat pekerja, mengadakan kursus Bahasa Inggeris serta kemahiran berkomunikasi kepada pelajar prasiswazah.

Laporan audit menyebut faktor kelemahan dalam kontrak perjanjian wujud disebabkan tidak semua perjanjian mensyaratkan penerima biasiswa mengemukakan keputusan peperiksaan setiap semester kepada kementerian dan tidak semua perjanjian menetapkan penerima biasiswa perlu berkhidmat dengan kerajaan selepas tamat pengajian.

"Akibat ketiadaan syarat mengenai keperluan mengemukakan keputusan peperiksaan setiap semester, menyebabkan 74 penerima biaya bagi Skim PGD di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara yang diaudit tidak mengemukakan keputusan peperiksaan kepada kementerian," menurut laporan itu.

Hanya mulai Mac 2009, MOSTI mengarahkan supaya universiti memaklumkan kepada penerima biaya untuk mengemukakan laporan kemajuan penyelidikan dua kali setahun.

Laporan Audit mendapati peruntukan 2007 dan 2008 lewat disalurkan kepada pihak berkenaan sehingga terdapat kes peruntukan hanya disalurkan selepas 10 hingga 119 hari kursus dijalankan dan jabatan atau agensi terlibat terpaksa menggunakan peruntukannya sendiri.

Bagi kegagalan mematuhi syarat perjanjian, semakan audit dijalankan terhadap rekod berhubung 20 penerima Skim Hadiah Biasiswa 'National Science Fellowship' bagi tahun 2006 hingga 2008.

"Pada pandangan audit, kementerian dan IPT perlu mempertingkatkan pemantauan untuk memastikan pelajar yang mendapat biasiswa mematuhi syarat kontrak dan mengenakan ganti rugi terhadap mereka yang ingkar."

Semua syarat penting hendaklah dimasukkan ke dalam perjanjian seperti mengkehendaki penerima biaya mengemukakan keputusan peperiksaan semester atau laporan kemajuan penyelidikan," kata laporan itu.

-- BERNAMA

Kakitangan MTPN Bakal Diserapkan Ke Jabatan Pelancongan Negeri

RAUB, 19 Okt (Bernama) -- Kakitangan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) di seluruh negara yang akan ditamatkan kontrak pada akhir tahun ini bakal diserapkan ke jabatan pelancongan negeri-negeri.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen bagaimanapun berkata mereka yang terbabit perlulah memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

"Status MTPN akan ditamatkan pada akhir tahun ini dan akan wujudnya jabatan pelancongan di setiap negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Muhibbah dekat sini.

Beliau berkata MTPN sepatutnya dimansuhkan pada Jun lepas tetapi ditangguhkan ke akhir tahun ini bagi membolehkan beberapa perkara termasuk urusan berkaitan 200 kakitangan terbabit diselesaikan.

Pada majlis itu, kira-kira 7,000 penduduk di daerah itu hadir sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Sementara itu, Dr Ng berkata lebih 100 lesen pemandu pelancong di seluruh negara akan dibatalkan pada awal tahun depan.

Beliau berkata penamatan lesen pemandu pelancong itu adalah disebabkan mereka yang terbabit tidak lagi aktif.

"Kementerian ada syarat bahawa setiap tahun akan memperbaharui lesen untuk menentukan perkhidmatan mereka.

"Kita tidak menamatkan kontrak mereka sesuka hati namun ada di antara mereka telah membawa masalah seperti ada yang tidak aktif dalam perkhidmatan dan ada yang tidak menghantar akaun kepada kementerian," katanya.

Beliau berkata setakat ini ada lebih 5,000 pemandu pelancong di seluruh negara.



-- BERNAMA