27 May 2007

107,688 nikmati ganjaran berganda


Empat jenis insentif kakitangan awam naik automatik

KUALA LUMPUR: Seramai 107,688 kakitangan awam termasuk tentera dan polis, menikmati ganjaran berganda apabila kadar bayaran empat jenis insentif yang mereka terima, naik secara automatik selaras kenaikan gaji diumumkan kerajaan, Isnin lalu.

Kadar bayaran empat insentif itu – Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Wilayah, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan dan Bayaran Insentif Pedalaman, dikira berdasarkan peratusan gaji pokok.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan semalam berkata, bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal dinikmati oleh kakitangan dan pegawai dalam 32 jawatan kritikal, kecuali untuk kumpulan pengurusan tertinggi, mengikut kadar bayaran bulanan.

Mereka termasuk arkitek, jurutera, pegawai perubatan dan farmasi, pegawai perikanan dan pertanian, kejuruteraan, jururawat, pensyarah universiti (kejuruteraan, perundangan, seni bina dan ukur bahan, farmasi, pergigian dan kejururawatan), juruterbang serta pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah dan diploma bidang kejuruteraan dan pertukangan.

Insentif itu diberi kepada pegawai dalam perkhidmatan kritikal mengikut kadar bayaran bulanan. Contohnya, pegawai perubatan di Semenanjung mendapat RM500, manakala di Sabah dan Sarawak menerima RM500 atau 10 peratus daripada gaji pokok mengikut mana yang lebih tinggi.

Jururawat pula mendapat bayaran pada kadar 15 peratus daripada gaji pokok, kumpulan pengurusan dan profesional (lima peratus) kumpulan sokongan (10 peratus).

Anggota tentera bertugas dalam perkhidmatan kritikal juga layak mendapat elaun itu dengan pegawai perubatannya menerima kadar yang sama dengan kakitangan awam lain, manakala Kapten ke atas dan Leftenan ke bawah masing-masing lima peratus dan 10 peratus.

Bayaran Insentif Wilayah pula membabitkan kakitangan awam yang bertukar tempat kerja dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung serta sebaliknya. Kadarnya adalah antara 12.5 peratus hingga 25 peratus daripada pendapatan yang diterima.

Sebagai contoh, kakitangan berpendapatan RM4,839 dan ke atas menerima 12.5 peratus, manakala RM623.62 dan ke bawah (25 peratus).

Menurut kenyataan itu, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah
dan lepasan diploma di Kementerian Pelajaran yang mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris serta mengajar Bahasa Inggeris atau menggunakannya dalam tugas rasmi, layak menerima Bayaran Insentif Subjek Pendidikan pada kadar antara lima hingga 10 peratus daripada gaji pokok sebulan.

Bayaran Insentif Pedalaman untuk kakitangan awam dan anggota polis pula ditetapkan pada kadar 10 peratus daripada gaji pokok bagi kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan asas sempurna seperti tiada bekalan elektrik, air, telefon, perubatan dan pengangkutan awam.

Kenyataan itu menjelaskan, rasional pemberian elaun yang menjadi komponen berubah dalam pendapatan kakitangan awam itu bertujuan menggalakkan persaingan sihat untuk meningkatkan kepakaran, kemahiran dan prestasi kerja.

“Semua insentif ini juga diberi sebagai penghargaan terhadap kemahiran, kepakaran, kegigihan atau kecemerlangan menjalankan tugas sebagai pendorong untuk kakitangan terbabit meningkatkan prestasi.

“Selain itu, insentif ini dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat termasuk pengangkutan, pelajaran, barangan dan perkhidmatan serta sebagai ganjaran kepada kakitangan yang memikul tugas dan tanggungjawab tambahan,” kata kenyataan itu.

INFO
Empat insentif


  • Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal dinikmati kakitangan dan pegawai dalam 32 jawatan kritikal, kecuali untuk kumpulan pengurusan tertinggi, mengikut kadar bayaran bulanan.

  • Bayaran Insentif Wilayah membabitkan kakitangan awam yang bertukar tempat kerja dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung serta sebaliknya. Kadarnya antara 12.5 peratus hingga 25 peratus daripada gaji.

  • Bayaran Insentif Subjek Pendidikan pada kadar antara lima hingga 10 peratus daripada gaji pokok sebulan.

  • Bayaran Insentif Pedalaman untuk kakitangan awam dan anggota polis pula ditetapkan pada kadar 10 peratus daripada gaji pokok.
  • No comments: