05 January 2007

Cuepacs yakin gaji disemak

PUTRAJAYA: Selepas pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan memberi perhatian serius berhubung cadangan semakan menyeluruh pakej gaji dan kebajikan kakitangan awam.


Dalam pertemuan di pejabat Sidek di sini, semalam, Cuepacs memaklumkan surat mengandungi memorandum semakan pakej gaji kakitangan awam sudah dihantar kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs berpuas hati pertemuan dengan Sidek memberi hasil positif serta menunggu masa sesuai bertemu Perdana Menteri.

"Memorandum semakan pakej gaji kakitangan awam sudah 99 peratus siap, cuma kita hendak memperkemaskannya lagi.

"Cuepacs sudah mengutus surat kepada Perdana Menteri dan sedang menunggu jawapan. Kita dimaklumkan Perdana Menteri sudah pulang dan harap lepas jumpa KSN, kita dapat jumpa PM," katanya kepada pemberita.

Baru-baru ini, Cuepacs meminta kerajaan meneliti permohonan menaikkan antara 10 hingga 40 peratus gaji kakitangan awam, terutama kumpulan sokongan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Omar berkata, antara lain memorandum mewakili lebih 50 peratus penjawat awam dari kumpulan sokongan kedua yang memiliki pendapatan pada garis kemiskinan iaitu antara RM850 dan RM980 sebulan.

Beliau berkata, Cuepacs berharap akan dipanggil pada sesi perundingan ketika ia dipertimbangkan kerajaan.

Katanya, Sidek juga bersetuju mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya dua kali setahun dengan Cuepacs bagi membincangkan pelbagai isu.

"Selain itu, empat pertemuan akan diadakan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setiap tahun untuk tujuan sama," katanya.

Sementara itu, Omar mempertahankan kewibawaan kakitangan awam dalam melaksanakan tugas dan setimpal dengan permohonan semakan semula pakej gaji yang akan dikemukakan kepada kerajaan.

"Cuepacs mahu pihak tertentu yang mahu mempersoalkan mutu kerja kakitangan awam merujuk kepada laporan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) mengenai prestasi sektor awam.

"Mampu yang menilai keupayaan kakitangan awam dan hasilnya dapat dilihat sekarang seperti pembangunan yang dinikmati di pusat pentadbiran negara di sini," katanya.

Syor naik gaji banteras gejala rasuah

KERAJAAN disaran supaya mengkaji semula gaji minimum kakitangan awam, khususnya kumpulan sokongan sebagai satu daripada langkah untuk membanteras gejala rasuah di negara ini.
Pengerusi Bernama, Datuk Mohd Annuar Zaini berkata pendapatan dan imbuhan yang tidak mencukupi untuk menanggung keperluan keluarga, mungkin mendorong seseorang kakitangan awam terjebak dalam rasuah untuk kelangsungan hidup.

“Gaji yang rendah tidak dapat menampung kehidupan di bandar raya. Untuk meneruskan kehidupan, mereka terpaksa membuat pilihan sama ada melakukan kerja sambilan atau menggunakan kuasa dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Mohd Annuar berkata demikian pada Seminar Kebangsaan ‘Abdullah Ahmad Badawi, Tiga Tahun di Putrajaya: Menjejaki Pencapaian dan Strategi Masa Depan Negara’ yang diadakan di sini, semalam

Beliau berkata, berkata kerajaan harus sedia menerima hakikat bahawa gejala rasuah masih berlaku dan berusaha mencari jalan penyelesaian secara holistik bagi membendung masalah berkenaan.

Katanya, kerajaan harus memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan rakyat yang hidup tertekan dapat dibebaskan daripada belenggu kesusahan dan menikmati kehidupan yang lebih baik.

Mohd Annuar berkata, gelaja rasuah kedua yang mencemarkan perkhidmatan awam dilakukan pegawai yang memiliki kuasa lebih besar tetapi bernafsu untuk hidup melampaui kemampuan pendapatan mereka.

Katanya, penyelesaian bagi gejala rasuah jenis itu memerlukan ketegasan kerajaan dan pegawai kanannya yang harus dicontohi seperti bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Selain itu katanya, media kerajaan juga perlu lebih berani mendedahkan kepincangan yang berlaku.

Terdahulu, Mohd Annuar berkata, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ialah seorang ‘nakhoda’ baru melayarkan bahtera negaranya melangkah usia 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan.

“Pelayaran ke destinasi baru turut memerlukan kelasi baru dan anak kapal yang memiliki wawasan serta minda yang sama dengan nakhoda baru,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri memerlukan mereka yang dapat sama-sama mengharungi cabaran dan membantu beliau menentukan arah pembangunan negara bagi mencapai matlamat Wawasan 2020. – Bernama