25 March 2010

Muhyiddin Sedia Bertemu Kesatuan Guru

KUALA PILAH, 25 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk bersemuka dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang berbangkit.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan.

"Sebenarnya pihak Ketua Pengarah Pelajaran sudah berjumpa. Saya minta sebelum saya berjumpa, saya mahu tahu isu dan masalah atau perkara yang mereka bangkitkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan di Beting, dekat sini Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai hasrat NUTP untuk bertemu beliau bagi menyelesaikan beberapa perkara mengenai profesion perguruan termasuk bebanan tugas para guru.

Muhyiddin berkata beliau telah dimaklumkan bahawa antara perkara yang akan dibangkitkan ialah berhubung masalah beban kerja, kebajikan dan perjawatan guru.

"Ia bukanlah satu perkara yang luar biasa dan daripada laporan yang saya terima kesatuan melihat beberapa kes yang berlaku di peringkat negeri yang dibuat di peringkat sekolah.

"Antaranya mengarahkan guru datang ke sekolah lebih daripada hari biasa yang mereka katakan ini sudah menjadi beban. Kita akan mengumpul maklumat ini dan saya telah minta satu tarikh untuk mendengar apakah masalah yang mahu ditimbulkan dan bagaimana boleh menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata ia bukan masalah nasional tapi kes yang berlaku di sesetengah tempat di sekolah tertentu.

"Apa pun kita akan ambil perhatian dan kita akan lihat cara-cara untuk mengatasinya. Jadi pertemuan ini memang saya akan tetapkan tarikhnya," katanya.

Mengulas pula langkah kerajaan Pas Kelantan untuk melantik Anggota Parlimen Gua Musang yang juga bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perunding bagi mewakili kerajaan negeri itu dalam soal berhubung tuntutan royalti minyak, Muhyiddin berkata perkara itu terserah kepada Tengku Razaleigh sendiri untuk memutuskannya.

"Bagi kita, kita telah memberi penjelasan yang cukup, kalau mereka (kerajaan Kelantan) tidak puas hati dan ada pihak yang mahu membantu menyelesaikan masalah ini, terserahlah pada mereka," katanya.

Bercakap di majlis tersebut, beliau menyifatkan UiTM sebagai simbol kesungguhan kerajaan untuk memajukan masyarakat Melayu bumiputera melalui penguasaan ilmu dan kemahiran yang relevan dengan tuntutan semasa.

Menurutnya bermula dengan penubuhan Dewan Latihan Rida pada tahun 1956, institusi pendidikan tersebut telah berkembang maju sehingga tertubuh UiTM pada tahun 1999.

"Sepanjang berada dalam arena pendidikan negara, UiTM telah berjaya melahirkan para profesional dan juga teknokrat bumiputera yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan bangsa dan pembangunan negara.

"Kini UiTM berdiri megah sebagai institusi pengajian tinggi yang unggul di negara ini. Dengan sejumlah 136,900 orang pelajar dan 26 buah kampus cawangan dan satelit di seluruh negara, UiTM adalah satu-satunya universiti yang mempunyai rangkaian kampus paling besar di negara ini dan menampung jumlah pelajar yang paling ramai," katanya.

Beliau berkata menerusi rangkaian kampus universiti itu di setiap negeri, UiTM juga merupakan universiti paling berjaya dalam melebarkan jaringan kemudahan pendidikan tinggi kepada penduduk di seluruh negara.

Sebelum pulang, beliau turut berjalan-jalan bertemu rakyat di Bazar Kuala Pilah.



-- BERNAMA

Jabatan Imigresen Rancang Miliki Kaunter Perkhidmatan Terbaik

MELAKA, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen sedang meningkatkan mutu perkhidmatan kaunter khususnya di pintu masuk negara untuk memastikan kaunter perkhidmatannya adalah yang terbaik.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Raja Mohd Raja Ismail berkata jabatan itu akan memiliki sebuah fasiliti khusus untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter apabila kerja penambahbaikan Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) di Port Dickson, Negeri Sembilan, siap dua bulan lagi.

"Kita akan mempunyai sebuah pusat latihan yang lengkap, siap dengan mock-up kaunter, ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pegawai yang bertugas di kaunter," katanya.

