26 July 2008

JPA wajar kaji semula perbezaan Bayaran Insentif Wilayah, Cola

Berita Harian

SURAT jawapan bertajuk 'Elaun Pegawai Awam Bertukar Wilayah Sama'
daripada Nik Noraini Nik Ya dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memang
wajar diulas kerana ia boleh menimbulkan keraguan dan salah faham.

Sebagai seorang kakitangan awam yang berasal dari Sarawak dan
kini sedang berkhidmat di Kuala Lumpur, saya berpendapat kenyataan itu
tidak relevan. Saya hairan bagaimana Bayaran Insentif Wilayah (BIW)
boleh disamakan dengan elaun sara diri (Cola).

Untuk pengetahuan umum, BIW dibayar kerajaan berdasarkan
peratusan daripada gaji pokok seseorang pegawai. Ini bermakna, semakin
tinggi tangga gaji seseorang pegawai, maka semakin tinggi jumlah BIW
yang diterima.

Persoalan yang timbul daripada saya ialah bagaimana nasib pegawai
awam yang memangku jawatan sokongan dan berasal dari Sabah dan Sarawak
yang berkhidmat di Semenanjung dan juga sebaliknya terutama mereka yang
berkhidmat di bandar besar?

Umum mengetahui bahawa rata-rata pegawai sokongan dari Gred
1-22 terutama gaji permulaan tidak sampai RM900. Berdasarkan perkiraan
ini, jumlah BIW yang dibayar kepada pegawai berkenaan hanyalah sekitar
RM206.

Bagaimana, JPA boleh menyamakan BIW sebanyak RM206 dengan pembayaran Cola berjumlah RM300?


BIW seharusnya bayaran insentif kerana kesanggupan pegawai itu
berkhidmat di luar wilayah asal dan bukan disamakan dengan Cola, apatah
lagi kalau kami dari Sabah dan Sarawak yang umum mengetahui pendapatan
seisi rumah yang jauh lebih kurang berbanding dengan di Semenanjung.

Dengan kenaikan kos sara hidup sekarang, kami pun tidak ingin
untuk ditempatkan di luar wilayah apatah lagi kami punyai keluarga di
kampung yang harus kami berikan tumpuan. Dengan kaedah pembayaran BIW
dan Cola yang dinyatakan JPA, saya berpendapat bekerja di luar wilayah
asal hanya semakin membebankan pegawai awam.

Saya ingin menyaran dan juga mendapatkan perhatian Cuepacs
dan kerajaan di dalam isu ini. Kepada Cuepacs saya menyarankan agar
nasib pekerja yang bekerja di luar wilayah seharusnya menjadi antara
agenda utama.

Saya juga menyarankan JPA menyelidiki isu ini yang saya
percaya semakin mendapat perhatian daripada mereka yang senasib dengan
saya.

IBANEZ MERANTAU,
Kuala Lumpur.

Pindaan Akta Pendidikan lahirkan guru berijazah

Utusan Online

KOTA KINABALU 25 Julai - Kesemua 27 Institut Pendidikan Guru (IPG)
di seluruh negara akan mengeluarkan guru berijazah selepas pindaan
terhadap Akta Pendidikan 1996 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat
pada 18 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pindaan
tersebut antara lain bertujuan menaik taraf dan memperkasa status IPG,
meningkatkan lagi imej profesion perguruan serta kualiti pendidikan di
negara ini.

Menurutnya, peningkatan keupayaan IPG itu juga sekali gus dapat
mengurangkan beban yang kini dipikul oleh universiti tempatan untuk
mengeluarkan guru berijazah.

"Ini adalah antara langkah kementerian dalam usaha kita mencapai
kadar 100 peratus guru berijazah di sekolah menengah dan 50 peratus di
sekolah rendah menjelang 2010.

"IPG selepas ini akan menjadi sebuah 'fakulti' terbesar dalam
mengeluarkan guru berijazah dan para pensyarahnya pula terbuka luas
untuk proses kenaikan pangkat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas Majlis Wacana Profesional Memartabat Profesion Perguruan di IPG Gaya di sini malam tadi.

Razali berkata, para pensyarah di IPG yang kebanyakannya pada
kedudukan pangkat DG44 akan berpeluang naik sehingga DG54 iaitu sama
taraf dengan jawatan seorang Profesor Madya dan Jusa C yang sama
kedudukan dengan seorang Profesor di universiti.

