20 May 2010

Gaji 600,000 kakitangan awam disemak

Berita Harian

KUCHING: Kira-kira 600,000 kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan Satu dan Dua dijangka akan menerima durian runtuh apabila kerajaan difahamkan sedia menyemak tangga gaji mereka bagi membolehkan pendapatan melebihi RM40,000 setahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata berdasarkan Model Baru Ekonomi (MEB), kerajaan menetapkan pendapatan rakyat di negara perlu melepasi AS$15,000 (RM48,000) dan sebagai permulaan semakan gaji kakitangan dilakukan.
Katanya, semakan ini membabitkan cadangan penghapusan kelayakan akademik Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP) berikutan ia dinaikkan kepada sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ini bermakna kakitangan Kumpulan Sokongan Satu dan Dua seperti pemandu, pembantu tadbir rendah, tukang masak, atendan haiwan, penolong jururawat akan menikmati kenaikan gaji sekali ganda atau sekurang-kurangnya RM1,500.

“Mereka yang mahu menyertai perkhidmatan awam selepas ini perlu memastikan memiliki kelayakan sekurang-kurangnya SPM seperti diperkenalkan polis baru-baru ini melalui skim pengstrukturan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam

16 May 2010

RM900 hingga RM7,500 bagi guru cemerlang

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan ganjaran kewangan bersempena sambutan Hari Guru hari ini kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing.

Muhyiddin berkata mereka yang mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pelajaran yang ditetapkan bakal mendapat imbuhan wang tunai antara RM900 hingga RM7,500 mulai tahun ini.

"Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, tawaran baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.

"Pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500, lima peratus guru-guru (terbaik) sekolah berkenaan pula, iaitu berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan mereka, akan menerima RM1,800 dan guru-guru selebihnya lagi akan menerima RM900," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, di Kuantan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ganjaran kewangan itu merupakan satu suntikan baru kepada guru-guru untuk bekerja dengan gigih lagi bagi meningkatkan prestasi sekolah dan keberhasilan pelajar.

Muhyiddin berkata ganjaran kewangan itu tidak terbatas hanya sekali sahaja untuk setiap sekolah: "Kalau sekolah itu meneruskan usahanya untuk tahun berikutnya, ia akan dapat lagi ganjaran itu,".

Beliau berkata ganjaran kewangan itu akan diteruskan setiap tahun dan bagi tahun ini, pencapaian setiap sekolah akan dinilai selepas keputusan peperiksaan, sebelum ganjaran itu diberikan kepada mereka yang layak.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyidin turut mengumumkan beberapa inisiatif lain kepada golongan pendidik.

Antaranya, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah meluluskan sebanyak 25,269 kenaikan pangkat bagi pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau bukan siswazah sehingga April 2010 ini.

"Untuk mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah bersetuju supaya kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan Gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran," kata Muhyiddin.

MS MS NHBeliau berkata Pegawai Perkhidmatan Siswazah yang memperoleh ijazah doktor falsafah juga akan menikmati kenaikan satu gred sekiranya memenuhi kriteria dan syarat yang akan ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang menimbangkan pelaksanaan beberapa inisiatif kenaikan pangkat berasaskan pencapaian yang lebih baik kepada mereka yang benar-benar menunjukkan kebolehan.

Ditanya mengenai syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru, Muhyiddin berkata beberapa syor jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Beberapa perkara yang saya sebutkan (dalam ucapan) akan dilaksanakan seberapa segera, itu antara sebahagian daripada perkara yang dikenalpasti jawatankuasa berkenaan," kata Muhyiddin.

Antara syor yang dikemukakan jwatankuasa berkenaan yang akan dilaksanakan segera antaranya, mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah kepada jumlah yang lebih wajar.

"Pada masa ini terdapat sekolah yang mempunyai hampir 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kebersihan, keceriaan, keselamatan dan sebagainya.

"Pengecilan jumlah jawatankuasa akan dapat mengurangkan bebanan guru dan dapat memberi peluang kepada mereka untuk menumpukan perhatian kepada tugas hakiki," katan Muhyiddin.

Syor lain ialah mengkaji bilangan peperiksaan di sekolah dan ujian di peringkat sekolah yang dilihat terlalu banyak, menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah dan penyediaan kurusus-kursus yang bersesuaian untuk golongan pendidik.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi.

- Bernama