09 April 2008

RM5.8b bina kuarters awam

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM5.8 bilion bagi membina lebih 23,000 unit kuarters untuk kakitangan awam di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya yang dijadual siap sepenuhnya menjelang akhir 2010.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata setakat ini, 11,213 unit kuarters sudah disiap dibina membabitkan kos kira-kira RM3.7 bilion.

"Menjelang akhir 2010, dijangka sebanyak 12,073 lagi unit kuarters siap," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Dengan Ketua-ketua Masyarakat Kuarters Putrajaya di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Pelan Strategik Bahagian Pengurusan hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri bagi tempoh 2008-2010 yang bermatlamat meningkatkan mutu kehidupan warga penghuni kuarters.

Selain kuarters di Putrajaya, BPH turut mengurus dan menyelenggara kuarters terletak di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai (Negeri Sembilan), Tanjung Kupang (Johor) dan Labuan serta pengurusan rumah peranginan dan penginapan Persekutuan di dalam dan luar negara.

Mohd Sidek berkata, tahun lalu, BPH membelanjakan RM4.7 juta bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan di sini.

Katanya, memandangkan bilangan kuarters akan bertambah dan usia kuarters yang sedia ada semakin meningkat, kos penyelenggaraannya dijangka akan bertambah.

"Sehubungan itu, perlunya warga penghuni kuarters memainkan peranan supaya kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak perlu dapat dielakkan dan BPH perlu memastikan unit kuarters yang masih kosong diisi dengan segera bagi mengelakkannya mengalami kerosakan," katanya.

Mengenai isu penghuni kuarters hilang kelayakan menduduki kuarters apabila mempunyai rumah dalam lingkungan 25 kilometer dari tempat kerja, Mohd Sidek berkata mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 berkuatkuasa 1 April tahun lalu, penghuni terbabit masih boleh terus menduduki kuarters masing-masing dengan syarat bersetuju dengan bayaran berganda.

"Saya harap isu bayaran berganda itu difahami dengan mengambil kira segala kemudahan sampingan yang disediakan seperti sekolah, pusat komuniti, taman rekreasi dan sebagainya," katanya.

BPR tahan 145 orang

Utusan Online

PUTRAJAYA 8 Apri – Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan 145 orang termasuk 13 pegawai kanan kerajaan kerana terlibat dalam kegiatan rasuah bernilai RM11.2 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Bahagian Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, untuk tempoh yang sama, seramai 59 penjawat awam lain-lain pangkat turut ditahan kerana terlibat dalam gejala tersebut.

‘‘Selain itu, BPR juga menahan 44 pekerja swasta dan 29 orang awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah antara bulan Januari hingga Mac ini.

‘‘Nilai rasuah melibatkan kesemua pelakunya adalah kira-kira RM11.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shukri, bagi tempoh yang sama, BPR merampas harta benda bernilai RM900,000 dan menyita harta benda bernilai RM700,000 atas perintah mahkamah.

‘‘Kami juga mempunyai permohonan kes rampasan harta bernilai RM700,000 yang sedang menunggu perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, BPR menerima sejumlah 3,834 maklumat rasuah.

‘‘Daripada jumlah itu, BPR membuka sebanyak 357 kertas siasatan,” katanya.

07 April 2008

CUEPACS sedia kompromi sambutan Hari Pekerja

Utusan Online

KUALA LUMPUR 6 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja Mei depan sekiranya pertemuan mereka dengan kerajaan pada 14 April ini mencapai matlamat.

Presidennya, Omar Osman berkata, pertemuan sembilan pegawai tertinggi CUEPACS dengan Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pada hari berkenaan bertujuan membincangkan lima tuntutan yang diperjuangkan kesatuan itu sejak September tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, jika perbincangan itu tidak mendatangkan apa- apa hasil, maka CUEPACS tetap dengan pendiriannya untuk memboikot sambutan yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 dan 29 Mei depan.

''Rasanya tidak adil jika kakitangan kerajaan yang kini sedang berjimat cermat menyambut Hari Pekerja secara besar-besaran.

''CUEPACS merasakan ia satu tindakan membazir kerana lebih baik kita menyambut sekali sahaja sebagai simbolik menghargai Hari Pekerja,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan CUEPACS supaya tidak menggunakan pendekatan mengugut kerajaan dalam menyelesaikan isu berbangkit.