"Sekarang ini telah ada laluan ke arah itu dan kita yakin status
pensyarah di IPG akan turut mengalami perubahan melalui pindaan-pindaan
yang dilakukan terhadap beberapa Seksyen di bawah Akta Pendidikan
1996," ujarnya.

25 July 2008

Pensyarah Berkelulusan PHD Dilantik Terus Ke Gred 51

Bernama

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Semua pensyarah di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mempunyai kelayakan Doktor Falsafah (PhD) akan dilantik terus ke gred 51, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Jumaat.

Beliau berkata langkah itu adalah antara tiga keutamaan yang sedang dikenal pasti kementerian untuk membina budaya kecemerlangan di kalangan ahli akademik.

"Secara prinsipnya kerajaan bersetuju mengenai langkah itu kerana calon yang mempunyai PhD dianggap mempunyai kecemerlangan yang tinggi mutunya dan dapat meningkatkan serta memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran di IPTA," katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara di sini.

Mengikut skim perkhidmatan yang sedia ada pensyarah universiti sepatutnya dilantik ke gred 45 walaupun mempunyai PhD.

Khaled berkata calon-calon dalam bidang industri yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang tertentu juga akan dilantik terus ke gred 51 sekiranya berminat untuk berkhidmat sebagai pensyarah.

Menurutnya dua lagi langkah yang sedang dikenal pasti ialah menyediakan peluang latihan serta pembangunan profesion melalui penubuhan Akademi Pengajian Tinggi Negara dan menghargai pencapaian akademik melalui pengiktirafan dan anugerah.

-- BERNAMA

Government offers perks for doctors

The Star

ALOR STAR: The Health Ministry spends about RM400mil a year on human development programmes which include scholarships for doctors and nurses to further their studies.

Health Minister Datuk Liow Tiong Lai said this provided doctors and nurses an opportunity to improve themselves.

Centre of attention: Kedah Sultanah Tuanku Haminah Hamidun, accompanied by Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (partially hidden beside her), playing with baby Khairunisa Dayana during their visit to the Sultanah Bahiyah Hospital in Alor Star yesterday. With them is Liow (left).

“This is one of the benefits provided by the ministry for Malaysian doctors who are working in the country, and we hope this will attract Malaysian doctors working abroad to return home,” he said.

Liow said this when asked to comment on a statement by Deputy Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Mohd Johari Baharum that 236 medical graduates studying overseas under Public Service Department scholarships refused to return home to work.

Mohd Johari was quoted by a Malay newspaper yesterday as saying that the Government spent nearly RM1mil to provide overseas training for each doctor.

He said the Government had no other choice but to take legal action against graduates who refuse to return home.

Liow, met after the opening of the Sultanah Bahiyah Hospital by Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah here yesterday, said the ministry was working closely with the Human Resources Ministry to get medical graduates to return.

He said the two ministries had set up a one-stop centre that would have a database of Malaysians working abroad as doctors or studying medicine overseas.

“There is about 40% vacancy for doctors at hospitals in the country, and I hope medical graduates will return home to serve the people,” Liow said.

The RM552mil hospital, which was built to replace the Alor Star Hospital, began operations on July 23 last year.

Wards, ICUs remain shut due to shortage of nurses

The Star

KUALA LUMPUR: The shortage of nurses in Malaysia has caused several wards and intensive care units in newer hospitals to remain closed.

Revealing this on Friday, Health Minister Datuk Liow Tiong Lai said the situation existed in hospitals including those in Serdang, Sungai Buloh, Ampang and Sungai Petani.

"Many new hospitals are not able to open wards, intensive care units and operating theatres, which need a lot of basic nurses," he told reporters after opening the 2nd Universiti Malaya Medical Centre Nursing Congress 2008.

He said as of March this year, only 85.9% of the 42,476 staff nurse posts had been filled with 6,004 posts vacant.

"The need for specialised nurses is increasing in line with increasing specialisations of medical practice," he said.

There were 11 areas, which lacked nurses with post-basic training including intensive care, coronary care, neo-natal care, paediatric care and emergency and traumatology, he said.

Only between 30% and 40% of nurses working in the 11 areas have the necessary post-basic training.

In addition to this, there are also new specialist nursing areas including HIV counselling, genetic counselling and neuro-radiology intervention.

