14 June 2008

Peluang 23,471 guru naik pangkat

Utusan Online

PUTRAJAYA 13 Jun - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan terdapat 23,471 peluang kenaikan pangkat untuk guru dan pensyarah di sekolah, Institut Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kolej matrikulasi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, daripada jumlah itu, 14,782 jawatan disediakan untuk guru sekolah menengah tingkatan enam dan sekolah menengah yang mempunyai jumlah kemasukan murid lebih 1,750 orang.

''Jawatan terlibat ialah pengetua sekolah tingkatan enam dengan gred DG52 (794 jawatan), pengetua sekolah menengah dengan enrolmen murid 1,750 ke atas bagi gred DG52 (116) dan masing-masing 158 dan 636 untuk jawatan penolong kanan tingkatan enam gred DG48 dan DG44.

''Bagi guru akademik dan kokurikulum pula, 1,039 jawatan disediakan bagi guru DG52, 3,311 untuk jawatan DG48 dan 8,728 untuk DG44," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini hari ini.

Katanya, bagi urusan pemangkuan, semua guru berkenaan diberi kelonggaran dari segi syarat lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) tetapi perlu lulus ujian itu untuk urusan kenaikan pangkat.

''Keutamaan diberi kepada penyandang sedia ada dan pengisian jawatan adalah berasaskan sekolah. Untuk pertimbangan ke Gred DG44, kriteria tambahan adalah guru yang telah berkhidmat di gred DG41 selama lima tahun," katanya.

Tambah beliau, guru tingkatan enam gred DG41 yang berjaya dinaikkan pangkat ke gred DG44 perlu kekal mengajar di tingkatan enam sekurang-kurangnya lima tahun sebelum ditukarkan.

Alimuddin berkata, selain sekolah tingkatan enam dan yang mempunyai jumlah kemasukan murid 1,750 ke atas, kementerian pada masa yang sama menyediakan peluang kenaikan pangkat untuk pensyarah di Institut Aminuddin Baki, IPG dan kolej matrikulasi.

''Di Institut Aminuddin Baki terdapat 757 jawatan iaitu DG54 (1), DG52 (77), DG48 (250) dan DG44 (429).

''Untuk IPG 4,772 jawatan iaitu DG54(28), DG52 (584), DG48 (1,933) dan DG44 (2,227)," katanya.

Beliau berkata, 3,160 jawatan diwujudkan di kolej matrikulasi iaitu 356 jawatan untuk DG52, 1,085 jawatan untuk DG48 dan 1,719 jawatan untuk DG44.

''Urusan pemangkuan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah bagi mengisi jawatan gred DG44, DG48 dan DG52 di Institut Aminuddin Baki, IPG dan kolej matrikulasi dibuat melalui surat siaran 26 Mei lalu," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng mengalu-alukan pengumuman itu tetapi meminta Kementerian Pelajaran mempertimbangkan kenaikan pangkat untuk guru di sekolah kluster.

''Guru sekolah kluster mempunyai kerja lebih dan tidak lagi bekerja mengikut masa persekolahan biasa. Justeru mereka patut diberi lebih banyak peluang kenaikan pangkat," katanya.

Jurang elaun wilayah diteliti

Berita Harian

Oleh Hassan Omar

Kakitangan awam dari Sabah, Sarawak berkhidmat di Semenanjung terima bayaran rendah

KOTA KINABALU: Jurang perbezaan elaun wilayah dan perumahan antara pegawai dan kakitangan awam agensi kerajaan dari Sabah serta Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung berbanding sebaliknya, akan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kakitangan awam dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung menerima elaun agak rendah sedangkan kos sara hidup di Semenanjung lebih tinggi berbanding di kedua-dua negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Bernard Dompok, berkata beliau akan mengemukakan perkara itu kepada JPA bagi membolehkan kajian mengenainya dibuat berikutan peningkatan kos sara hidup.

"Banyak rungutan diterima, maka perkara ini perlu diteliti kerana kos sara hidup semakin meningkat," katanya selepas melawat Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, semalam.

Beliau dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Normah Md Yusof, diberi taklimat oleh Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin.

Dompok bertanggungjawab terhadap aspek pentadbiran Setiausaha Persekutuan Sabah dan Sarawak, selain Mampu dan Biro Pengaduan Awam.

Beliau berkata, kebanyakan pegawai dan kakitangan agensi kerajaan negeri Sabah dan Sarawak memohon bertukar ke agensi kerajaan Persekutuan untuk menimba pengalaman berkhidmat di agensi lebih besar.

"Selain itu, peluang kenaikan pangkat lebih terbuka jika berkhidmat di agensi Persekutuan. Bagaimanapun, tangga gaji pegawai dan kakitangan di negeri dan Persekutuan tetap sama," katanya.

Dompok berkata, pegawai dan kakitangan agensi kerajaan Sabah dan Sarawak boleh mengemukakan permohonan bertukar menerusi ketua jabatan masing-masing sebelum diproses di Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri.

Mengenai usaha meningkatkan sistem penyampaian, beliau meminta Mampu dan Setiusaha Persekutuan Sabah berbincang lanjut mengenai beberapa perkara yang perlu diberi perhatian bagi menjamin kualiti perkhidmatan kerajaan.

Sementara itu, Ismail berkata, setakat ini pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah belum menerima permohonan pertukaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Sabah.

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan memang ada permohonan dikemukakan dan pejabatnya sedia memprosesnya.

Gaji dua kali sebulan galakkan kakitangan awam berhutang

Berita Harian

KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan sistem pembayaran gaji pada pertengahan dan akhir bulan bermula Ogos ini dilihat mempunyai kelebihan dan kontranya. Namun saya berpendapat ia lebih banyak kontra dan menimbulkan kekeliruan di kalangan kakitangan awam yang kesannya akan diterima golongan berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

Kesan kenaikan harga barang dan minyak di negara kita khususnya, lebih dirasai golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Perlu diingat bahawa golongan ini sedang dalam proses menyesuaikan diri dan mengatur semula corak perbelanjaan mereka gara-gara kenaikan harga minyak.

Justeru, apabila kerajaan mengumumkan satu lagi perubahan dasar yang juga berkaitan dengan pendapatan mereka, ia menyebabkan satu lagi suasana panik dan tidak tenteram di kalangan mereka.

Polisi baru berkaitan pengagihan gaji kakitangan awam itu tidak dinafikan memberi kesan positif kepada rakyat bagi menggerakkan aliran kewangan di kalangan rakyat. Namun, rata-rata daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana menggunakan separuh hingga tiga suku daripada pendapatan mereka untuk membayar bil, sewa rumah, bayaran kereta, perbelanjaan isi rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak dan sebagainya.

Justeru, dasar baru itu akan menyebabkan mereka langsung tidak mempunyai baki untuk hal kecemasan atau untuk perbelanjaan peribadi hatta perbelanjaan untuk ke tempat kerja sekalipun. Hal ini akan menyebabkan rakyat cemas dan lebih sukar mengatur perbelanjaan mereka dan pastinya ia sedikit sebanyak bakal menjejaskan mutu perkhidmatan mereka sebagai kakitangan awam.

Cadangan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk melaksanakan sistem pembayaran 30:70 pada pertengahan dan akhir bulan juga tidak praktikal kerana masalah yang sama seperti di atas tetap wujud.

Presidennya, Omar Osman, berkata pembayaran gaji mengikut mekanisme itu boleh mengelakkan kakitangan awam mengalami sindrom kehabisan wang pada setiap awal bulan. Namun jika dilihat kepada situasi yang disebutkan di atas, kakitangan awam sebenarnya bakal sentiasa kehabisan wang kerana perbelanjaan asas saja hampir menyamai keseluruhan gaji mereka.

Saya lebih bersetuju dengan kenyataan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak bersetuju dengan mekanisme itu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada cara hidup kakitangan gred rendah.

Malah saya berasa agak terkilan apabila Cuepacs menyatakan langkah kerajaan ini dapat menangani perbelanjaan boros di kalangan rakyat. Kenyataan ini nyata tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kerana golongan berpendapatan rendah dan sederhana pada hakikatnya sedang bergelut dengan masalah untuk berbelanja keperluan asas semata-mata dan langsung tidak 'berkesempatan' untuk berboros.

Kenaikan harga minyak dan barang menyebabkan mereka ini tersepit bagi mengatur perbelanjaan keperluan asas dan mana mungkin mereka ini berkesempatan untuk boros.

Sehubungan itu, kerajaan dirayu agar kembali mengkaji semula mekanisme baru itu yang bakal dilaksanakan pada Ogos ini.

NOORAZMIR ZAKARIA,
Bandar Sri Permaisuri,
Kuala Lumpur.

5 jabatan Kementerian Pelajaran disusun semula

Berita Harian

Digabung menjadi tiga sektor diketuai Timbalan Ketua Pengarah

LIMA jabatan utama Kementerian Pelajaran distruktur semula kepada tiga sektor berdasarkan pengkhususan fungsi dengan masing-masing diterajui Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM) yang diselaraskan kepada gred perjawatan Jusa A.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata jabatan terbabit ialah Jabatan Sekolah, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Teknikal serta Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan yang juga masing-masing diketuai TKPPM pada gred Jusa B, Jusa C dan juga DG54.

Berikutan penstrukturan semula yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 Mac lalu, katanya, peranan semua jabatan berkenaan diserapkan ke dalam sektor baru terbabit mengikut kesesuaian fungsi.

Beliau berkata, tiga sektor baru itu ialah Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan serta Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan.

"Komponen Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan meliputi Pembangunan Kurikulum, Teknologi Pendidikan, Lembaga Peperiksaan, Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Buku Teks serta Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

"Pengisian Sektor Operasi Pendidikan pula mencakupi Pengurusan Sekolah Harian, Pendidikan Islam, Pendidikan Khas, Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh/Kluster, Pelajaran Swasta, Teknik dan Vokasional, serta Sukan, Seni dan Kokurikulum.

"Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan membabitkan komponen Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki (IAB), Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Jawatan TKPPM dan ketua bagi setiap komponen dalam tiga sektor berkenaan sudah ada pemangku, berkuat kuasa 1 Jun lalu. Secara keseluruhan, jawatan ketua bagi setiap komponen ialah Pengarah, kecuali Ketua Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti serta Rektor IPGM, membabitkan penyandang pada gred Jusa B, Jusa C dan DG54," katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.

Alimuddin berkata, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Haili Dolhan, dinaikkan pangkat sebagai TKPPM Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan; TKPPM Jabatan Sekolah, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (TKPPM Sektor Operasi Pendidikan); serta Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Datin Asariah Mior Shaharuddin (TKPPM Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan).

Bagaimanapun, katanya, empat TKPPM lain dalam struktur sebelum ini terus menerajui komponen Pendidikan Khas, Pendidikan Islam, Teknik dan Vokasional, serta Sukan, Seni dan Kokurikulum selaku Pengarah.

Namun, beliau berkata, proses perbincangan diteruskan bagi menentukan nama lebih sesuai bagi keseluruhan jawatan pegawai kanan (kecuali TKPPM) dalam setiap sektor itu, selain membuat penyusunan kakitangan jabatan terdahulu mengikut kesesuaian fungsi tugas.

"Proses itu dijangka selesai dalam tempoh sebulan. Berbanding struktur terdahulu yang dibuat berdasarkan bidang, langkah pemantapan dan penambahbaikan kali ini adalah mengikut fungsi. Sebagai contoh, semua urusan berkaitan kurikulum diletakkan di bawah komponen Pembangunan Kurikulum, Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan.

"Sebelum ini, setiap jabatan ada unit kurikulum masing-masing. Justeru, mereka saling tidak mengetahui kurikulum pendidikan jabatan lain. Kini dengan beroperasi dalam satu sektor sama, mereka boleh berbincang dan membuat penambahbaikan bersama, sekali gus mempertingkat keberkesanan pelaksanaan.

"Menerusi proses penyusunan kini, ada sektor bakal memperoleh lebih ramai kakitangan dan begitulah sebaliknya tetapi langkah ini tidak membabitkan sebarang pelantikan kakitangan tambahan baru dalam Kementerian Pelajaran," katanya.

11 June 2008

Tiada halangan kakitangan awam kerja sambilan jika dapat kelulusan

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia tidak akan menghalang mana-mana kakitangan awam daripada bekerja sambilan selepas waktu kerja rasmi atau hujung minggu berikutan kenaikan kos sara hidup sekiranya diluluskan kerajaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Noraini Ahmad, berkata sekiranya syarat yang sedang dikaji kerajaan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diluluskan, pihaknya tidak membantah.

“Memang dalam pekeliling mengatakan kakitangan awam tidak boleh cari pekerjaan kedua tapi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz mengalakkan perkara sedemikian maka kami (kementerian) amat mengalu-alukannya, asalkan kakitangan awam tahu tanggungjawab ataupun tugas utama mereka,” katanya.

"Kakitangan awam yang mahu bekerja sambilan juga seharusnya tidak melebihkan kerja sambilan kerana dikhuatiri mengganggu produktiviti dan mesti mendapat kelulusan JPA terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak Dua, di sini, hari ini.

Noraini berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Amirsham semalam yang menyebut kerajaan akan berbincang dengan JPA bagi mencari jalan terbaik untuk membolehkan kakitangan awam terutama kumpulan sokongan bekerja sambilan.

Amirsham berkata, sebagai contoh golongan itu mungkin boleh diberi peluang bekerja sambilan untuk tempoh singkat antara dua atau tiga jam sehari seperti menjadi operator dan juruwang selepas waktu kerja di sektor awam.

Sementara itu, Noraini berkata program teras kementerian seperti Karnival Pekerjaan akan diteruskan walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini mengumumkan beberapa langkah berjimat termasuk membekukan jawatan baru dalam perkhidmatan awam. - Bernama

Mohd Sidek Presiden baru UIA ganti Sanusi

Berita Harian

Mohd Sidek

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Presiden baru universiti itu berkuat kuasa 2 Jun lalu.

Pelantikan itu diputus dan direstui Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Ketua Perlembagaan UIA.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIA, Abdul Rahim Ahmad, berkata komuniti universiti itu mengalu-alukan pelantikan Mohd Sidek sebagai Presiden UIA kelima.

Katanya, Presiden UIA bertindak sebagai Pengerusi Lembaga Gabenor yang bertemu setahun sekali dan Pengerusi Majlis yang bertemu setiap tiga bulan sekali.

"Kami memanjangkan penghargaan tidak terhingga kepada bekas Presiden UIA, Tan Sri Sanusi Junid sepanjang perkhidmatan di universiti ini," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Sanusi pada sidang media di kediamannya di sini, semalam, menjelaskan beliau menerima surat penamatan perkhidmatannya sebagai Presiden UIA pada 9 Jun yang ditandatangani Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIA mengikut Bahagian IV Perkara 20 (iii) Perlembagaan UIA.

Sanusi yang menjadi Presiden UIA sejak Februari 2000, berkata surat pemecatan beliau bertarikh 2 Jun 2008 dan berkuat kuasa pada hari sama, tanpa dinyatakan sebarang sebab atau kesalahan yang dilakukan hingga kontrak perkhidmatannya perlu ditamatkan dua tahun lebih awal.

