12 December 2009

Menteri, KSU pantau projek sakit

Berita Harian

KEMENTERIAN Kerjaraya merujuk surat bertajuk 'Kontraktor projek sakit patut disingkir' tulisan Antiprojek sakit yang disiarkan ruangan ini 2 Disember lalu. Untuk makluman, Kementerian Kerjaraya sentiasa mengambil perhatian serius terhadap projek sakit kerana mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat dan pembangunan negara.

Dalam usaha meminimumkan projek sakit, ia dijadikan antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Kerjaraya iaitu dengan memastikan tidak melebihi tiga peratus daripada jumlah projek dilaksanakan.

Antara usaha lain dijalankan kementerian ialah mempergiatkan pemantauan projek di seluruh negara.

Dalam hal ini, pegawai sokongan serta atasan kementerian ditetapkan dengan kekerapan pemantauan tertentu yang mesti dilaksanakan sebulan.

Menteri Kerjaraya misalnya, akan turun padang melawat sekurang-kurangnya satu projek bermasalah setiap bulan, manakala Ketua Setiausaha (KSU) melawat sekurang-kurangnya tiga projek bermasalah sebulan.

Bilangan projek sakit yang diperoleh hasil pemantauan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan untuk dibincangkan lebih teliti. Di samping itu seperti yang disarankan Anti Projek Sakit', kementerian memang mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor projek sakit yang mempunyai kelemahan pengurusan serta tidak menunjukkan kesungguhan mempertingkatkan kemajuan projek.

Kontraktor yang ada kelemahan seperti disebutkan itu, dibatalkan kontrak. Syarikat dan lembaga pengarah serta pengurusannya disenaraihitamkan daripada memperoleh projek kerajaan pada masa akan datang.

MOHD RIZAL HASHIM,
Pegawai Perhubungan Awam
Kementerian Kerjaraya.

Guru sandaran mahu kepastian

Berita Harian

SAYA adalah guru sandaran tidak terlatih yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran. Kami diberi kontrak setahun dan disambung jika diperlukan. Mulai tahun ini sesiapa yang ingin kontrak disambung dan pemohon baru perlu melalui proses temu duga dikendalikan Jabatan Pelajaran Negeri.

Ramai antara kami beralih ke bidang lain walaupun meminati bidang perguruan kerana status jawatan tidak menentu.

Apakah kementerian akan menawarkan kursus kepada kami agar dapat diserapkan sebagai guru tetap bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar di sekolah?

MOGESWARRAN,
Pulai, Johor.

HEALTHCARE SUCCESS: IJN could show the way to hospitals

2009/12/11

DR A. KHAN, Bukit Mertajam

I REFER to Health Minister Datuk Seri Liow Tiong Lai's statement on Dec 5 in which he declared the National Heart Institute (IJN) was not for sale and that its doctors were not highly paid, but still preferred to give their service to the community.

As a cardiologist who has been in the government service for more than 10 years (with some training obtained from IJN as well), I would like to inform the minister that it is a well-known fact that all doctors in IJN are paid well and their salaries are comparable to that of medical consultants in the private sector.

Doctors at IJN also get other perks such as insurance schemes for family members, company cars and conference leave. This is possible because IJN has successfully broken away from the clutches of the bureaucracy in the Malaysian civil service. While IJN is a government-linked company, it has full freedom to hire, promote and retain senior staff with experience and expertise.

While we dwell on IJN's success as a heart hospital, it would be well to remind ourselves that it is human resources that make or break a hospital.

The fact that IJN has come this far is because it has managed to retain senior doctors and personnel with good salaries, a good working environment and reasonable promotion prospects -- conditions that are almost absent in the bureaucracy-ridden hospitals of the Health Ministry.

I suggest that the ministry study IJN's model of success -- particularly in human-resources management, salary structures and the provision of promotion prospects -- and apply these principles to the civil service. Only then can it stem the severe brain drain in government hospitals.

10 December 2009

Lantikan Bekas Pegawai Tinggi K'jaan Sbg Pengerusi Dalam Organisasi Perlu Dihadkan - Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Khamis disaran supaya mengehadkan jumlah jawatan pengerusi yang dipegang oleh seseorang bekas pegawai tinggi kerajaan dalam organisasi dan agensi kerajaan.

Beberapa senator Dewan Negara berkata pihak-pihak lain yang berkelayakan, termasuk anggota Dewan Negara perlu diberi peluang untuk memegang jawatan tersebut.