Beliau bercakap kepada Bernama selepas merasmikan majlis penutup Tamat Latihan Kursus Induksi Umum dan Khusus bagi 320 pegawai Imigresen di Ayer Keroh di sini, Khamis.

Raja Mohd berkata selain daripada meningkatkan mutu pegawai kaunter, jabatan itu akan sentiasa memperkenalkan teknologi baru di kaunter pintu masuk negara bagi membantu pegawai Imigresen menjalankan tugas mereka dengan berkesan.

Objektif utama peningkatan kaunter perkhidmatan ini ialah untuk memastikan rakyat dan pelancong lebih selesa berurusan dengan jabatan ini di samping meningkatkan tahap keselamatan negara, katanya.

Sehingga 18 Mac lepas, Malaysia mempunyai 29 pintu masuk melalui darat, 20 pintu masuk melalui udara dan 37 pintu masuk melalui laut.

Raja Mohd berkata AIMM juga merancang untuk melatih pegawai perkhidmatan kaunter dari agensi lain dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter.

Katanya jabatan itu juga sentiasa bekerjasama dengan Imigresen dari negara lain untuk meningkatkan tahap kemahiran pegawainya.

Sejak AIMM ditubuhkan pada 2001, lebih 18,000 pegawai Imigresen telah dilatih di akademi berkenaan, kata Raja Mohd.



-- BERNAMA

Elaun Khas Galak Anggota Polis Lebih Komited, Kata KPN

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pemberian elaun khas RM200 kepada 33,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas-tugas am akan sedikit sebanyak mengurangkan gejala rasuah di kalangan anggotanya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Katanya kenaikan itu juga menunjukkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap tugas anggota polis dan secara tidak langsung ia menggalakkan mereka bekerja dengan lebih amanah, komited dan dedikasi.

Beliau berkata selama ini pegawai terutama anggota berpangkat rendah telah bertungkus lumus menjalankan tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara serta memerangi jenayah dan menjalankan pelbagai tugas lain tanpa kenal erti jemu.

"Saya berasa terharu dan terkejut dengan pengumuman ini. Saya berterima kasih kepada perdana menteri kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan PDRM.

"Dengan kenaikan buat pertama kali kepada mereka yang melakukan tugas-tugas am, tentunya ia akan menjadi pembakar semangat kepada mereka dalam menjalankan tugas dengan lebih dedikasi dan komited," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Polis Ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini Khamis.

Semasa merasmikan sambutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar elaun bulanan sebanyak RM200 itu yang membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM84 juta setahun.

Beliau juga mengumumkan anggota berpangkat Konstabel akan dinaikkan pangkat ke Lans Koperal selepas tiga tahun perkhidmatan, dan Lans Koperal dinaikkan pangkat ke Koperal selepas lima tahun.

Musa berkata beliau bersama warga PDRM sentiasa berikrar untuk bekerja lebih keras dalam menentukan keselamatan negara berada di tahap optimum selain memastikan kadar jenayah terutamanya jenayah jalanan dapat diturunkan.

Bagi Konstabel Mohd Izwan Faez Hashim, 22, yang bertugas di Balai Polis Cheras, kenaikan kadar insentif tersebut sememangnya ditunggu-tunggu dan beliau turut berjanji akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih cemerlang.

"Saya berterima kasih atas keprihatinan kerajaan dalam menghargai susah payah anggota polis yang bekerja hampir 24 jam sehari dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

"Mungkin bagi kita jumlah itu tidaklah besar, tetapi ia tetap memberikan semangat kepada anggota polis terutama yang berpangkat rendah dalam menguatkuasakan undang-undang sekali gus menangani gejala rasuah yang semakin berleluasa," katanya.

Lans Koperal S Saravanan, 26, dari cawangan kem Komandan Pulapol Kuala Lumpur pula berkata selaras dengan berita baik tersebut, usaha anggota polis juga perlu dilipatgandakan demi memastikan pencapaian kerja berada pada tahap yang maksimum.

"Saya gembira dengan berita baik itu dan berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh dan lebih keras serta menjaga imej PDRM sejajar dengan imbuhan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Bagi Lans Koperal Sik Prasong dari Unit 69 Komando, Ulu Kinta, pemberian insentif itu sememangnya diperlukan setimpal dengan beban kerja dan tanggungjawab yang digalas anggota polis.

Katanya polis kini semakin berdepan tugas yang mencabar dan ia seakan dibayar dengan adanya ganjaran seperti ini.



-- BERNAMA

Najib Umum Insentif Untuk Pegawai Dan Anggota Polis

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk membayar elaun bulanan sebanyak RM200 kepada kira-kira 33,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan tugas-tugas am.

Mengumumkan perkara itu pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian elaun itu akan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM84 juta setahun.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan berita baik bagi para anggota polis berpangkat Konstabel hingga Koperal yang akan menikmati kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan.

Melalui pindaan Pekeliling Perkhidmatan 2009, anggota berpangkat Konstabel akan dinaikkan pangkat ke Lans Koperal selepas tiga tahun perkhidmatan, dan Lans Koperal dinaikkan pangkat ke Koperal selepas lima tahun, katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Polis Ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

"Inisiatif penambahbaikan ini akan melibatkan lebih 52,000 anggota lain-lain pangkat," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Najib dalam ucapannya turut mencadangkan supaya balai polis yang cemerlang diberikan penghargaan khas berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka.

"Apa yang diberikan hari ini sebagai menunjukkan sokongan dan dorongan kerajaan atas jasa anggota polis yang bertugas demi bangsa dan negara," katanya.

Selain itu, Najib turut menekankan tiga nilai utama iaitu integriti, keberkesanan dan keberhasilan yang perlu dipegang oleh seluruh warga PDRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat terutama untuk memastikan negara dalam keadaan aman dan selamat.

Tiga nilai itu penting terutama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah yang menjadi satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Mengurangkan jenayah merupakan satu misi nasional yang menjadi agenda penting kerajaan. Tugas tersebut bukan sahaja menjadi tanggungjawab polis tetapi juga Menteri Dalam Negeri serta saya sendiri sebagai ketua kerajaan yang turut bertanggungjawab kepada rakyat untuk menjayakan matlamat ini," katanya.

Najib berkata sejak NKRA diumumkan tahun lepas dengan mensasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak lima peratus menjelang tahun 2010, ia mula menunjukkan tanda positif apabila dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, ia turun sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata permulaan ini memberi petanda serta dorongan yang baik bagi meneruskan momentum untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

"Jika nak berjaya perangi jenayah perlu tentukan kekuatan dalam semua aspek bukan sahaja anggota dan tiga nilai yang dinyatakan tetapi juga kemahiran-kemahiran baru seperti teknologi, alat komunikasi terbaik serta dalam semua aspek," katanya.

Perdana Menteri memberi contoh balai polis bergerak yang ada perlu mempunyai kelengkapan alat komunikasi lebih efisyen agar para anggota di balai mudah berhubung dan mengambil tindakan secepat mungkin sekiranya kejadian jenayah berlaku.

-- BERNAMA

23 March 2010

Lebih Ramai Penjawat Awam Berpeluang Dalami Ilmu Undang-Undang - Ismail

BANGI, 23 Mac (Bernama) -- Lebih ramai penjawat awam yang terlibat dalam bidang penguatkuasaan berpeluang mendalami ilmu undang-undang dalam usaha kerajaan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata kerajaan sedang mengkaji untuk mengadakan lebih banyak kursus berikutan sambutan mengalakkan yang diterima daripada pejawat awam untuk mengikuti dua kursus penguatkuasaan undang-undang yang diadakan tahun lepas.

"Memandangkan banyak permohonan yang diterima, JPA akan kaji perkara itu dan mungkin lebih banyak kursus akan diadakan pada masa depan menerusi kerjasama dengan universiti tempatan lain selain Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Ismail berkata kursus yang julung kali diadakan itu khas kepada penjawat awam yang tidak berkelulusan undang-undang dan terbuka untuk semua tanpa mengira pangkat.

