27 May 2007

40,000 lagi layak nikmati kenaikan gaji

Utusan Online

PUTRAJAYA 24 Mei – Kira-kira 40,000 pegawai kerajaan yang bertaraf kontrak, sementara, sambilan, khidmat singkat dan guru sambilan layak menikmati kenaikan gaji yang diumumkan oleh kerajaan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Hasniah Rashid berkata, malahan pegawai awam yang sedang bercuti belajar dan menikmati gaji penuh, separuh gaji dan tanpa gaji turut layak menikmati kenaikan gaji tersebut.

Kenaikan gaji pegawai berkenaan, katanya bergantung kepada skim perkhidmatan yang mereka nikmati ketika ini.

‘‘Pegawai bertaraf sementara, sambilan, kontrak, cuti belajar dalam negeri dan guru sandaran juga layak menikmati kenaikan Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak 100 peratus.

‘‘Malahan pegawai dalam kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan turut layak menikmati kenaikan COLA namun pegawai yang berada dalam kumpulan pengurusan tertinggi tidak layak menikmatinya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 21 Mei lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan kerajaan antara 7.5 dan 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini.

Anggota polis dan tentera mendapat kenaikan gaji antara sembilan hingga 42 peratus, iaitu 20 peratus lebih tinggi daripada peratus kenaikan gaji kakitangan awam lain.

Turut dinaikkan ialah COLA sebanyak 100 peratus bagi menampung kos hidup kakitangan awam di bandar-bandar besar selain menaikkan pencen 557,033 pesara kerajaan.

No comments: