03 March 2009

Jangan Sekat Bayaran Kerja Lebih Masa, Kata Cuepacs

KUALA TERENGGANU, 3 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan supaya tidak menyekat bayaran kerja lebih masa kepada kakitangan awam peringkat rendah yang diarahkan membuat kerja berkenaan.

Presidennya Omar Osman berkata pihaknya menerima aduan bahawa kira-kira 80,000 kakitangan awam terbabit tidak dibayar apabila membuat kerja lebih masa, sebaliknya diganti dengan cuti rehat.

"Cuepacs tidak setuju sama sekali apabila kakitangan diarahkan membuat kerja lebih masa tetapi tidak dibayar ganjaran sebaliknya diganti dengan cuti rehat. Itu hak pekerja, apabila buat kerja lebih masa, kenalah bayar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan program penerangan isu semasa di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di sini, Selasa.

"Kalau tidak mahu bayar tidak mengapa. Biar kakitangan awam kerja lapan jam sahaja, dan masa yang terluang itu bolehlah mereka buat kerja-kerja di tempat lain bagi menampung keperluan masing-masing," tambahnya.

Beliau berkata sepanjang pengetahuannya, setiap kakitangan awam yang dibenarkan membuat kerja lebih masa perlu diberikan ganjaran dan bukannya cuti rehat.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata di bawah bajet mini yang akan dibentangkan kerajaan, antara lain Cuepacs berharap kira-kira 2,000 kakitangan kontrak dipertimbangkan untuk disambung semula perkhidmatan mereka.

Katanya selain itu, Cuepacs memohon kepada kerajaan supaya elaun sara hidup (COLA) kakitangan awam persekutuan di Terengganu dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 seperti yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan negeri Terengganu ketika ini.

Merujuk kepada perkembangan di Perak pula, Omar menasihatkan kakitangan awam di Perak supaya bekerja seperti biasa dan tidak menyertai atau terlibat dengan sebarang perhimpunan haram.

"Mereka bekerja seperti biasa, tetapi sistem penyampaian mereka mungkin agak perlahan (ketika ini) disebabkan kerajaan negeri yang masih dalam keadaan tidak tenteram," katanya.

Katanya beliau berharap ketua-ketua jabatan di negeri berkenaan supaya sentiasa mengadakan perjumpaan dengan kakitangan masing-masing bagi memastikan prestasi dan imej sektor awam tidak terjejas.

-- BERNAMA

Setiausaha DUN Perak ikut peraturan:KSN

PUTRAJAYA: Kenyataan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri, bahawa dewan itu tidak boleh bersidang tanpa mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, adalah mengikut peraturan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata, pada fahamannya, Abdullah menjalankan tugasnya sebagai mana yang dipertangungjawabkan kepadanya.

"Kalau seseorang pegawai itu mengikut peraturan itu adalah benda yang betul," katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Fellow Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Penyampaian Diploma Intan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah yang menyifatkan sebagai tidak sah persidangan DUN yang dipanggil oleh Speaker, V Sivakumar, tanpa mendapat perkenan Sultan Perak.

Susulan daripada kenyataan itu, Abdullah digantung perkhidmatannya berkuatkuasa serta-merta oleh Sivakumar.

Pagi ini, satu 'persidangan tergempar' DUN Perak yang dihadiri Sivakumar dan 27 anggota dewan daripada DAP, Pas dan PKR dilangsungkan di bawah pokok tidak jauh dari bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Sidek berkata, tiada tempat dalam perkhidmatan awam untuk mereka yang mengambil jalan singkat untuk kumpul kekayaan.

"Tumpukan perhatian dalam semua bidang tugas yang diberikan dan jangan memandang apa jua tugasan sebagai sesuatu yang remeh," katanya.

Pada majlis sama bekas KSN, Tan Sri Samsudin Osman dianugerahkan Fellow Intan 2008. - Bernama

Aduan guru KPLI tak tepat

Berita Harian

SAYA merujuk kepada surat 'Bakal Guru Negeri Sembilan' mengenai 'Guru KPLI kecewa kerenah birokrasi' yang disiarkan ruangan ini, minggu lalu. Saya dapati apa yang diluahkan beliau adalah tidak tepat sama sekali, jangan jadi seperti 'kacang lupakan kulit'.

Kerajaan menabur jasa dan memberi peluang kepada kita untuk bekerja. Bersyukurlah, kita akan menjadi salah seorang daripada kakitangan awam yang kurang berisiko akibat krisis ekonomi sekarang.

Untuk makluman, saya adalah pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada 2005 dan pernah terbabit dalam kes ditangguhkan penempatan.

Kini saya sudah berkhidmat di sekolah, malah sebelum menyertai KPLI saya dimaklumkan mengenai kes penangguhan penempatan, jadi ia tidak menimbulkan masalah kepada saya.

Sebagai bakal guru, pengadu sepatutnya lebih peka mengenainya dan bertanyalah kepada orang sekeliling sebelum membuat sebarang kenyataan. Jangan hanya kerana kenyataan kita yang membuta tuli, memalukan pelajar KPLI lain.

GURU BARU,
Shah Alam,
Selangor.