28 January 2009

UUM Pelawa Kakitangan Kerajaan Sertai Seminar Pengurusan

SINTOK, 28 Jan (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) mempelawa kakitangan kerajaan kumpulan sokongan 1 dan 2 menyertai Seminar Kemahiran Pengurusan anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) UUM, Feb ini.

Menurut Pengarah Canselori UUM, Mohd Zaini Nasri, seminar dengan kerjasama Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM), Universiti Prince of Songkhla, Thailand (PSU), Persatuan Setiausaha UUM (Setia) dan Kesatuan Kakitangan UUM (KESKA) akan berlangsung di Hotel Paradise, Hatyai, Thailand dari 25 Feb hingga 1 Mac.

Katanya seminar itu bertemakan "Pekerja Pro Aktif Organisasi Cemerlang" bertujuan mendedahkan peserta perubahan yang berlaku di dalam dan luar negara yang menuntut setiap organisasi meningkatkan daya saing untuk terus kekal dan berkembang maju dalam bidang masing-masing.

"Program ini menjadi platform untuk peserta mendapat input baru dan menambah pengetahuan pengurusan bagi memantapkan organisasi masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kasim Mohamed, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Omar Osman; Mantan Timbalan Menteri Pelajaran Thailand, Dr Rung Kaewdang; Prof Madya Chirapan Day Ma dari PSU; dan Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Prof Morshidi Siraj adalah antara penceramah seminar itu.

Mohd Zaini berkata peserta dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM1650.00 termasuk penginapan, makan/minum dan peralatan seminar.

Mereka yang berminat menyertai seminar boleh menghubungi Jamilah Samsudin di talian 04-9284004, Muhamed Nor Azman (04-9284007) dan Roshadah Yaacob (04-9284011) atau layari www.ipdm.uum.edu.my.

-- BERNAMA

Pegawai disyaki terima rasuah percepat lulus pinjaman

Berita Harian

KUALA SELANGOR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar mendedahkan beliau mendapat maklumat ada pegawai agensi kementerian itu menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan pinjaman.

Beliau berkata, pegawai itu meminta habuan tertentu sebagai balasan jika mahu mempercepatkan atau meluluskan pinjaman dan jika enggan, permohonan tidak diluluskan.

"Siapa cepat hulur (komisen), cepatlah kelulusannya. Siapa tidak hulur kebulur jawabnya tak dapat (permohonan tidak lulus)," katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen kawasan Tanjung Karang, di sini semalam.

Namun, Noh berkata, tiada pengadu tampil memberi bukti dan keterangan.

Beliau berkata, dakwaan itu mungkin benar tetapi sukar diambil tindakan kerana pengadu atau pemohon enggan memberi kerjasama.

"Pengadu kena beri bukti supaya tindakan dapat diambil. Jika takut membuat aduan, pengadu boleh memberi nama pegawai atau pejabat mana yang terbabit atau mengadu terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh melindungi pengadu," katanya.

Noh berkata, pemohon yang bermasalah juga boleh mengadu terus kepada kementeriannya secara bersemuka yang diwujudkannya selepas dilantik menteri di kementerian itu.

Katanya, pegawai yang didakwa bermasalah, pengadu dan wakil kementerian akan dipanggil bersemuka bagi membincangkan masalah pinjaman dan cara mengatasinya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kementerian menyediakan kursus keusahawanan percuma kepada pekerja yang diberhentikan kerana kegawatan ekonomi.

"Kita syorkan mereka datang secara berkumpulan supaya mudah kita beri kursus percuma mengikut kehendak mereka yang disesuaikan kehendak pasaran kerja," katanya.

Dalam pada itu, Noh memberi amaran akan menggantung permit syarikat bas ekspres yang melanggar peraturan termasuk menaikkan tambang bas sempena cuti Tahun Baru Cina.

Katanya, ada syarikat bas di Hentian Putra dilaporkan menaikkan tambang bas beberapa kali ganda untuk perjalanan dari dan ke Pantai Timur sempena cuti itu.