Terdahulu beliau menyampaikan sijil dan diploma kepada peserta kursus Diploma Eksekutif Undang-Undang Penguatkuasaan dan 'Sijil Eksekutif Undang-Undang Penguatkuasaan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Jabatan Perdana Menteri.

Kursus yang diadakan dengan kerjasama ILKAP dan UiTM itu disertai 27 peserta peringkat diploma dan 19 peserta peringkat sijil.

-- BERNAMA

21 March 2010

Pegawai Polis Berpangkat ASP Turut Bertugas Luar Pejabat

Oleh Muhamad Fairoz Azizan

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Pegawai polis berpangkat Asisten Superitenden Polis (ASP) ke bawah akan turut menjalankan tugasan luar pejabat seperti rondaan tidak lama lagi, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Ini bermakna hanya pegawai berpangkat Deputi Superitenden Polis (DSP) ke atas sahaja akan berada di pejabat, katanya.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses penstrukturan semula pasukan di samping menambah pegawai-pegawai awam dalam pasukan itu yang akan menggantikan pegawai beruniform yang bertugas di pejabat.

"Jika penstrukturan ini diluluskan oleh kerajaan InsyaAllah kita akan mulakan di Bukit Aman di mana pegawai yang berpangkat ASP ke bawah akan menjalankan tugasan luar pejabat bagi meramaikan pegawai di luar untuk memberi fokus kepada mengurangkan kadar jenayah.

"Kita juga telah mengenalpasti 4,000 jawatan dalam PDRM di seluruh negara untuk pegawai awam mengantikan tempat pegawai beruniform yang bertugas di pejabat," kata Musa kepada Bernama di sini.

Selain itu PDRM juga akan melaksanakan 14,000 pengambilan baru anggota dan pegawai polis tahun ini selain mengubah cara latihan kepada anggota-anggota baru.

Beliau berkata pihaknya telah memohon kepada kerajaan untuk menambah seramai 60,000 anggota baru bagi tempoh lima tahun akan datang, namun PDRM baru menerima 7,000 anggota tahun lepas.

"Cara latihan anggota-anggota baru ialah tiga bulan mereka berada di maktab manakala tiga bulan latihan secara praktikal di luar yang akan diperhatikan oleh pegawai-pegawai berpengalaman sebelum mereka masuk semula ke maktab selama sebulan," katanya.

Musa berkata dengan adanya anggota baru nanti, program polis kemasyarakatan dapat dipertingkatkan di samping mewujudkan lebih banyak balai polis komuniti di setiap taman perumahan termasuk di pedalaman bagi mendekatkan pasukan ini dengan masyarakat.

"Kalau boleh kita nak polis berada di merata-rata tempat supaya masyarakat berasa selamat di samping mencapai sasaran 20 peratus penurunan kadar jenayah di penghujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata dengan adanya program kemasyarakatan ini pihaknya menerima banyak maklumbalas positif yang mengalakkan daripada masyarakat, malah orang ramai sudah mula menjalankan tugas rondaan bersama-sama polis.

"Masyarakat memberi sokongan penuh kepada kita bukan sahaja di kawasan "panas" tetapi di seluruh negara dan kita tidak boleh tumpu di kawasan "panas" sahaja tetapi di semua kawasan perlu diberi tumpuan penuh bagi mengurangkan jenayah," katanya.

Musa berkata tahun ini sahaja seramai 23,000 anggota dan pegawai polis menjalankan tugas-tugas rondaan di seluruh negara yang turut dibantu oleh anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela) bagi mengengkang jenayah jalanan.

Selain itu PDRM melalui unit polis marin juga turut meningkatkan kawalan di perairan negara bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan menjadikan pangkalan marin sebagai pangkalan tektikal untuk memudahkan orang ramai membuat laporan polis.

"Kalau pergi di tepi-tepi pantai yang ada pondok polis, di situ juga orang awam boleh membuat laporan polis seperti balai-balai polis yang lain dan tindakan serupa juga akan diambil," katanya.

Beliau berkata ini bagi memudahkan masyarakat membuat laporan polis di mana-mana sahaja di samping menjadikan polis sebagai sahabat kepada masyarakat.

-- BERNAMA