Katanya, beliau tidak membuka surat itu pada tarikh berkenaan kerana berada di luar negara dan hanya balik ke pejabatnya di UIA pada 9 Jun.

"Penamatan perkhidmatan saya sebagai Presiden UIA dengan serta-merta ini adalah satu pemecatan disebabkan desakan beberapa pihak berkepentingan," katanya sambil menambah Perlembagaan UIA tidak menyatakan Presiden perlu menjadi ahli Umno.

Katanya, Perlembagaan UIA menetapkan bahawa seorang Presiden boleh menghantar surat kepada Ketua Perlembagaan untuk mengundurkan diri atau beliau boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Ketua Perlembagaan atas nasihat 'host member' (Perdana Menteri).

Sanusi yang juga bekas Menteri Pertanian dan Setiausaha Agung Umno, bagaimanapun berkata, beliau tidak sedih, malah menganggapnya pemecatan terhormat.

Katanya, maruahnya juga tidak tercemar dengan pemecatan itu kerana beliau disuruh berhenti daripada 'beribadah' menerusi khidmatnya di UIA, bukannya berhenti daripada menerajui syarikat korporat yang meraih ganjaran kewangan besar.

Membacakan kenyataan bertulisnya dalam sidang media lebih sejam itu, Sanusi berkata, walaupun sudah dipujuk beberapa pihak, beliau sudah menjelaskan tidak akan meletak jawatan secara sukarela disebabkan tidak lagi menjadi ahli Umno.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini bahawa tiada siapa mendesak Presiden UIA meletak jawatan, Sanusi mempersoalkan kewibawaan menteri Kabinet yang disifatkannya tidak lagi mewakili suara kerajaan kerana pandangan mereka tidak diambil kira dalam keputusan kerajaan.

Kakitangan awam diminta tingkat prestasi

Berita Harian

PUTRAJAYA: Anggota perkhidmatan awam, terutama dalam bidang kehakiman dan perundangan, perlu meningkatkan prestasi dan tahap perkhidmatan kepada rakyat yang kini meletakkan harapan begitu tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim, berkata setiap anggota perkhidmatan awam perlu melakukan perubahan jika ingin perkhidmatan mereka terus relevan dan dapat memenangi kembali keyakinan rakyat.

"Harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam sejak akhir-akhir ini begitu tinggi, terutama bidang kehakiman dan perundangan. Justeru, setiap anggota perkhidmatan perlu menilai keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

"Jika perkhidmatan awam ingin terus relevan, ia perlu berubah. Ia perlu sentiasa melakukan pembaharuan iaitu lebih baik, strategik dan berdisiplin," katanya berucap pada majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Abdullah Sani Ab Hamid; Ketua Pengarah Biro Bantuan Guaman, Dr Hassan Ab Rahman; dan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Hasnah Mohamed Hashim.

Pada majlis itu, Zaid turut menyampaikan anugerah kepada 123 pegawai dan kakitangan agensi berkenaan.

Zaid berkata, tanggungjawab melakukan perubahan terletak pada setiap pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam dan setiap seorang daripada mereka perlu menunjukkan teladan kerja yang berlandaskan demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

Sambil mengakui tugas mengembalikan keyakinan rakyat khususnya terhadap jabatan kehakiman dan perundangan bukan sesuatu yang mudah, beliau berkata, anggota perkhidmatan awam wajar mencontohi kejayaan perkhidmatan awam negara lain dalam bidang berkenaan.

"Tanggungjawab ini terletak di atas bahu semua, tak kira pada peringkat atas atau bawah, kita perlu ada semangat berpasukan...

"Jika perkhidmatan kita dipimpin oleh demokrasi dan kedaulatan undang-undang maka akan berkurangan tuduhan salah laku, sekali gus memulihkan imej kita yang amat diperlukan," katanya.

