23 May 2008

Wajarkah kursus vokal untuk kakitangan JPN?

Utusan Online

LAZIMNYA, apabila bercakap tentang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang sering terpacul di fikiran kita adalah kad pengenalan bermutu tinggi - MyKad.

Sebagai sebuah jabatan yang sinonim dengan perkhidmatan pelanggan, pastinya JPN mendapat perhatian besar masyarakat.

Silap sedikit sahaja pasti mengundang kritikan. Contohnya isu mengadakan cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah kereta untuk menggalakkan orang ramai menukar kad pengenalan lama kepada MyKad yang menimbulkan kontroversi tidak lama dulu.

Isu tersebut mengundang campur tangan menteri dan program cabutan bertuah itu akhirnya dibatalkan. Tidak silap saya, kereta berkenaan masih terbiar begitu sahaja.

Ini seharusnya diambil iktibar oleh pihak-pihak berkenaan untuk meminimumkan segala ketidakwajaran dan kepincangan.

Terbaru, kursus vokal selama empat hari? Saya difahamkan, warga JPN diwajibkan mengikuti tiga kursus dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Kursus-kursus itu ialah perkhidmatan pelanggan, bina insan serta anjakan paradigma dan pemikiran positif. Saya tidak tahu, kursus vokal tersebut jatuh dalam kategori yang mana satu? Ini bukan Akademi Fantasia.

Sudahlah begitu, kursus berkenaan yang dianjurkan di Dewan JPN yang didatangkan dengan pakej penginapan di hotel berdekatan, mengambil dua hari waktu bekerja mulai hari ini (Khamis).

Yang syoknya, para peserta kursus terbabit yang terdiri daripada seramai lebih kurang 30 orang dari ibu pejabat boleh mengambil ganti cuti pada hari Isnin untuk berehat. Bukankah ini hanya merugikan tenaga kerja sahaja?

Saya tidak nampak, di manakah kewajarannya pengurusan tinggi JPN mengadakan kursus vokal ini untuk disesuaikan dengan visi merealisasikan JPN bagi memenuhi matlamat melahirkan perkhidmatan berkualiti bertaraf dunia seperti diuar-uarkan.

Tiada pula misi dan visi JPN yang dipampang menyatakan bahawa 'memantapkan vokal kakitangan' sebagai salah satu agendanya.

Bukan apa, sebagai seorang rakyat yang prihatin dan diberikan kuasa untuk menegur, kalau boleh saya tidak mahu wang kerajaan dan rakyat serta masa kerja dikorbankan tidak tentu hala.

Jangan sampai nanti agensi strategik yang ditubuhkan sebagai salah satu langkah menangani keselamatan, itu dipandang rendah oleh rakyat.

Kepada kakitangan JPN terbabit yang sedang menjalani kursus vokal yang dimaksudkan, diucapkan selamat berkursus.

Semoga selepas ini kalian kembali dengan lebih bersemangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, tepat dan mesra pelanggan kelas pertama, demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

AFUNDI JPN

Putrajaya

Sembilan pegawai kanan polis naik pangkat

Utusan Online

KUALA LUMPUR 22 Mei - Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah I, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mengetuai senarai pertukaran dan kenaikan pangkat sembilan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat- kuasa dalam masa terdekat ini.

Perkembangan itu menyaksikan Acryl akan memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini, Ketua Polis Melaka, Datuk Mortadza Nazarene akan menggantikan tempat Acryl dengan pangkat Deputi Komisioner (DCP).

Turut mengiringinya ialah Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob yang bertukar ke jawatan Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat DCP.

"Tempat Ayub akan diisi oleh Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, Senior Asisten Komisioner II (SAC II) Sidin Abdul Karim sebagai Ketua Polis Terengganu baru.

"Beliau (Sidin) akan memangku pangkat SAC I," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, SAC II Mazlan Mansor akan menggantikan tempat Mortadza sebagai Ketua Polis Melaka dengan pangkat SAC I.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Jenayah Berat (D9), Siasatan Khas JSJ, Bukit Aman, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani pula akan memegang jawatan Komander Unit Tindakan Khas, Bukit Aman.

Tempat Sharifuddin akan digantikan dengan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Johari Yahaya dengan memangku pangkat SAC II.

Selain itu, Timbalan KJSJ Risikan/Operasi, Kedah, Supritendan Mohd. Zaki Masroh akan ke KJSJ Negeri Sembilan dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Unit Siasatan Lain Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Supritendan Azizan Abd. Aziz akan ditukarkan ke Timbalan Komander 69, Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

22 May 2008

Semak kadar elaun tugas lebih masa doktor

Utusan Online

APA yang saya paparkan di sini hanyalah luahan hati saya dan sebahagian kecil doktor yang bertugas di satu daerah di Pantai Timur. Kerjaya sebagai doktor seringkali dipandang sebagai hebat tetapi realitinya tidak ramai yang mengetahui pahit-maung kehidupan kami.

Tidak pernah sesekali kami menyesali memilih kerjaya ini yang memikul tanggungjawab berat berhubung hidup dan mati pesakit-pesakit kami.

Tekad kami adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik tanpa mengira kaum dan agama. Namun, seringkali kami merasakan ganjaran yang kami peroleh tidak setimpal dengan beban kerja dan tanggungjawab lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang bekerja di sektor swasta atau di luar negara.

Masalah ini juga seringkali menjadi sebab utama penghijrahan doktor-doktor di hospital kerajaan ke hospital swasta. Malah, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai dalam Utusan Malaysia, 28 April lalu juga mengakui bahawa faktor gaji yang rendah di negara ini menyebabkan ramai pakar perubatan lebih cenderung untuk berkhidmat di luar negara kerana gajinya jauh lebih lumayan.

Baru-baru ini, iaitu berkuat kuasa pada 1 Februari 2008, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan elaun bayaran insentif klinik untuk kecemasan ringan selepas waktu pejabat daripada RM30 sejam kepada RM80 sejam.

Kami tumpang gembira dengan berita ini kerana nasib sebahagian rakan-rakan kami yang bertugas klinik kesihatan dan Jabatan Kecemasan sekurang-kurangnya terbela.

Namun bagaimana dengan nasib kami doktor-doktor yang berkhidmat di wad hospital kerajaan yang kadangkala bekerja berterusan tanpa henti selama 33 jam?

Itulah rutin kehidupan seorang doktor jika bertugas atas panggilan aktif (oncall). Bermula seawal jam 8 pagi, kami akan membuat rondaan wad dan melakukan tugas-tugas wad seperti mengambil darah dan spesimen, melakukan pelbagai prosedur dan seterusnya berkejar pula ke klinik untuk melihat pesakit-pesakit yang mendapat rawatan susulan. Seringkali, kami bekerja melangkaui masa rehat tengah hari dan ada kalanya tidak sempat untuk berehat atau makan.

Kes-kes

Petangnya pula, kami akan melihat kes-kes yang baru dimasukkan ke wad, kes-kes rujukan oleh jabatan lain dan memberi rawatan yang sewajarnya sehinggalah ke pukul 5 petang. Sekiranya oncall pada hari tersebut, kami akan terus bekerja sehinggalah ke pukul 8 pagi keesokan harinya dan rutin seharian kami diteruskan sehingga pukul 5 petang.

Kami yang bertugas atas panggilan aktif (berada di hospital) melebihi 16 jam sehari secara berterusan ini akan dibayar pada hari bekerja penuh dan separuh pada kadar RM150 semalam, manakala pada hari cuti minggu dan hari cuti am RM170 semalam (berkuatkuasa 1 Jun 2005).

Sekiranya bertugas atas panggilan pasif iaitu bersedia di rumah dan dipanggil bertugas selama lebih empat jam pada hari bekerja penuh dan separuh, kadarnya ialah RM90 semalam manakala hari cuti minggu dan hari cuti am RM100 semalaman.

Jika bersedia di rumah dan dipanggil bertugas selama kurang daripada empat jam atau jika tidak dipanggil bertugas pada hari bekerja penuh dan separuh, kadarnya ialah RM50 semalaman dan pada hari cuti minggu dan hari cuti am RM55 semalaman.