Senator Datuk Ridzuan Abd Hamid semasa membahaskan Rang Undang-Undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas)(Pindaan) 2008 pada persidangan Dewan Negara di sini mendakwa terdapat bekas Ketua Setiausaha Negara dan juga bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian yang dilantik sebagai pengerusi 30 hingga 40 syarikat milik kerajaan.

Beliau berkata walaupun tidak menjadi kesalahan untuk melantik bekas pegawai tinggi kerajaan menjawat jawatan pengerusi di sesebuah syarikat, bagaimanapun tempoh mereka berkhidmat hendaklah tidak terlalu panjang dan tidak memegang jawatan pengerusi yang terlalu banyak.

"Jangan bagi terlalu lama, dua tahun hendak sambung setahun lagi oklah, bagi pada orang lain pulak. Banyak lagi bekas KSU yang menunggu, bagi kat seorang sampai 30 ke 40 syarikat tak munasabah," katanya.

"Sudah lama kita perkatakan (perkara ini)," katanya dan turut bertanya adakah orang lain tidak sehebat bekas pegawai tinggi kerajaan dan turut mendakwa penjawat awam telah menikmati pelbagai ganjaran daripada kerajaan.

Sementara itu Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pelantikan pegawai tinggi kerajaan dalam jawatan tersebut dilihat terlalu ramai sehingga mengetepikan golongan lain yang juga berkemampuan.

Malah, ada bekas pegawai tinggi ini umur mereka sudah mencapai 60 tahun tetapi diberi "lagi penambahan kontrak hingga empat atau lima tahun, dan lepas itu bagi pulak menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," dakwanya.

Persidangan dewan disambung Isnin.



-- BERNAMA

Kemelut profesion guru akan berterusan

TULISAN Tan Sri Alimudin Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dan saudara Alzaman mengenai rungutan beban kerja guru jelas menunjukkan bahawa mereka tidak sedar apa beban kerja yang sering menjadi bebelan para guru.

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka menunjukkan bahawa mereka tidak mengerti perkembangan dunia pendidikan masa kini.

Mereka sepatutnya meninjau pendapat para guru itu sendiri apakah beban kerja tersebut dan bagaimana hendak meningkatkan kualiti pendidikan negara. Bukannya hanya sekadar meneliti laporan 'cantik' dan ungkapan 'semua berjalan lancar' dari mulut pegawai-pegawai sahaja.

Jika KPPM turun padang, jawapan yang pasti keluar daripada mulut guru-guru ialah 'buang jauh-jauh' kerja-kerja perkeranian dari senarai bidang tugas para guru. Mereka harus mengakui kerja-kerja perkeranian menganggu proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) kerana seluruh warga pendidik merintih akibat gangguan tersebut.

Sebagaimana yang ditulis oleh KPPM bahawa menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga kerana itu adalah sebahagian daripada tugas profesional guru tetapi seingat saya tidak pernah para guru merungut mengenai tugas seperti itu.

Kenyataan KPPM bahawa sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah. Seingat saya juga tidak pernah ada para guru yang merungut atau menulis di media massa mengenai kegiatan ko-kurikulum dan menganggapnya sebagai beban.

Begitu juga dengan penulisan saudara Alzaman yang mungkin sudah ketinggalan zaman yang masih dibuai oleh kata-kata hikmat dan keramat pensyarah zaman pop yeh-yeh beliau iaitu "Guru adalah segala-galanya" sedangkan hakikatnya guru-guru yang seangkatan dengan saudara Alzamanlah yang sering merungut bahawa dunia pendidikan sudah tidak seperti dahulu lagi kerana mereka dapat menilai perbezaan tugas mengajar dahulu dengan bebanan kerja perkeranian yang diletakkan di atas bahu guru-guru sekarang.

Buktinya ada yang berkira-kira untuk bersara awal malah ada yang telah berhenti kerana mereka menjadi guru kerana minat mengajar bukannya minat menjadi kerani!

Janganlah demi untuk menutup 'penindasan terhormat' terhadap guru-guru, ungkapan, perumpamaan dan istilah-istilah seperti 'guru adalah segala-galanya', 'semakin banyak tugas-tugas perkeranian dan perburuhan maka semakin profesionallah para guru' dan banyak lagi ungkapan dicipta. Sebaik-baiknya biarlah guru kekal dengan ungkapan keramat nan satu iaitu 'guru ibarat lilin membakar diri menerangi orang lain'!

