Doktor Terkilan persoalkan gaji ditegur
Utusan Online
MERUJUK kepada surat yang diutuskan Doktor Terkilan dan Lagi Terkilan, saya kurang bersetuju dengan perkara ini. Sikap doktor tersebut menyebabkan saya sakit hati dan ingin saya memperbetulkan minda dan pemikiran doktor muda tersebut.
Tidak dinafikan bahawa bebanan kerja doktor muda (ataupun Houseman) memang terlalu tinggi kerana mereka berkhidmat di hospital-hospital besar. Namun jika mereka berbalik kepada tujuan asal mereka menjadi doktor, tidak sepatutnya timbul dalam pemikiran mereka tentang wang yang setimpal dengan kerja mereka.
Lagipun baru-baru ini kerajaan telah menggunakan langkah baru untuk meningkatkan lagi taraf dan memudahkan kenaikan pangkat doktor selepas houseman.
Tambahan lagi tidak sepatutnya Lagi Terkilan menyalahkan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan dengan menyuruh pergi ke hospital swasta untuk dapat perkhidmatan yang baik. Tidak semua orang mampu untuk ke hospital swasta.
Tidak seperti hospital kerajaan, mereka hanya perlu membayar RM1 sahaja untuk mendapatkan konsultansi, ujian-ujian klinikal, radiologi, dan ubat-ubatan.
Takkanlah untuk mendapatkan senyuman daripada seorang doktor pun kita perlu membayar berpuluh-puluh ringgit. Kita tidak sama dengan luar negara. Pesakit membayar untuk setiap kos perubatan mereka dan sebab itu doktor dibayar dengan gaji yang tinggi.
Jika wang dianggap sebagai pembakar semangat atau peningkat motivasi kepada pekerja, anda pergi kerja mana-mana pun, anda tidak akan puas dengan wang yang diperolehi.
Sikap ini tidak patut wujud oleh seorang doktor, tambahan lagi beliau adalah graduan luar negara, yang menyatakan tidak sabar-sabar untuk berkhidmat di sektor swasta atau luar negara. Sikap inilah yang telah menyebabkan masyarakat memandang rendah terhadap doktor.
Lagi Terkilan juga perlu tahu, mereka dapat gelaran doktor itu disebabkan biasiswa yang mereka perolehi daripada rakyat juga. Anda juga mendapat gelaran doktor kerana mereka mengendalikan nyawa.
Saya teringat lagi kata-kata pensyarah saya yang merupakan pakar kardiologi menyatakan 'anggaplah menjadi doktor sebagai privillage kerana berhadapan dengan nyawa. Tidak semua orang diberi keistimewaan sebegitu. Jika anda menganggap ia sebagai satu kerja, anda akan mengalami tekanan yang teramat sangat.'
Tidak semua orang mampu bekerja tiga hari tanpa henti dalam satu minggu. Jika anda benar-benar ingin menjadi doktor yang ingin membantu dan merawat pesakit maka sepatutnya perkara sebegini tidak berbangkit.
Kerjaya anda baru sahaja hendak bermula. Kalaulah minda anda berfikiran tentang wang sejak dari mula, jelaslah profesion perubatan ini tidak sesuai dengan anda.
Cadangan saya pindahlah ke profession yang lain seperti bisnes.