Jelas di sini, bekerja lebih masa selama dua jam di klinik kesihatan atau jabatan kecemasan dan merawat kes kecemasan ringan akan dibayar RM160 (2 jam x RM80). Tetapi kami yang bekerja 16 atau 24 jam berterusan dan merawat pelbagai kes termasuk kes ringan, semikritikal atau kritikal hanya dibayar RM150 atau RM170 sahaja.

Perkara ini tidak sewajarnya berlaku dan kami berpendapat sudah tiba masanya untuk kadar elaun tugas lebih masa ini disemak semula.

DOKTOR TERKILAN
Kelantan

10,000 bermasalah masih berkhidmat

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 kakitangan awam yang dikategorikan sebagai pekerja bermasalah masih bertugas di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata walaupun jumlah itu kecil berbanding keseluruhan kakitangan awam, 1.2 juta orang, sikap dan masalah mereka boleh memberi kesan kepada prestasi perkhidmatan awam.

"Mereka antaranya menghadapi masalah kesihatan, gangguan mental dan tidak berdisiplin," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Omar berkata, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Awam 9/2007 yang baru, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), boleh bertindak tegas ke atas pekerja terbabit termasuk dibersarakan awal.

"Kita berharap mereka yang dikategorikan tidak disiplin boleh mengubah sikap dan menjalankan tugas sebaik mungkin.

"Kalau tidak mereka bakal berdepan tindakan kerajaan yang boleh dibersarakan awal daripada perkhidmatan," katanya.

Omar juga berkata, Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan JPA bagi membincangkan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang baru untuk kakitangan awam Kumpulan Sokongan Satu (Gred 17 hingga 40) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 hingga 54).

Katanya, perjumpaan sama sudah diadakan minggu lalu untuk kategori kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua (Gred 1 hingga 16) dan ujian PTK untuk kumpulan itu dihapuskan, tetapi proses kenaikan pangkat dinilai mengikut prestasi kerja dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan.

"Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh memenuhi tuntutan kakitangan awam, kita juga hendaklah memenuhi harapan Perdana Menteri dan menjadi jentera pentadbiran kerajaan yang cekap dan berdisiplin," katanya.

21 May 2008

Tarikan jawatan sektor awam

Utusan Online


Peluang mendapat kerja dalam sektor awam kini menjadi rebutan 'pencari kerja'.


Kenaikan gaji kakitangan awam tahun lalu dilihat sebagai momentum dan tarikan bukan Melayu berkhidmat dalam sektor awam. Jika sebelum ini tidak ramai di kalangan bukan Melayu yang berminat untuk menyertai sektor awam, namun sejak kebelakangan ini statistik menunjukkan peratusan yang ramai berminat untuk bekerja dengan kerajaan.

Kerajaan juga dari semasa ke semasa berusaha untuk menarik lebih ramai bukan Melayu menyertai sektor awam agar wujudnya keseimbangan kaum, perkongsian kepakaran dan kemahiran, bagi mengelak salah faham dan seterusnya memberi keadilan kepada semua warganya dalam soal peluang pekerjaan.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), permohonan jawatan oleh bukan Melayu yang diterima SPA meningkat, dengan 47,253 orang calon direkodkan telah memohon dalam pelbagai jawatan dalam kerajaan seperti yang ditawarkan bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lalu, berbanding hanya 12,020 orang pemohon bagi tempoh sama pada 2006.

Ini adalah peningkatan yang sangat menarik dan membuktikan bahawa sektor awam masih lagi diminati bukan Melayu memandangkan prospeknya yang luas, berpotensi tinggi dan mempunyai masa hadapan yang cerah.

Peningkatan ini secara tidak langsung menolak persepsi bahawa sektor awam hanya untuk orang Melayu sahaja. Ini membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah bersikap double standard kepada bukan Melayu dan tidak pernah mengamal dasar pilih kasih, perkauman, diskriminasi dalam pemilihan penjawat awam.

Malahan kerajaan tidak pernah prejudis terhadap sebarang bentuk permohonan dari bukan Melayu dalam sektor awam bahkan pertimbangan dan penilaian yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada merit, kesungguhan dan kebolehan seseorang calon.

