JOHOR BAHARU, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Luar pada Isnin dicadang supaya mewujudkan Atase Bahasa Melayu di kedutaan Malaysia di luar negara sebagai usaha mengembangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.
Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata pegawai tersebut bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan ilmu Bahasa Melayu bahkan ilmu mengenai kebudayaan Melayu.
"Pegawai ini akan membantu Atase Pelajaran, Ekonomi dan Ketenteraan. Tugas mereka ialah membuka kelas Bahasa Melayu di Kedutaan Malaysia, yang dengan cara itu Bahasa Melayu akan berkembang sebagai bahasa dunia," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa "Bahasa Melayu Bahasa Dunia", di sini, pada Isnin.
Persidangan tersebut dianjurkan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Fakulti Bahasa Universiti Sultan Idris dan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor.
Abdul Ghani berkata untuk permulaan, atase berkenaan boleh ditempatkan di Kedutaan Malaysia di Bangkok dan pejabat Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand selain di Sri Lanka, Afrika Selatan, Filipina dan Kemboja.
"Di tempat ini terdapat orang Melayu golongan perantau. Bahasa Melayu mereka adalah Bahasa Melayu kacukan dengan bahasa setempat. Sekiranya dapat dimajukan bidang Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, maka semua Melayu perantauan dapat bertutur dengan Bahasa Melayu yang betul," katanya.
Selain itu, beliau berkata Bahasa Melayu juga perlu dijadikan bahasa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan semua pemimpin negara serumpun diharapkan memiliki keberanian untuk memulakan ucapan mereka di dalam Bahasa Melayu di PBB.
"Tan Sri Razali Ismail semasa menjadi wakil tetap Malaysia di PBB telah buat pertama kalinya berucap di dalam Bahasa Melayu. Gabungan dan hasrat negara serumpun perlu disatukan supaya terdapat usaha bersama merealisasikan hasrat ini," katanya.
Beliau berkata, walaupun, Malaysia, Indonesia dan Brunei bukannya negara kuasa besar, namun, jumlah penutur yang hampir 350 juta orang memberi kekuatan untuk mencapai hasrat berkenaan.
-- BERNAMA