Zaid berkata, anggota perkhidmatan awam juga perlu fleksibel dalam pemikiran dan tindakan supaya berupaya melakukan tugas di luar daripada kebiasaan dan mencapai kecemerlangan.

59,176 siswazah mohon ikuti kursus perguruan

Berita Harian

Semakan temu duga menerusi online mulai 15 Julai depan

KEMENTERIAN Pelajaran menerima 59,176 permohonan bagi mengisi 8,908 tempat ditawarkan bagi mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) sesi kemasukan Januari 2009.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata daripada jumlah itu, 56,622 calon memenuhi syarat kelayakan dan menduduki Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (MTeST), 24 Mei lalu.

Sambil menjelaskan tiada perubahan syarat kelayakan pengambilan kali ini berbanding sesi lalu, beliau berkata, keputusan calon mendapat panggilan temu duga boleh disemak menerusi online mulai 15 Julai depan.

Katanya, proses temu duga calon terpilih akan dijalankan akhir Julai hingga akhir September depan di pusat tersenarai seluruh negara meliputi 27 institut pendidikan guru (IPG), Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) di Kuantan, Pahang, serta BPG cawangan Sabah dan Sarawak.

“Temu duga berkenaan memfokus aspek ilmu pengetahuan calon dalam mata pelajaran yang dipohon. Ini penting bagi memastikan calon terbabit menguasai kandungan subjek dengan baik.

“Seterusnya, kepekaan calon terhadap pengetahuan am dan isu semasa, lebih-lebih lagi dalam bidang pendidikan, termasuklah mengenai Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

“Selain itu, perhatian turut diberikan terhadap aspek sahsiah yang menepati ciri pendidik dikehendaki, kemahiran berkomunikasi, keprihatinan serta kematangan calon selaras matlamat kementerian menjana guru berkualiti tinggi.

“Tidak ketinggalan diambil kira aspek penampilan diri dan pertuturan calon. Sasaran temu duga juga ke arah mengenal pasti sama ada calon benar-benar berminat menyertai profesion keguruan supaya mereka boleh memberi sepenuh komitmen terhadap pelaksanaan tugas kelak,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, semalam.

Asariah berkata, calon terbabit boleh menyemak keputusan tawaran pengambilan secara online mulai 24 Disember dan mereka yang berjaya dijadualkan mendaftar kemasukan serentak di semua IPG, 12 Januari tahun depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan calon kini memberi keutamaan kepada ketepatan bidang ijazah kelulusan mereka dengan opsyen pengajian KPLI yang dipohon.

Katanya, elemen penting itu dititik berat bagi memastikan calon sudah menguasai kandungan subjek berikutan tempoh pengajian singkat program KPLI selama setahun di IPG akan tertumpu kepada aspek pedagogi.

Mengenai penerimaan jumlah permohonan tinggi untuk tawaran kemasukan KPLI walaupun beban tugas guru kini semakin banyak serta mencabar, Asariah menegaskan, faktor itu bukan penghalang kepada mereka yang benar-benar meminati dan mencintai kerjaya mulia itu.

“Sebenarnya, saya mengagumi guru sanggup berkorban, malah lebih daripada apa yang dituntut, meskipun ia tidak ditonjolkan kepada pengetahuan umum.

“Justeru kepada semua bakal pendidik, saya menyeru mereka memahami tanggungjawab dan tugas guru. Ceburilah profesion mulia ini dengan penuh ikhlas dan minat, bukan atas peluang makan gaji semata-mata.

“Malah, pengisian latihan di IPG amat menekankan pembentukan jati diri guru berkualiti. Ini termasuklah dari segi penempatan ke sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar selepas tamat mengikuti pengajian kelak.

“Mereka mesti bersedia menerima penempatan di mana saja dengan niat menjadi guru unggul yang mengutamakan keperluan pelajar, bukan hanya memikirkan kepentingan diri,” katanya.

