25 June 2008

Guru dinasihat pertimbang pilihan bersara

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menasihatkan guru yang dilantik selepas 12 April 1991 supaya memikirkan semasak-masaknya sebelum memilih untuk bersara awal atau menerima tawaran untuk bersara wajib pada usia 58 tahun.

“Mereka yang dilantik selepas tarikh itu tidak akan menerima bayaran pencen sehingga mencapai umur persaraan wajib,” kata Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng.

“Mereka perlu fikir betul-betul, baik untuk menerima tawaran berkhidmat sehingga 58 tahun atau mengambil keputusan bersara pilihan.

“Maknanya, jika menerima tawaran bersara wajib pada usia 58 tahun dan kemudian memilih untuk bersara awal, pegawai terbabit perlu tunggu sehingga berusia 58 tahun untuk mula menerima pencen,” katanya kepada Bernama.

Seksyen 12 Akta Pencen 1980 menetapkan pegawai yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 yang bersara pilihan akan hanya diberi pencen pada tarikh mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya, sama ada pada usia 55, 56 atau 58 tahun.

Seksyen itu menjelaskan bahawa ganjaran dan wang tunai sebagai gantian cuti rehat akan diberi kepada pegawai berkenaan ketika beliau bersara pilihan.

Terdahulu dalam kenyataan, Lok berkata, NUTP menerima banyak panggilan telefon daripada guru mengenai kekeliruan isu itu kerana bimbang tidak akan mendapat pencen sekiranya memohon persaraan awal.

Beliau turut menjelaskan bahawa guru dilantik sebelum pelantikan terkini dan sudah meletakkan jawatan daripada pelantikan asal itu, tarikh pelantikan pada atau selepas 12 April 1991 dimaksudkan ialah tarikh pelantikan kedua.

Mengikut Seksyen 12 Akta Pencen 1980, sekiranya tidak berlaku peletakan jawatan antara dua pelantikan itu, tarikh pelantikan pada atau selepas 12 April 1991 yang dimaksudkan ialah tarikh pelantikan pertama pegawai.

Lok berkata, kakitangan awam diberi tempoh hingga akhir bulan ini untuk memilih sama ada menerima tawaran bersara wajib pada usia 58 tahun ataupun tidak.

Beliau menasihati guru melayari laman web NUTP di www.nutp.org untuk maklumat lanjut. - Bernama