Liow added 27 nurses from India would arrive next month following the Cabinet's approval last year to recruit 1,300 foreign nurses from Asean and Commonwealth countries over a period of three years.

There are currently 73,613 nurses of all categories and grades in Malaysia where 78% worked with the ministry and the rest were in the private and non-ministry sectors.

Training is being done at 17 nursing colleges under the ministry producing about 3,500 diploma nurses yearly while private colleges have also been roped in to help for the exercise.

He also said the highest number of complaints at hospitals were against nurses and doctors where training was carried out to ensure they had better communication skills and were competent in patient safety.

When asked about investigations being carried out against the doctor who conducted the botch cosmetic surgery on former Labuan MP Datuk Suhaili Abdul Rahman's wife Datin Fatimah Wan Chik who is now in a coma, Liow said he was waiting for the report to be presented to him.

Later during his keynote address for the conference, the ministry's director-general Tan Sri Dr Ismail Merican said it was important for healthcare providers to realise that treatment revolved around the patient and not them.

"When I get complaints and investigations are finished, the conclusion is we had done everything possible and it is always the patient's fault. It can't be like that all the time. Some of it must be the faults in our system or because of miscommunication," he said.

He added doctors and nurses needed to have the right attitude when meeting patients including smiling where it would help them feel more comfortable.

"I hear many stories about doctors and nurses from friends and family or even at the supermarkets from people about their relationship with healthcare providers. And (cases) do occur where staff like nurses are rude or uncaring. This minority should be wiped out so they do not tarnish the others," he said.

24 July 2008

Gelaran 'Diraja' angkat maruah, martabat polis

Berita Harian

HARI ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat satu lagi sejarah, apabila menyambut jubli emas penganugerahan gelaran 'Diraja' kepada pasukan itu.

Sesungguhnya pengurniaan gelaran itu oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad kepada pasukan itu pada 24 Julai 1958 amat besar maknanya, sekali gus mengangkat maruah dan martabat PDRM.

Pada majlis penganugerahan bersejarah itu, Almarhum baginda mengisytiharkan nama Pasukan Polis Persekutuan ketika itu ditukar kepada Polis Diraja Persekutuan atau 'The Royal Federation of Malayan Police'.

Majlis itu diadakan pada perbarisan khas terdiri daripada 700 pegawai dan anggota di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney (kini Jalan Semarak) di ibu negara. Serentak penganugerahan itu, bendera baru Polis Diraja Persekutuan Tanah Melayu dikibar. Selepas terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963, nama itu ditukar kepada PDRM dan kekal sehingga kini.

Gelaran Diraja diberikan sebagai menghargai taat setia, kegigihan, perjuangan dan pengorbanan pegawai dan anggota polis, terutama dalam menghadapi pemberontakan bersenjata anggota komunis sepanjang 10 tahun negara berhadapan Darurat pada 1948 hingga 1960. Ia juga tanda pengiktirafan dan penghormatan tinggi kerana pada ketika itu hanya tiga pasukan polis dalam Komanwel menerima gelaran Diraja.

Sebagai pasukan keselamatan terbesar pada ketika itu dengan kekuatan 161,281 anggota iaitu 31,164 anggota tetap, 44,117 Polis Khas (SC) dan 86,000 Polis Tambahan (AP), pasukan polis diberi peranan utama menentang percubaan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menegakkan sebuah negara komunis di Tanah Melayu dengan kekerasan senjata. Perjuangan kental pasukan itu berjaya menghapuskan 5,972 pengganas.

Bagaimanapun, dalam perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, sebanyak 1,346 anggota pasukan itu turut gugur, manakala 1,601 lagi cedera.

Sejak tarikh keramat penganugerahan gelaran itu, peranan pasukan polis terus cemerlang, termasuk pada awal kemerdekaan, ketika peristiwa 13 Mei 1969, peletakan senjata PKM hinggalah ke era Malaysia moden.

PDRM yang kini berusia 201 tahun, terus tegas dan berwibawa dalam melaksanakan peranan dan fungsinya seperti digariskan Seksyen 3(3) Akta Polis dalam memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan negara, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah serta mengumpul risikan keselamatan.

Semangat keperwiraan pegawai dan anggota polis tetap kental dan bersemangat di bawah naungan gelaran Diraja. Semangat itu tersemat di setiap sanubari warga PDRM melalui pemakaian lencana baru 'Integriti Amalan Kita' dan slogan baru 'Tegas, Adil dan Berhemah', yang meletakkan pasukan itu setanding pasukan polis lain di dunia.

Pinjaman mudah sesuai untuk kakitangan hampir bersara

Berita Harian

Pekerja lama punyai pendapatan lebih stabil untuk bayar balik pembiayaan: Cuepacs

KUALA LUMPUR: Cuepacs yang menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberikan pinjaman mudah sebanyak RM50,000 kepada kakitangan awam yang ingin memulakan perniagaan, bagaimanapun mahu kesempatan itu diambil kakitangan kerajaan yang ingin bersara dan bukan mereka yang baru bekerja.

Presidennya, Omar Osman, berkata, pihaknya hanya menggalakkan kakitangan kerajaan yang ingin bersara saja memohon pinjaman tanpa penjamin atau cagaran daripada kerajaan itu bagi memastikan kakitangan kerajaan yang baru bekerja tidak akan dibebani oleh hutang akibat membuat pinjaman itu.

"Cuepacs risau kakitangan kerajaan akan dibebani hutang. Sebagai contoh pendapatan bersih kakitangan kerajaan paling rendah ialah RM750, jadi bayangkan berapa gaji yang tinggal jika dipotong lagi.

"Sebab itu Cuepacs hanya menggalakkan kakitangan yang akan bersara dalam tempoh 10 tahun lagi memohon pinjaman ini kerana mereka lebih stabil, selain ia persediaan selepas bersara," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata kakitangan awam yang layak digalakkan memohon pinjaman mudah itu menerusi Tekun Nasional, Mara, Bank Rakyat, Bank SME atau Perbadanan Nasional Bhd (PNS) untuk berniaga dan menambah pendapatan.

Langkah itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Jun lalu bahawa kerajaan akan menambah permit peniaga kecil dan penjaja bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah, termasuk kakitangan awam untuk menggalakkan mereka bekerja sambilan untuk menghadapi kenaikan harga.

Omar berkata, pihaknya dimaklumkan ramai kakitangan awam yang berminat terhadap tawaran pinjaman mudah itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci mekanisme pinjaman itu bagi mengelakkan kekeliruan, selain mengelakkan kakitangan awam dibebani oleh hutang pada masa depan.

"Cuepacs juga mencadangkan agar kakitangan awam yang ingin berniaga menjalani temu duga terlebih dulu bagi mengetahui jenis perniagaan yang ingin dijalankan dan bagi memastikan produktiviti pekerja tidak terjejas," katanya.

Naikkan pangkat jururawat senior ikut tempoh perkhidmatan

Utusan Online

SAYA mengucapkan terima kasih kepada JPA dan Kementerian Kesihatan kerana melaksanakan Skim Jururawat Bersepadu berkuat kuasa awal tahun 2005. Ingin saya mengemukakan pandangan demi profesion kejururawatan dan juga demi keadilan pelaksanaan skim tersebut.

Tidak ramai di kalangan jururawat mempunyai ijazah pertama dengan kepujian untuk membolehkan mereka memohon ke Gred U41 skim tersebut.

Ini kerana dalam tahun 70-an dan 80-an, tidak banyak universiti tempatan yang menawarkan pengajian di tahap ijazah pertama dalam bidang kejururawatan.

Dengan skim tersebut, maka segelintir daripada kalangan kami yang mempunyai ijazah boleh memohon untuk mengisi jawatan bagi permulaan Gred U41 dalam kategori kumpulan pengurusan dan profesional.

Walaupun skim tersebut telah dilaksanakan, saya berpendapat jawatan ketua jururawat dan penyelia jururawat sepatutnya berada pada Gred U44 dan U48 untuk melaksanakan tugasan khusus pengurusan wad, pejabat kesihatan, klinik kesihatan, institusi dan lain-lain lagi.

Sementara itu bagi jururawat Gred U41 mereka adalah sama seperti jururawat Gred U29 yang kekal menjalankan tugas klinikal penjagaan pesakit mengikut konsep Total Nursing Care.

Saya percaya, hala tuju JPA dan kementerian adalah ke arah itu dalam masa yang terdekat ini.

