17 November 2009

Hanya Tujuh Laman Web Dapat Penilaian Lima Bintang - Sidek Hassan

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Hanya tujuh laman web atau 0.65 peratus daripada 1,192 portal dan laman web kendalian kementerian serta agensi kerajaan yang disenaraikan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) memperoleh penilaian lima bintang, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata maklumat daripada laporan "Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Malaysia 2009" itu ternyata amat mengecewakan kerana ia jelas menggambarkan angka laman web yang mendapat kualiti tinggi adalah sangat kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan.

"Semua ketua jabatan perlu melakukan sesuatu bagi memulihkan imej mereka dan mendapatkan semula keyakinan rakyat."

"Saya harap hasil laporan MDEC ini diambil serius oleh mereka yang berkenaan dan saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa arahan memandangkan mereka ini bukannya golongan tidak cerdik, jadi sepatutnya mereka faham sendiri tentang tanggungjawab mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar "Perubahan 1Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan Dalam Talian: Amalan Utama Untuk Berubah" di sini Selasa.

Beliau berkata laman web yang mendapat pengiktirafan lima bintang itu ialah laman web kendalian Kementerian Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pejabat Kerajaan Negeri Selangor dan portal myGovernment.

"Hasil laporan itu juga sebenarnya satu cabaran kepada mereka jika tujuh laman web ini boleh mendapat penilaian lima bintang, jadi kenapa selebihnya tidak boleh mendapatkan pengiktirafan sama," katanya.

Mohd Sidek berharap agar kementerian dan agensi yang belum mencapai tahap membanggakan diminta untuk mencari jalan bagi menambah baik kandungan laman web kendalian mereka.

Beliau berkata antara kriteria diambilkira oleh MDEC untuk mendapat pengiktirafan itu ialah keupayaan laman web itu diakses oleh pengguna, menyediakan capaian dalam dwibahasa untuk memudahkan pengguna berurusan dan selalu dikemaskini.

"Usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan yang berfokuskan pelanggan bukan saja perlu bermatlamatkan yang terbaik saja, tapi perlu manfaatkan teknologi serta dilaksanakan secara inovatif.

"Transformasi dalam perkhidmatan awam perlu dilaksanakan seberapa segera dan teratur memandangkan sektor awam adalah sektor kritikal dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan boleh mencapai sasaran ditetapkan," katanya.



-- BERNAMA

CUEPACS Dan SPRM Bekerjasama Tingkat Integriti Penjawat Awam

SEREMBAN, 17 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan lebih banyak program bersama untuk meningkatkan tahap integriti dan menjauhi perbuatan rasuah di kalangan anggota penjawat awam.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata tahap kesedaran anggota penjawat awam mengenai bahayanya rasuah harus dipertingkatkan dari masa ke semasa sehingga akhirnya melahirkan anggota perkhidmatan awam yang membenci rasuah.

"Justeru itu, kita wajar meneruskan apa juga usaha yang telah dan bakal kita laksanakan semoga suatu hari nanti tahap kesedaran ini akan mewujudkan anggota perkhidmatan awam dan masyarakat Malaysia yang benar-benar bebas dari jenayah rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas seminar pencegahan rasuah dan pemantapan integriti perkhidmatan awam anjuran bersama SPRM dan Cuepacs Cawangan Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mat Ali Hassan yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, Selasa.

Katanya Cuepacs bukan sahaja memperjuangkan kenaikan gaji atau bonus dan kebajikan penjawat awam semata-mata tetapi juga memperjuangkan integriti dan masa depan mereka.

-- BERNAMA

10,000 lagi jawatan kosong

Berita Harian

KUANTAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengisi 40,719 kekosongan pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam dari awal tahun sehingga 9 November lalu, dan kini masih terdapat 10,000 kekosongan.

Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri, berkata daripada jumlah itu, 7,834 adalah kakitangan berkelulusan ijazah, diploma (9,953) manakala seramai 22,932 membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, pihaknya menerima 1.4 juta permohonan bagi tempoh sama, menunjukkan peningkatan berbanding 996,791 permohonan tahun lalu.

"Tahun lalu seramai 52,369 calon dilantik dan tahun ini kita menjangkakan 50,000 orang," katanya.

Buat masa sekarang SPA mencari calon bagi tiga jawatan kritikal yang perlu diisi segera iaitu pegawai perubatan, farmasi dan pergigian.

"Memang ramai yang memohon namun kita mencari calon yang benar-benar berkelayakan dan sesuai dengan jawatan berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA cawangan Kuantan, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail.

Jamaluddin berkata, proses temu duga bagi tiga jawatan kritikal berkenaan dilakukan setiap hari namun masih terdapat kekosongan yang banyak.

"SPA perlu meneliti setiap permohonan dengan sebaiknya supaya calon dilantik betul-betul berkualiti dan mampu menggalas tugas yang diberikan.

"Peluang sama rata juga diberikan kepada bangsa lain malah mulai awal September lalu SPA memutuskan untuk tidak menyediakan ruangan identiti kaum atau keturunan dalam borang permohonan," katanya.

Sementara itu, mengulas pembukaan pusat temu duga terbabit, beliau berkata ia bagi memudahkan calon di negeri ini menghadiri sesi temu duga dalam keadaan serta kemudahan yang lebih selesa.

"Ini pusat temu duga kedua selepas Kota Bharu, Kelantan dan menjelang akhir tahun ini sebuah lagi akan diwujudkan di Ipoh, Perak.

"Bagi tahun depan pula, SPA merancang membuka pusat di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak," katanya.

Jamaluddin berkata, pusat temu duga yang dibuka dilengkapi kemudahan komputer membolehkan orang ramai mengemukakan permohonan secara dalam talian selepas penggunaan borang manual di mansuhkan pada 1 Januari lalu.

JPA: Tidak Hadir Bertugas Masih Kesalahan Tatatertib Tertinggi

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama)-- Ketidakhadiran bertugas masih merupakan kes kesalahan tatatertib tertinggi di kalangan kakitangan awam, terutama membabitkan kumpulan sokongan untuk tempoh Julai hingga September tahun ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata daripada 314 pegawai yang dikenakan tindakan atas kesalahan itu, seramai 294 terdiri daripada kumpulan sokongan berbanding 20 daripada kumpulan pengurusan dan profesional.

Sementara daripada seramai 159 pegawai yang dikenakan pelanggaran tatakelakuan, 143 terdiri daripada kumpulan sokongan dan selebihnya termasuk kumpulan pengurusan tertinggi dan kumpulan pengurusan dan profesional, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata seramai 46 anggota kumpulan sokongan didapati terlibat dengan kes mahkamah, 16 terlibat dengan Akta Dadah Berbahaya 1952, empat diambil tindakan kerana keterhutangan kewangan yang serius, dua kerana pekerjaan luar, satu kerana gangguan seksual, dan selebihnya kerana sebab-sebab lain."

Ismail berkata walaupun bilangan pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib, menurun sebanyak 21 peratus iaitu kurang sebanyak 119 orang daripada 685 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, jumlah anggota kumpulan sokongan tetap merupakan kumpulan tertinggi iaitu 91.3 peratus daripada 566 anggota perkhidmatan awam yang dikenakan tindakan tatatertib untuk suku ketiga tahun ini.

Ismail berkata jumlah itu tidak termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

"Jenis hukuman yang paling kerap dijatuhkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ialah beri amaran (iaitu dikeluarkan kepada 229 pegawai) dan buang kerja (seramai 178 pegawai)," katanya.

Hukuman lain ialah denda, melucutkan hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, menurunkan gaji dan menurunkan pangkat pegawai, katanya.

-- BERNAMA