Ingatan itu diberikan selepas kesatuan tersebut mengancam akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja pada bulan depan jika lima tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Mengulas tindakan berani CUEPACS itu, Omar memberitahu, pihaknya tidak mempunyai niat untuk bertindak kasar tetapi memikirkan penyelesaiannya yang agak lambat dan masih agak samar, menyebabkan CUEPACS bertindak sedemikian.

''Kita berasa lega apabila Perdana Menteri menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan bila-bila sahaja sebagai tanda prihatin tentang keresahan ekonomi di kalangan kakitangan awam,'' katanya.

Menurutnya, lima tuntutan CUEPACS ialah bayaran honorarium tahun 2007 sebanyak RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan, kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun dan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), elaun kritikal dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).

''Nilai kesemua tuntutan itu melibatkan perbelanjaan tidak sampai RM2 bilion dan CUEPACS akan memanfaatkan pertemuan tersebut untuk berunding termasuk mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan,'' jelasnya.

Omar berkata, hasil pertemuan dengan kerajaan pada 14 April itu akan disusuli dengan satu mesyuarat di pejabatnya empat hari kemudian bagi memutuskan sama ada CUEPACS menyertai kedua-dua sambutan Hari Pekerja atau tidak.

Khidmat sektor awam belum memuaskan

Berita Harian

SAYA terpanggil untuk mengulas laporan mengenai ugutan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk memulau Hari Pekerja Sektor Awam yang akan diadakan Mei ini, sekiranya tuntutannya tidak dipenuhi kerajaan.

Sebelum memulaukan sambutan, kita boleh melihat rekod mutu perkhidmatan awam yang pada pandangan saya belum mencapai tahap membanggakan.

Mungkin pembaca boleh merenung dan berkongsi pengalaman ketika berada atau menghubungi sesetengah jabatan kerajaan. Keadaan berikut masih ada dan menimbulkan rungutan.

l Pejabat Tanah di mana-mana daerah di negara ini. Jawapan diterima, 'pegawai kursus, bercuti, mesyuarat' Pilihan yang ada, 'datang semula esok, petang nanti, hubungi semula minggu depan.'

l Singgah di mana-mana kedai minum atau restoran berdekatan pejabat kerajaan pada bila-bila masa dari jam 8 pagi hingga 4 petang, mustahil sekiranya tidak menemui kakitangan kerajaan sedang berborak kosong dan minum sambil ketawa berdekah-dekah.

l Kereta jabatan yang mewah dan baru senantiasa menghiasi pintu masuk pejabat kerajaan hinggakan rakyat terpaksa berhimpit-himpit untuk masuk melalui tepi kaki lima pejabat.


l Pelbagai elaun dinikmati kakitangan awam yang tidak pernah diterima pekerja swasta. Sebagai contoh, pekerja bank tidak mempunyai banyak elaun berbanding kakitangan awam, namun perkhidmatan 'kelas pertama.'

l Semua latihan dan kursus dibuat di luar negeri. Kakitangan awam dari Melaka akan berkursus di Langkawi. Kakitangan Kedah kursus di Mersing atau Kelantan.

Kenapa tidak boleh dilakukan seperti swasta, iaitu hantar pekerja berkursus di tempat sendiri.

Segala kemudahan dewan makan, alat audio video lebih baik. Tak perlu kos penginapan tinggi, tiada tuntutan perjalanan tinggi.

l Kerja hanya tinggal lima hari seminggu, namun masih ramai yang terbabit dalam perniagaan dan jualan langsung.

l Perlu ada audit tenaga kerja di semua pejabat kerajaan kerana terlalu ramai pekerja akan menjadikannya tidak produktif.

Pemandu hanya memandu dan menunggu saja. Kenapa tidak boleh melakukan tugas lain seperti fotostat, atau menghantar surat, seperti amalan dalam sektor swasta.

l Hari Pekerja adalah hari pengiktirafan kerajaan pada semua pekerja awam dan swasta, jadi ia perlu dihormati kakitangan awam dan swasta.

Mungkin apa yang dicatatkan di atas sudah berubah di kebanyakan pejabat kerajaan yang mematuhi piagam pelanggan namun, ia masih wujud dan menimbulkan tanggapan kurang baik di kalangan masyarakat yang berurusan dengan sektor awam.

Kritikan memang pahit untuk ditelan, namun memang tiada jalan mudah untuk berjaya.

JOHARI MOHAMMAD SOOD,
Melaka.