09 June 2008

PDRM kena telus isu pertukaran, kenaikan

Berita Harian

SAYA ingin merujuk pertukaran anggota polis tidak telus yang disiarkan ruangan ini, 3 Jun lalu dan bersimpati dengan apa yang dihadapi keluarga pengadu. Apa yang dinyatakan pengadu, mempunyai kebenarannya dan sememangnya banyak berlaku pertukaran anggota disebabkan kenaikan pangkat seperti diumumkan Disember lalu.

Sebagai anak bekas anggota polis dan masih menuntut di pusat pengajian tinggi tempatan, ayah saya turut terkilan kerana pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengamalkan ketelusan dalam isu pertukaran dan kenaikan pangkat.

Di sini saya ingin mendapatkan kepastian mengapa pertukaran dilakukan. Adakah PDRM menilai atas dasar kenaikan pangkat, maka perlu ditukarkan atau kerana tempoh perkhidmatan terlalu lama di sesuatu kontinjen atau daerah bukan kerana prestasi kerja dipamerkan atau disebabkan masalah peribadi.

Sebagai contoh anggota yang bertugas di kontinjen yang tidak sibuk ditukarkan ke kontinjen yang mempunyai kadar jenayah tinggi supaya berasa pula bahangnya.

Satu ketidakadilan saya rasakan jika perkara ini diambil kira kerana pertukaran baru-baru ini seperti mereka yang berkhidmat di kontinjen Selangor banyak ditukar ke kontinjen Kuala Lumpur dan kontinjen Kuala Lumpur ke Selangor atau ke kontinjen lain.

Pengurusan PDRM perlu mengambil kira dalam proses pertukaran pegawai dan anggota supaya situasi 'menang-menang' digunakan bagi menjaga kebajikan warga PDRM terutama anggota yang mempunyai pendapatan rendah dan secara tidak langsung dapat memberi perkhidmatan lebih berkesan.

Warga PDRM banyak berdiam diri dalam hal ini kerana tidak berani bersuara disebabkan kesibukan dan masalah yang disuarakan tidak kesampaian.

Saya juga berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat memberi satu garis panduan dan jika perlu dipantau supaya pembaziran wang rakyat tidak berlaku kerana membiayai pertukaran pegawai dan anggota.

Saya berharap pengurusan PDRM lebih profesional dalam menilai semula proses pertukaran pegawai dan anggota supaya mengisi kekosongan yang wujud di sesuatu kontinjen terlebih dulu dan jika berlebihan barulah ditukar ke kontinjen lain yang berjiran dengan kontinjen berkenaan.

KUDIN,
Kok Lanas, Kelantan.

Kakitangan awam dilarang kerja sambilan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 8 Jun – Kementerian Sumber Manusia tidak bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk membolehkan kakitangan kumpulan sokongan bekerja sambilan selepas waktu pejabat.

Timbalan Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kakitangan awam tidak boleh melakukan kerja sambilan kerana ia telah terikat dengan perjanjian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dikhuatiri boleh mengganggu produktiviti mereka.

‘‘Jika kakitangan awam berterusan hendak melakukan kerja sambilan, mereka hendaklah berbincang dengan pihak JPA sendiri,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penyampaian Anugerah Hari Ibu anjuran sebuah akhbar harian dan Secret Garden di Hotel Nikko di sini hari ini.

Semalam, CUEPACS mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.

Menurut kongres itu, kakitangan awam bagi kumpulan P1 T1 kini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.

Noraini menjelaskan, seseorang kakitangan awam tidak boleh melakukan pekerjaan sambilan walaupun ia tidak mengganggu produktiviti mereka.

Malah, katanya, kerajaan juga telah menaikkan gaji kakitangan awam pada tahun lalu bagi tujuan mengurangkan beban yang mereka tanggung.

‘‘Kenaikan gaji itu diberi bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan lebih tanpa perlu melakukan kerja sambilan,” ujarnya.