Soal Melayu atau bukan Melayu tidak pernah timbul dalam pemilihan kakitangan kerajaan sama ada dalam aspek kenaikan pangkat, gaji, peluang melanjut pelajaran, kursus dan sebagainya. Realiti ini dapat dilihat apabila semakin ramai bukan Melayu yang diberikan peluang untuk mengetuai beberapa jawatan penting sama ada di peringkat kementerian, jabatan, majlis dan sebagainya.

Masing-masing diberikan peranan dan tanggungjawab untuk meningkat kualiti, prestasi dan tahap perkhidmatan cemerlang di dalam sektor awam di negara kita.

Jumlah permohonan yang tinggi dari kalangan bukan Melayu dilihat sebagai satu anjakan yang baik dalam sektor perkhidmatan awam dan berkemungkinan besar peningkatan ini disebabkan tarikan kenaikan gaji kepada kakitangan awam, prospek dan skop pekerjaan yang menarik serta peluang yang terbuka luas untuk meningkat.

PemohonJumlah pemohon kaum Cina dilaporkan meningkat daripada 1,347 orang pada Julai hingga Disember 2006 kepada 5,421 pemohon pada Julai hingga Disember tahun lalu. Manakala kaum India pula (1,953 pemohon kepada 6,113 pemohon) dan seterusnya kaum-kaum lain (8,720 pemohon kepada 35,719 pemohon).

Tahun ini SPA menjangkakan pengambilan sejumlah 45,000 orang daripada pelbagai kaum sebagai anggota baru dalam perkhidmatan awam. Bagi suku pertama tahun ini, SPA menerusi kementerian dan jabatan kerajaan memproses semua permohonan bagi mengisi 16,480 kekosongan bagi 16 jawatan.

Antara 16 jawatan itu termasuk Pegawai Tadbir Diplomatik dengan 525 orang kekosongan, Pembantu Penguat Kuasa (638), Penolong Pegawai Tadbir (500), Jurutera (468), Pegawai Latihan Vokasional (278) dan Pegawai Bomba (127).

Oleh yang demikian, bukan Melayu perlu mengambil peluang yang terbuka luas ini dan bersaing dengan pemohon Melayu lain agar hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan dan pekerja berpengetahuan (k-pekerja) serta berinovasi dapat direalisasikan dalam usaha memacu sektor awam setanding dengan sektor swasta lain di negara kita.

Negara memerlukan penglibatan rakyat dalam segala bidang bagi memastikan jentera kerajaan berjalan dalam keadaan yang terancang, stabil dan mampu memenuhi hasrat dan kehendak rakyat.

Biarlah pemimpin dan parti politik silih berganti, namun kakitangan kerajaan perlu melaksanakan tugas seperti mana yang diamanahkan dengan ikhlas, efektif dan berkesan.

Di samping itu, mereka juga tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri dalam apa yang dilakukan kerana dalam perkara ini perkhidmatan serta sumbangan kepada rakyat dan negara perlu diutamakan tanpa terlalu memikirkan soal imbuhan, ganjaran dan sebagainya.

Mereka perlu menterjemahkan kesetiaan mereka kepada raja dan negara tanpa kompromi biar apa pun badai yang bakal melanda. Apa yang paling utama ialah semua pihak perlu memastikan negara dan rakyat berada di dalam keadaan aman, makmur dan dihormati masyarakat luar setiap masa.

3,000 bantu guru kelas khas

Berita Harian

Jawatan Pembantu Pengurusan Murid pastikan proses pembelajaran lancar

TIGA ribu jawatan Pembantu Pengurusan Murid akan diwujudkan bagi membantu guru kelas pendidikan khas mendidik 30,000 murid terbabit menjelang 2010, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Katanya, seramai 500 kumpulan pertama Pembantu Pengurusan Murid diambil baru-baru ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di kelas berkenaan berjalan lancar.

Bagaimanapun, katanya, sejumlah 300 lagi akan diambil bagi mengisi jawatan baru diperkenalkan tahun ini berikutan pertambahan murid mengikuti pendidikan khas yang kini mencecah 8,000 orang.

“Usaha menambah jumlah Pembantu Pengurusan Murid ini akan dilakukan dari semasa ke semasa. Dianggarkan 3,000 jawatan akan diwujudkan menjelang 2010,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Kebangsaan 2008 di Kompleks Sukan Panasonic, di Shah Alam, semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian Perancangan Penyelidikan Pendidikan Khas, Dr Mohammad Nor Mohammad Taib dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Khas, Rozainum Ahmad.

Wee berkata, jumlah Pembantu Pengurusan Murid diperlukan itu wajar berdasarkan nisbah seorang pembantu bagi 10 murid, termasuk kawalan disiplin, kebersihan serta menyediakan peralatan pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, penambahan jumlah Pembantu Pengurusan Murid itu juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama di kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Bagaimanapun, individu yang mempunyai semangat tinggi untuk berbakti dalam membantu kebajikan anak istimewa diutamakan mengisi jawatan ini. Tugas yang diserahkan kepada mereka begitu mencabar.

“Sebelum memulakan tugas mereka akan diberi latihan secukupnya supaya lebih bersedia berdepan dengan pelbagai masalah membabitkan murid berkenaan,” katanya.

Kementerian mewujudkan jawatan itu mulai tahun ini bertujuan meringankan tugas guru kelas berkenaan, sekali gus memberi peluang murid menjalani pembelajaran lebih selesa.

Dalam perkembangan berkaitan, Wee berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan Pembantu Pengurusan Murid turut mendapat elaun khas.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan memberi layanan sama rata kerana seramai 818 guru pendidikan khas dan murid kelas terbabit mendapat elaun berkenaan.

Mulai tahun ini, katanya, setiap murid pendidikan khas mendapat penambahan elaun bulanan RM50 berbanding RM25 sebelum ini, manakala guru pula RM250 sebulan berbanding RM100 sebelumnya.

“Berdasarkan kenaikan ini, wajar bagi Pembantu Pengurusan Murid turut dipertimbang mendapatkan elaun sama bagi meningkatkan semangat mereka bertugas dengan lebih dedikasi,” katanya.

19 May 2008

Nasib kakitangan pilih skim KWSP terabai?

Utusan Online

SAYA terpanggil untuk memberikan komen atas pengumuman kerajaan terhadap kakitangan awam baru-baru ini khususnya mereka yang memilih skim pencen. Sejak dahulu hingga kini perjuangan CUEPACS lebih tertumpu kepada kakitangan awam yang memilih skim pencen. Kami amat menghormati usaha CUEPACS ini dan mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan awam yang memilih skim pencen atas manfaat yang kerajaan berikan kepada mereka.

Namun di sebalik usaha CUEPACS ini dan keprihatinan pihak kerajaan terhadap kakitangan awam, golongan pemilih skim KWSP yang terdiri hanya lima peratus sahaja dari mereka amat terabai dan dianaktirikan.

Rasanya berpuluh surat telah dipaparkan di dada akhbar dan isu ini telah diketengahkan kepada CUEPACS tetapi sayangnya golongan pemilih skim KWSP langsung tidak pernah diberikan perhatian oleh kerajaan mahupun diperjuangkan oleh CUEPACS. Sedangkan dengan jumlah yang kecil (5%) sepatutnya usaha untuk memberikan kebajikan kepada golongan ini adalah lebih mudah dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Kami yang telah memilih skim ini akur atas keputusan yang telah dibuat disebabkan maklumat oleh majikan ketika itu adalah kabur dan tidak berpeluang untuk menukar kepada skim pencen.

Atas sebab itu kami merayu pihak kerajaan dan CUEPACS agar memberikan pertimbangan yang khusus kepada golongan pemilih skim KWSP iaitu:

l Menambah caruman majikan (kerajaan) kepada 17 peratus (sekarang 12 peratus).

l Menentukan dan menjamin jumlah dividen yang wajar untuk pencarum KWSP iaitu melebihi tujuh peratus setahun.

l Pemilih skim KWSP wajar dihargai atas sumbangan dengan perkhidmatan kerajaan dengan menerima ganjaran (graduiti) berdasarkan tempoh perkhidmatan.

l Pengeluaran khas untuk mengerjakan fardu haji pada usia muda (35 tahun ke atas) - syaratnya wang ini dibayar oleh KWSP terus kepada Tabung Haji.

l Kemudahan rawatan dan perubatan percuma di hospital kerajaan selepas bersara. (Apa yang dikesalkan ialah selepas ber- sara, pemilih skim KWSP tidak langsung dihargai sumbangannya).