Baru-baru ini Menteri Pelajaran telah melancarkan Standard Guru Malaysia (SGM) yang bertujuan untuk memartabatkan profesion perguruan ke suatu aras yang lebih tinggi. Namun pastikan ia bukan satu lagi projek yang akan mengganggu P&P para guru, yang boleh dieksploitasi oleh para pentadbir sekolah untuk menekan para guru supaya menyediakan pelbagai laporan dan statistik yang akhirnya akan digunakan oleh pihak pentadbir sebagai bukti untuk kecemerlangan kerjaya mereka sahaja!

Pentadbir sekolah berjaya merangkul pelbagai anugerah dan pujian, malangnya para guru pula semakin tertekan dan para pelajar yang akan menjadi mangsa.

NORHISYAM MOHAMAD

Alor Star, Kedah

09 December 2009

Cuepacs Usul Naik Tangga Gaji Mati Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengusulkan kertas kerja untuk menaikkan tangga gaji mati penjawat awam sebanyak lima mata tangga gaji kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Presidennya Omar Osman berkata Cuepacs menjangkakan perkara itu dapat dibincangkan dengan JPA pada Januari ini setelah ditunda bulan lepas kerana Ketua Pengarahnya Tan Sri Ismail Adam menunaikan ibadah haji.

"Kita akan bincang hal ini...sebab 45 peratus anggota perkhidmatan awam sekarang sudah (mencapai) gaji maksimum. Jika tidak ada pergerakan gaji atau kenaikan gaji, kita bimbang ia menjejaskan kualiti dan produktiviti (penjawat awam)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penolong Pegawai Kesihatan dan Persidangan Perwakilan DwiTahunan (Luar Biasa) Kesatuan Inspektor Kesihatan di sini.

Omar berkata Cuepacs juga akan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membela kebajikan pekerja kontrak kerajaan supaya tidak ada lagi yang diberhentikan tahun hadapan.

Menurutnya kongres itu kecewa kerana banyak agensi kerajaan tidak menyambung perkhidmatan kakitangan kontrak terutama yang sudah berkhidmat antara 5 hingga 15 tahun.

-- BERNAMA

Cadangan Jadikan PBT Perkhidmatan Awam Diperhalusi

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang meneliti cadangan untuk menjadikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai perkhidmatan terbuka dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatannya, Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Lajim Ukin berkata ia bertujuan mewujudkan jawatan perkhidmatan terbuka bagi membolehkan kakitangan PBT ditukar.

"Perkara ini akan dilakukan melalui pindaan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan ini selaras dengan program transformasi yang dilaksanakan kementerian melalui NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara)," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu.

Lajim berkata hasil kajian itu akan dibentangkan seawal-awalnya tahun depan.

Menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai bidang kuasa kementerian tehadap PBT, beliau berkata pada ketika ini, kementerian hanya boleh membantu dan memberikan nasihat sebelum PBT meluluskan sesuatu projek pembangunan di sesebuah negeri.

"Kalau kita lihat, setiap PBT ada mempunyai enakmen sendiri, jadi kuasa itu ada pada mereka untuk melakukan sesuatu," katanya.

Mengenai konsep bina-kemudian-jual (BTS) yang diperkenalkan pada tahun 2006, Lajim berkata ia kurang mendapat sambutan dan setakat ini, hanya sebuah syarikat pemaju bersetuju melaksanakannya.

Katanya antara sebab pemaju enggan melaksanakan konsep itu ialah masalah kewangan kerana kesukaran mendapatkan pinjaman bank bagi membiayai projek perumahan.

Menurut Lajim, kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah menambahbaik konsep BTS itu termasuk menyediakan dana khusus bagi membantu pemaju membina rumah terlebih dahulu.



-- BERNAMA

Cuepacs Adakan Mesyuarat Tergempar Bincang Pinjaman Rumah

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Cuepacs akan memanggil mesyuarat tergempar majlis bagi membincangkan penolakan kerajaan terhadap tuntutannya untuk menghapus kira pinjaman perumahan yang diluluskan sebelum 1 Ogos, 1995, bagi mereka yang ditamatkan perkhidmatan atas sebab kesihatan, kata setiausaha agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, Rabu.

Mereka yang pinjaman mereka diluluskan selepas 1 Ogos 1995 diberikan keistiwewaan ini oleh kerana pinjaman mereka dilindungi insuran hilang upaya total kekal.

