12 June 2009

Kerajaan Akan Mengambil Lebih Ramai Kakitangan Awam

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) giat berusaha memenuhi 50,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata kekosongan itu termasuk 5,000 jawatan doktor, 5,000 jururawat, 300 jurutera, 800 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan yang lain bagi pelbagai kategori pegawai biasa dan kakitangan sokongan.

Kerajaan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pendidikan dalam bidang perubatan untuk membantu kerajaan mengatasi kekurangan doktor, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menambah bahawa lebih banyak biasiswa dan pinjaman diperoleh untuk rakyat Malaysia mengikuti kursus perubatan tempatan dan luar negara.

Pada masa yang sama, katanya Kementerian Kesihatan mengkaji kemungkinan mengambil doktor asing untuk memenuhi kekosongan itu.

Murugiah berkata sungguhpun jumlah jururawat yang sedang dilatih mencukupi di negara ini, kebanyakkannya berminat untuk berkhidmat di luar negara kerana gaji dan kemudahan yang lebih baik.

Beliau berharap rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk memenuhi pelbagai kekosongan kerana kerajaan telah memperbaiki skim gaji dan kemudahan untuk kakitangan awam.

Mereka yang berminat boleh memohon jawatan ini melalui dalam talian www.spa.gov.my.

Untuk keselesaan pemohon luar bandar khasnya di Sabah dan Sarawak, beliau berkata SPA akan menjalankan temuduga di bandar kawasan itu.

-- BERNAMA

700 Penjawat Awam Sertai Kejohanan Empat Hari Di Alor Setar

ALOR SETAR, 12 Jun (Bernama) -- Seramai 700 penjawat awam dari seluruh negara termasuk dari angkatan tentera, polis dan jabatan penjara mengambil bahagian dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran dan Sepak Takraw, anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak) di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.

Kejohanan empat hari itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak Jumaat.

Dalam ucapannya pada majlis itu Azizan berkata kejohanan-kejohanan sukan dapat dijadikan wadah untuk mengeratkan hubungan sesama penjawat awam.

"Pertemuan-pertemuan melalui kejohanan seperti ini dapat membina hubungan yang lebih erat melalui interaksi sesama mereka, sekaligus menyediakan platform terbaik untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman," katanya.

Menurutnya aktiviti sukan seharusnya membantu meningkatkan produktiviti dan menjadikan penjawat awam lebih aktif, berdaya tahan dan berdisplin selain menyemarakkan semangat berpasukan.

-- BERNAMA