Cadangan ini adalah amat wajar dipertimbangkan seterusnya diluluskan kerana pencarum KWSP dari kalangan kakitangan kerajaan tidak lagi mempunyai pendapatan selepas bersara, kos sara hidup yang semakin tinggi pada ketika usia tua, kadar inflasi yang menjejaskan simpanan, duit tabungan yang terpaksa dibelanjakan untuk perubatan dan kos-kos lain yang tidak dijangkakan. Segala kajian terhadap skim pencen selepas dari ini dan seterusnya tidak menguntungkan pemilih skim KWSP kerana mereka tidak terlibat apabila tamat perkhidmatan dengan kerajaan.

Pemilih KWSP yang terdiri dari hanya lima peratus dari keseluruhan kakitangan awam berharap agar kerajaan dan CUEPACS tidak terlepas pandang akan nasib mereka yang sehingga kini tiada pembelaan. Kepada CUEPACS yang sedang memperjuangkan kebajikan kakitangan awam, pandanglah juga pemilih skim KWSP yang selama ini diabaikan. Bantulah kami yang juga anggota perkhidmatan awam sama seperti pemilih skim pencen.

WAKIL PEMILIH SKIM KWSP

Kuala Nerang, Kedah.

Aduan pesakit cetus ketegangan di hospital

Berita Harian

SEBAGAI doktor bertugas di hospital kerajaan, saya sering tersentuh berikutan laporan akhbar mengenai kecuaian hospital, terutama di hospital kerajaan.

Saya berpendapat, akhbar berperanan memberikan maklumat tepat di samping menaikkan martabat dan nama baik sesebuah institusi. Pada masa sama, akhbar juga boleh menjatuhkan nama baik sesebuah institusi dengan hanya satu berita.

Tidak hairanlah pepatah mengatakan 'mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang.' Berdasarkan pengalaman, laporan akhbar yang menyiarkan aduan pesakit tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan dan yang menyedihkan aduan akan disiarkan dulu dan jawapan mengenainya akan disusuli kemudiannya.

Paling menyedihkan ada jawapan dan penjelasan itu tidak disiarkan menyebabkan persepsi masyarakat akan terus tertanam dengan laporan sensasi awal.

Untuk pengetahuan, apabila aduan disiar, banyak masa dan tenaga perlu dihabiskan dari peringkat kakitangan sokongan sehingga ke pakar, ketua jabatan dan pengarah untuk menyiasat kesahihan aduan.

Kakitangan terbabit akan dipanggil segera kerana laporan tidak mungkin dapat disediakan tanpa pembabitan mereka. Jika sekiranya hari berkenaan ada tugas penting, doktor dan jururawat terbabit akan segera meninggalkan tugas untuk menyediakan laporan.

Ini mengganggu jadual perkhidmatan yang disediakan. Kadangkala, jangkamasa untuk menyediakan laporan mengambil masa sehari dan laporan lengkap akan dihantar ke ibu pejabat pada hari sama.

Pihak pentadbir kemudian akan menghantar jawapan balas hasil siasatan kepada pihak media, namun kadangkala ia tidak disiarkan. Bayangkan apa akan berlaku jika aduan pada akhbar mengenai sesuatu hospital berlaku bertalu-talu.

Bukan saja nama baik perkhidmatan terjejas, malah perkhidmatan kepada pesakit juga terganggu.

Laporan berat sebelah akan menyebabkan kakitangan hospital beranggapan apa saja kebaikan mereka lakukan untuk pesakit tidak langsung dihargai. Maklum balas dalam bentuk laporan akhbar ini akan membawa lebih keburukan berbanding kebaikan.

Penyiaran itu akan menjarakkan lagi hubungan orang ramai dengan hospital di samping mewujudkan persekitaran kerja yang tegang dan 'counter-productive.' Ia juga akan terus memahat persepsi negatif masyarakat terhadap perkhidmatan hospital kerajaan sehingga menjadi kudis yang sukar dirawat dan dipulihkan.

Pihak hospital sentiasa sedar pentingnya usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan saya yakin setiap hospital sentiasa berusaha melaksanakannya. Satu pendekatan digunakan adalah dengan mendengar keluhan dan maklum balas pesakit melalui kemudahan peti surat aduan, laman web aduan.

Selain itu, kesediaan hospital untuk bersemuka dengan pengadu sama ada melalui telefon atau perjumpaan.

Sehubungan itu, saya meminta masyarakat, akhbar dan juga pihak yang menyediakan perkhidmatan kesihatan supaya mencari titik pertemuan dan jalan penyelesaian secara berhemah supaya nanti tidak ada sesiapa teraniaya.

Saya juga berharap masyarakat dan akhbar tidak mewujudkan budaya menuding jari mencari salah. Masih ramai doktor yang bekerja di perkhidmatan kerajaan sebenarnya bekerja dengan ikhlas, komited dan meletakkan kepentingan pesakit di hadapan daripada kepentingan diri.

Cuma tanggapan pesakit yang masih berasakan perkhidmatan kerajaan sebagai 'perkhidmatan kelas kedua' menyebabkan mereka tidak melihat kebaikan yang dilakukan selama ini.

DOKTOR HOSPITAL KERAJAAN,
Alor Star, Kedah

Pegawai JPM luar negara kurang pengalaman

Berita Harian

USAHA kerajaan menubuhkan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) bagi menjaga kebajikan pelajar di luar negara amat dialu-alukan. Namun, seperkara yang mungkin Kementerian Pengajian Tinggi tidak menyedarinya ialah kesesuaian pelantikan pegawai yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan pelajar berkenaan.

Saya perhatikan sejak dulu lagi (ketika belajar di Britain sekitar 90-an) sehingga kini, semua pegawai yang dilantik adalah guru sekolah rata-ratanya memiliki kelayakan asas ijazah pertama sedangkan tugas mereka untuk menjaga pelajar di universiti yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang sehingga terpilih ke luar negara.

Kalau kita bandingkan dengan universiti tempatan, semua pegawai atau penyelia yang menjaga kebajikan pelajar di kolej kediaman adalah kalangan pensyarah dengan kelayakan akademik minimum ijazah sarjana. Sekiranya mereka mempunyai ijazah pertama seperti tutor, mereka selalunya diberikan jawatan pembantu penyelia saja.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz, pernah dilaporkan berkata, tugas penyelia di kolej kediaman bukan sekadar memastikan pelajar cukup makan dan tidur, tetapi proses pembelajaran berterusan melalui aktiviti akademik seperti seminar, wacana ilmu, atau aktiviti kokurikulum untuk membimbing mereka menyertai masyarakat melalui bimbingan penyelia. Atas dasar itulah pembimbing pelajar peringkat universiti perlu seorang pensyarah universiti.

Berbalik kepada pegawai JPM di luar negara, saya difahamkan aktiviti akademik amat jarang di ketengahkan. Sebabnya mudah saja, pegawai berkenaan ketika di tanah air tidak pernah mengendalikan aktiviti untuk mahasiswa sebaliknya mereka hanya menguruskan pelajar sekolah menengah. Kita tidak harus menyalahkan mereka kerana tidak adil untuk mereka secara tiba-tiba menukar corak kerja guru kepada pensyarah ketika di luar negara.

Saya pernah melihat bagaimana pegawai itu menguruskan mahasiswa dalam satu suasana yang boleh saya katakan antara warden dengan pelajar dan bukan antara penyelia atau fellow dengan mahasiswa.

Saya berharap menerusi kepemimpinan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, perkara ini dapat diperhalusi secara serius. Pelantikan pensyarah universiti tempatan sebagai penyelia secara pertukaran sementara ke luar negara untuk tempoh dua hingga tiga tahun boleh memanfaatkan pensyarah dan mahasiswa dengan pendedahan kepada komuniti akademik antarabangsa.

Saya berharap tulisan ini tidak dianggap merendahkan kebolehan guru. Kita semua akur sebelum kita menjejakkan kaki ke universiti, gurulah yang membimbing sehingga berjaya. Isu ini untuk membuat anjakan paradigma kepada pencapaian mahasiswa kita di luar negara agarlebih cemerlang.

PROF MADYA DR HASSAN BASRI AWANG MAT DAHAN,
Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia,
Universiti Kaherah, Mesir.