Bagaimanapun, saya berharap bagi mereka yang senior dan akan menamatkan perkhidmatan dalam masa 10-15 tahun lagi dan yang tidak mempunyai ijazah pertama, kenaikan pangkat mereka disemak kembali mengikut kaedah time-based dan diubah kepada 'kenaikan gred' untuk membolehkan mereka dinaikkan gred ke Gred U32 dan seterusnya ke Gred U36 dengan tujuan mereka kekal menjalankan tugas klinikal bersama-sama mereka di Gred U41 latihan baru (ataupun seperti skim perguruan dan skim teknikal yang lain melalui time-based promotion).

JPA dan kementerian sepatutnya merencana serta meneliti semua ini sebelum pelaksanaan skim kejururawatan bersepadu kerana dalam skim sekarang, ketidakpuasan hati tetap berlaku.

Saya berharap kementerian turut memberi perhatian kepada kami sementara memberi penekanan kepada pakar dan pegawai perubatan.

SHARIFAH HAZIAH

Setiawan, Perak

23 July 2008

Bekas perajurit Perak minta semak semula kadar pencen

Berita Harian

IPOH: Persatuan Bekas Perajurit Perak meminta Kementerian Pertahanan menyemak semula kadar pencen veteran perang terutama yang cacat anggota berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang.

Ketua Biro Veteran Perang Kurang Upaya persatuan itu, Abdul Rahim Abdul Karim, berkata kebanyakan veteran perang kurang upaya menerima pencen kurang daripada RM500, walaupun selepas kenaikan gaji, Julai tahun lalu.

Katanya, dengan kenaikan harga bahan api dan barang makanan sejak dua bulan lalu, kebanyakan veteran perang kurang upaya kesempitan hidup.

"Sebelum harga minyak naik, RM500 ini cukup makan saja tetapi sekarang kami seperti juga seperti golongan miskin tegar.

"Penderitaan veteran perang kurang upaya bertambah perit jika kami terpaksa menukar kaki palsu kerana kosnya tidak kurang daripada RM2,000, itu pun yang paling murah dan mudah rosak.

"Keperitan kami belum diambil kira tekanan mental kerana menunggu tuntutan kaki palsu diluluskan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang memakan masa berbulan-bulan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian dalam dialog antara Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan dengan kira-kira 200 bekas tentera di Perak.

Abdul Rahim berkata, ada kira-kira 45 veteran perang kurang upaya seluruh Perak.

Beliau sendiri cacat kaki kanan kerana terpijak jerangkap samar selepas diserang hendap komunis di Kelian Intan, Hulu Perak pada Julai 1981.

Setiausaha Biro Veteran Perang Kurang Upaya Perak, Suparman Taib, 53, berkata JHEV juga patut menghargai jasa veteran perang terutama yang berpangkat rendah untuk mendapat tanah kediaman.

Katanya, JHEV seolah-olah 'lepas tangan' dalam isu itu.

"Apa salahnya pihak berkuasa menghargai sedikit jasa kami berkorban untuk keselamatan negara sedangkan ketika sihat, tenaga kami digunakan sepenuhnya," katanya yang putus kaki kiri kerana bertempur dengan komunis.

Sementara itu, Zulkiflee dalam ucapannya berkata, Kementerian Pertahanan membelanja RM1 bilion untuk membayar pencen kepada 86,000 pesara tentera setiap tahun.

Selain itu, katanya, RM23 juta lagi dikhaskan untuk bantuan perubatan bekas tentera dan RM15 juta untuk kebajikan termasuk membayar kos persekolahan anak dan bantuan sara hidup pesara tentera.

JPN kurang lawat kawasan Penan

Berita Harian Online

MIRI: Isu MyKad membabitkan ribuan suku kaum Penan di Sarawak tidak akan berakhir, jika kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak lebih kerap turun padang.

Walaupun JPN ada mengadakan lawatan untuk mendaftarkan suku kaum Penan yang tidak memiliki MyKad dan sijil kelahiran, namun usaha itu belum mencukupi.

Jurucakap Sahabat Alam Malaysia (SAM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak memperjuangkan masalah Penan di negeri ini berkata, pada masa ini lawatan kakitangan JPN ke kawasan Penan agak jarang sekali.

"Jika inilah keadaannya sampai bila pun JPN tidak akan dapat menyelesaikan isu MyKad di kalangan masyarakat Penan di Sarawak, terutama di Baram dan Limbang," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Sebahagian besar suku kaum Penan di Sarawak menetap di pedalaman Hulu Baram dan Limbang di utara Sarawak.

