28 May 2007

Cuepacs minta pertimbang pencen kurang RM500

Berita Harian

POH: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan memberi pertimbangan khas kepada lebih 46,000 pesara yang kini menikmati pencen kurang daripada RM500 sebulan.

Presidennya, Omar Osman, berkata sebahagian daripada mereka mendapat pencen kurang daripada RM200 sebulan tetapi tidak pasti jumlah sebenar dalam kumpulan berkenaan.

Apapun, beliau berkata, jumlah pencen yang diterima itu jauh lebih rendah daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan iaitu RM691 sebulan.

Katanya, kadar pencen yang diterima 46,000 pesara itu masih rendah daripada PGK walaupun selepas kenaikan 17.5 peratus, iaitu separuh daripada 35 peratus seperti diumumkan Perdana Menteri, minggu lalu.

Isnin minggu lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan kenaikan gaji 35 peratus untuk Kumpulan Sokongan II.

"Pesara yang mendapat pencen kurang RM500 ini ialah daripada Kumpulan Sokongan II terutama mengikut skim gaji Jawatankuasa Kabinet yang diluluskan pada 1976.

"Skim ini diganti oleh Skim Saraan Baru pada 1992 yang memberi imbuhan lebih baik tetapi tertakluk kepada tahun perkhidmatan kakitangan, iaitu mereka perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun untuk mendapat pencen penuh," katanya kepada Berita Harian, ketika dihubungi, di sini, semalam.

No comments: