27 May 2007

Guru wanita di pedalaman - NUTP bimbang keselamatan

Utusan Online

Oleh MARZITA ABDULLAH

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pelajaran melihat dengan lebih serius masalah yang dihadapi oleh guru muda di pedalaman terutama guru wanita.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, kesatuan telah menerima banyak maklum balas daripada guru di pedalaman tentang masalah penginapan yang kurang selesa dan tidak selamat.

``Keperluan asas amat kurang dan tidak selamat terutamanya penginapan, yang memerlukan kajian dan tindakan serius daripada kementerian terlibat,'' katanya.

Walaupun kerajaan memperuntukkan elaun pedalaman antara RM1,000 sehingga RM1,500 dalam usaha menarik minat guru baru ke kawasan pedalaman namun kerajaan juga perlu melihat tahap keselamatan guru tersebut.

``Kejadian di Kapit yang melibatkan seorang guru wanita walaupun disifatkan kes terpencil namun kesatuan merasakan lebih daripada satu kes yang berlaku ia tetapi tidak dilaporkan,'' katanya.

Tegas beliau, perhatian serius perlu diberikan terutama kepada guru wanita kerana profesion perguruan majoritinya diceburi golongan tersebut.

Sehubungan itu, NUTP mahu satu kursus persediaan kepada guru baru yang bakal dihantar ke kawasan pedalaman diwujudkan.

``NUTP sedia bekerjasama dengan kementerian untuk mengadakan kursus ini,'' katanya.

Yim Pheng berkata, guru-guru baru perlu mempunyai teknik penyelesaian masalah.

``Selain itu mereka juga memerlukan kursus kaunseling dan motivasi,'' katanya.

Menurut beliau, guru baru di pedalaman harus mempunyai saluran khusus untuk menyuarakan masalah mereka contohnya melalui rungutan secara atas talian.

Dalam pada itu, katanya, guru mesti meningkatkan ilmu dan pelbagai kemahiran untuk menghadapi pelajar yang kini mendahului guru dalam kemajuan bidang teknologi maklumat (IT).

Beliau berkata, faktor yang amat penting dalam diri guru dan juga pelajar ialah pembinaan peibadi masing-masing.

``Tumpuan yang keterlaluan terhadap bidang akademik sedikit sebanyak boleh menjejaskan pembentukan peribadi pelajar dan guru terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini,'' katanya.

Justeru NUTP akan mengadakan seminar antarabangsa tidak lama lagi yang akan menekankan usaha ke arah pembinaan peribadi warga sekolah.

No comments: