Definisi bonus, honorium berbeza
Berita Harian
SAYA ingin merujuk tulisan Azharin Khamis dari Kuala Lumpur mengenai tuntutan sagu hati Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam akhbar ini, 21 Mac lalu.
Selaku Presiden Cuepacs yang bertanggungjawab kepada lebih satu juta anggota sektor awam melalui kesatuan gabungan, saya berasa Azharin tidak memahami mengenai definisi bonus atau sagu hati (honorium) yang diperjuangkan Cuepacs.
Bonus adalah ganjaran atau imbuhan bagi anggota sektor awam atas prestasi, kualiti dan produktiviti kerja mereka yang baik pada satu-satu tahun itu, termasuk 2007.
Majlis Kongres Cuepacs memutuskan untuk tidak meminta bonus kerana kerajaan baru saja meluluskan semakan gaji kepada anggota sektor awam mulai 1 Julai lalu, walaupun semakan gaji adalah satu elemen yang berlainan kerana semakan gaji tidak dibuat setiap tahun seperti bonus.
Adalah tidak bijak Azharin mengaitkan semakan gaji dengan bonus atau honorium yang diminta. Cuba kita lihat kepada pihak swasta walaupun ada semakan atau kenaikan gaji pada tahun yang berkenaan melalui perjanjian bersama (CA) tetapi bonus tetap ada untuk kadar satu hingga tiga bulan.
Perbandingan gaji terendah yang ditulis sebagai RM820 dalam sektor awam tidak tepat. Gaji terendah sebenar dalam sektor awam bagi jawatan dalam Gred RI ialah RM647.51 dan tidak RM820 seperti didakwa. Malah, anggota sektor awam yang tinggal di rumah kerajaan juga tidak layak mendapat elaun sewa rumah RM180 sebulan dan tidak semua anggota sektor awam mendapat elaun sara hidup RM300 sebulan kerana kadarnya mengikut lokasi atau kawasan yang berbeza iaitu bandar, bandar kecil dan luar bandar.
OMAR OSMAN,
Presiden Cuepacs,
Kuala Lumpur.