25 June 2011

Selangor Lantik Pegawai Wanita Untuk Ketuai MDKS

SHAH ALAM 16 Jun – Kerajaan Negeri melantik Puan Noraini Roslan sebagai Yang diPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang baru berkuatkuasa 1 Julai 2011.

Noraini, 46, adalah pegawai wanita pertama yang memegang jawatan YDP di Selangor. Ini menunjukkan komitmen kerajaan Pakatan Rakyat terhadap kesamaan jantina dan keberdayaan wanita.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Noraini telah menerima tawaran sebagai YDP MDKS minggu lepas dan yakin beliau akan menjalankan tugas dengan cekap, telus dan bertanggungjawab.

“Perlantikan beliau adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengarah perancang Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya selama 21 tahun serta kelayakan pendidikan beliau. YDP yang cekap perlu tahu selok-belok perancangan bandar dan kami percaya beliau boleh memenuhi amanah ini dengan baik.

“Kami juga berbangga kerana berjaya melantik YDP wanita pertama di Selangor – dasar kami adalah bahawa wanita harus selalu diberi peluang yang sama dengan lelaki berdasarkan kebolehan dan kelayakan mereka,” kata Menteri Besar.

Beliau menambah, bahawa kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran pegawai professional seperti Noraini untuk menambah baik polisi kerajaan negeri serta agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Pelantikan ini bukan sahaja menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengamalkan meritokrasi tetapi juga, menunjukkan kesediaan untuk keluar dari amalan biasa sebelum ini bila mana hanya pegawai PTD sahaja yang berpeluang menjadi YDP.

Noraini berkelulusan Sarjana dalam bidang perancangan dari Universiti North Carolina, Amerika Syarikat pada 1988. Sebelum itu beliau mendapat ijazah Sarjana Muda dari Universiti East Carolina, juga di Amerika Syarikat.

Beliau bekerja sebagai pegawai perancang di Syarikat Bernas sebelum menyertai MPK sebagai pengarah perancang, Beliau ditukarkan ke MBPJ pada 2010.

Pada tahun 2005 dan 2008, beliau telah dianugerahkan pingat khidmat cemerlang. Beliau juga adalah ahli Institut Perancang Malaysia.