Ahmad Shah mengulas kenyataan Perbendaharaan semalam bahawa kerajaan tidak dapat mengecualikan petugas yang tamat perkhidmatan atas sebab kesihatan, yang telah mengambil pinjaman sebelum tarikh itu oleh kerana insurans mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran.

Beliau berkata langkah itu menjejaskan kira-kira 50,000 petugas awam dan majlis akan memutuskan bentuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata ketaksamaan itu disebabkan oleh "perbendaraan terlepas pandang kerana petugas awam tidak mempunyai suara dalam memilih insurans bila mengambil pinjaman perumahan".

Semua perlindungan insurans diatur oleh jabatan pinjaman Perbendaharaan, kata Ahmad Shah.

Kebanyakan mereka yang terjejas hampir melangsaikan pinjaman mereka, oleh itu tidak timbul banyak masalah mendapatkan perindungan tambahan untuk mereka, kata beliau.

Sumber-sumber industri insurans berkata perlindungan tambahan boleh diadakan untuk turut meliputi perkara hilang upaya total kekal dengan bayaran premium tambahan.

Namun, persoalannya, siapa yang harus menanggung kos tambahan itu.

Cuepacs menegaskan kerajaan harus menganggungnya oleh kerana kerajaan telah terlepas pandang.

-- BERNAMA

Pengetua Dan Guru Besar Mungkin Diberi Kuasa Ambil, Pecat Guru

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Pengetua atau guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat guru di sekolah mereka pada masa depan, Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata perkara itu akan dipertimbangkan dalam usaha kementerian untuk merevolusikan sistem pendidikan negara.

Selain itu, kementerian turut mewujudkan ba'iah baru untuk membawa perubahan yang dapat memberi kecemerlangan kepada sekolah-sekolah.

"Sekiranya pengetua atau guru besar perform, beliau akan mendapat ganjaran... tidak semestinya dalam bentuk kenaikan pangkat atau gaji. Ganjaran itu bergantung kepada kegigihan pengetua atau guru besar berkenaan dalam melakukan perubahan di sekolah mereka.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka boleh lakukan hire and fire...mereka dapat menentukan siapa atau guru mana yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran di Parlimen.

Beliau berkata melalui revolusi sistem pendidikan itu, kementerian telah melakukan beberapa perubahan termasuk mewujudkan banyak persaingan dengan memperkenalkan sekolah berprestasi tinggi.

Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran juga akan mengumumkan 20 sekolah yang diberi penarafan sekolah berprestasi tinggi.

Selain itu, katanya kementerian akan melakukan rombakan kepada sistem taksiran iaitu sekolah bukan berorientasikan peperiksaan semata-mata memandangkan pendidikan merupakan sesuatu yang dinamik dan perlu disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Beliau turut disoal Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai bagaimana kerajaan mahu memartabatkan profesion perguruan sebagai profesion pilihan pertama dan bukan yang terakhir seperti yang berlaku mutakhir ini.

"Sebab itu, kita mesti berusaha menukar pemikiran guru supaya mereka melihat pendidikan sebagai perjuangan untuk memberi keadilan kepada rakyat," kata Mohd Puad.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak akan mengubah dasar sedia ada cuma pendekatannya yang berbeza.

"Saya yakin kalau perubahan minda ini dapat dilakukan, kita akan berjaya," katanya.

Kepada soalan lain, Mohd Puad menafikan migrasi sesetengah pihak ke luar negara dalam bidang pendidikan kerana rasa tidak selesa dengan sistem pendidikan negara.

"Saya ragu dengan hujah Ipoh Timur bahawa mereka migrasi ke luar negara kerana tidak begitu selesa dengan sistem pendidikan kita...mereka ini migrasi kerana melihat kepentingan kebendaan dan disebabkan pekerjaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata walaupun terdapat dakwaan bahawa sistem pendidikan kebangsaan gagal melahirkan pakar, ilmuan dan sebagainya, angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie adalah produk sistem itu.

"Sepatutnya kita berbangga dengan dasar pendidikan kebangsaan kita," katanya.



-- BERNAMA

Wujudkan jabatan penguatkuasaan, pendakwaan syariah

Utusan Online

MELAKA 8 Dis. - Kualiti khidmat agensi penguat kuasa agama di negara akan dapat dimantapkan jika diwujudkan Jabatan Penguatkuasaan Syariah dan Pendakwaan Syariah Negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa agama yang semakin kritikal di beberapa negeri.

Menurutnya, walaupun terdapat usaha penstrukturan semula jawatan bagi memperkukuhkan bahagian penguatkuasaan tetapi ia masih belum mencukupi.

''Melalui usaha tersebut, jumlah anggota penguatkuasaan akan dapat ditambah untuk menjadikan mereka sebagai pasukan beruniform yang mempunyai skim khusus setaraf dengan agensi penguat kuasa lain di negara ini.

''Pada masa yang sama, bidang tugas penguatkuasaan syariah dapat diasingkan dan tidak lagi terlalu bergantung kepada pegawai penguatkuasaan jabatan agama Islam negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia kali ke-5 di sini malam tadi.

Persidangan tiga hari anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kerajaan negeri itu dihadiri kira-kira 100 pegawai penguat kuasa agama dan pendakwa syarie.

Pada majlis yang sama juga Mashitah melancarkan Buletin Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah.

Buletin tersebut membincangkan dan mengupas beberapa isu semasa mengenai agama Islam yang sering menimbulkan kontroversi.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Penasihat Undang-Undang negeri Melaka, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Rashid Redza Mohd. Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Sulaiman Harmain Shah.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, Jakim dan jabatan agama Islam negeri akan memperhalusi cadangan tersebut bagi memastikan penubuhannya dapat mengatasi masalah pertambahan dan kelewatan kes di Mahkamah Syariah seluruh negara.

''Walaupun ada kes-kes tertunggak berjaya dikurangkan tetapi pada masa yang sama ada jabatan agama yang masih kekurangan pegawai penguatkuasaan dan pegawai pendakwa syarie," katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, penubuhan jabatan tersebut akan dapat melicinkan lagi bidang tugas penguatkuasaan dan pendakwaan syariah.

Katanya, pada masa ini, terdapat seramai 1,114 pegawai penguat kuasa agama dan 440 pendakwa syarie di seluruh negara.

07 December 2009

Pentadbiran juga bidang tugas guru

Berita HArian

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat dalam ruangan ini bertarikh 3 Disember lalu atas tajuk 'Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran'.

Kenyataan 'guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab diberikan pengetua/guru besar mereka', adalah ucapan saya ketika merasmikan konvensyen guru baru, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang berjumlah lebih 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen tinggi semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Malah, kenyataan 'Akmal Fairuz' dalam sebuah akhbar tempatan 3 Disember lalu mengenai tugas profesional guru dan tugas pentadbiran, masih boleh dipersoalkan.

Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa/penjaga adalah sebahagian tugas profesional guru. Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan serta kelemahan setiap anak didik mereka.

Makluman ini bukan saja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa/penjaga. Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya, sebahagian tugas guru untuk mendidik setiap murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah, malah guru perlu mempunyai kreativiti serta inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikiran kritis dan kreatif murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini membabitkan pembentukan nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan dan lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berhasrat memperkasa sukan dan permainan di sekolah bagi melahirkan atlit muda. Hal ini sudah tentu memerlukan komitmen guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid.

Oleh itu, latihan sebegini adalah juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik di kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua/guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain urusan pentadbiran biasa.

Guru mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak/remaja dan kepakaran dalam pedagogi. Maka, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan 'Akmal Fairuz', guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah, tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara membabitkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru yang berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua/Guru Besar, pegawai PPD/JPN hingga peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras gagasan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM,
Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran.

Cuepacs Mohon Imbuhan Tambahan RM500

LANGKAWI, 7 Dis (Bernama) -- Cuepacs meminta kerajaan menimbang memberi imbuhan tambahan RM500 kepada semua penjawat awam.

Presidennya Omar Osman berkata Cuepacs memahami keadaan ekonomi sekarang yang menyebabkan kerajaan tidak dapat memberi bonus tetapi ia berharap kerajaan dapat menambah RM500 lagi kepada imbuhan serupa yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

"Permintaan tambahan RM500 ini adalah antara yang diputuskan hari ini," katanya pemberita selepas kongres Cuepacs 2009/2010 di sini Isnin.

Kerajaan telahpun mengumumkan bayaran imbuhan RM500 kepada kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk tahun ini.

Omar berkata Cuepacs berharap pemberian tambahan RM500 dibayar menjelang persekolahan tidak lama lagi bagi meringan bebanan kewangan penjawat awam.

"Cuepacs telah menyampaikan hasrat itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau minta tunggu dulu," katanya.



-- BERNAMA