Kebanyakan mereka juga tidak lagi mengamalkan corak kehidupan nomad, cuma segelintir kecil yang tinggal di Tutoh Magoh dan berhampiran Taman Negara Mulu masih mengamalkan cara kehidupan ini dengan berburu dan mencari sumber hutan untuk keperluan hidup.

Jurucakap SAM itu berkata, JPN wajar memperbanyakkan operasi mendaftarkan MyKad untuk suku kaum ini supaya masalah itu dapat dikurangkan.

"Suku kaum Penan memerlukan MyKad untuk mencari pekerjaan seperti dengan syarikat pembalakan dan perladangan.

"Kita akui banyak masalah dalam berurusan dengan suku kaum Penan, namun ia bukan alasan kerana banyak cara boleh difikirkan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

22 July 2008

Kos pengajian guru ikuti PGRS ditanggung kerajaan

Berita Harian

KUALA TERENGGANU: Kos pengajian 15,000 guru yang bakal mengikuti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGRS) akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan manakala guru yang terbabit akan menerima gaji penuh.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata program bagi Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan Rendah itu akan dilaksanakan di institusi pendidikan guru dengan menggunakan model Kursus Dalam Cuti dari tahun ini hingga 2012.

Katanya program ini akan diadakan semasa musim cuti persekolahan dengan unjuran pengambilan 3,000 orang guru setiap tahun dan pengambilan pertama dijangka dilakukan pada 17 November ini.

“Saya harap guru terbabit mengambil peluang memperbaiki diri mereka, sesuai dengan tuntutan semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia ke-14 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia.

Konsvensyen selama empat hari bermula Ahad lalu itu disertai lebih 7,000 guru besar dari sekolah rendah di seluruh negara.

Hishammuddin berkata program baru itu dapat mempercepatkan sasaran kerajaan untuk mewujudkan 50 peratus guru sekolah rendah terdiri daripada siswazah menjelang 2010.

Mengenai satu perkara lain, beliau memberi amaran kepada kontraktor dan perunding yang terbabit dalam projek kementerian itu supaya tidak menggunakan alasan kenaikan harga minyak dan barangan di pasaran untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Mereka sedikit sebanyak mesti ada tanggungjawab sosial. Jika sekolah, tidak siap anak-anak kita tidak dapat bersekolah,” katanya. — Bernama

Cuepacs tuntut honorarium lagi

Berita Harian


KUALA LUMPUR: Selepas tuntutan honorarium tahun lalu gagal, Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi akan berbuat demikian, tahun ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini bagi membincangkan jumlah yang ingin diminta daripada kerajaan.

“Tahun lalu, kita tak dapat bonus, kita sudah berkorban sebab kerajaan sudah naikkan gaji. Tahun ini saya harap kerajaan pertimbangkan cadangan ini (memberikan honorarium atau bonus) atau setidak-tidaknya memberi bonus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Tahun lalu, Cuepacs menuntut kerajaan memberikan honorarium sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan bagi menggantikan pemberian bonus yang tidak diberikan. Namun, tuntutan itu ditolak berikutan gaji kakitangan sudah dinaikkan antara 7.5 dan 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai 2007.

Omar berkata, Cuepacs juga berharap kerajaan menyenaraikan tiga lagi permintaan mereka dalam Bajet 2009 yang akan dibentangkan Ogos ini.

“Tiga permintaan itu adalah menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan daripada RM180 sebulan ke RM230, melantik kira-kira 45,000 kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun ke dalam jawatan tetap dan menyelaraskan elaun kos sara hidup (Cola) kakitangan awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara.

“Saya yakin kerajaan akan menyenaraikan tiga permintaan ini kerana sebelum ini saya ada buat perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau berjanji akan membentangkan permintaan Cuepacs dalam Bajet 2009,” katanya.

Mengulas mengenai permintaan Cuepacs supaya kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun ke dalam jawatan tetap, Omar berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Julai ini.

Sektor awam patuhi standard pengurusan rekod melalui ISO

Utusan Online

KUALA LUMPUR 21 Julai - Arkib Negara sedang bekerjasama dengan Sirim Bhd. bagi mengiktiraf agensi dan jabatan kerajaan yang mematuhi standard pengurusan rekod melalui pensijilan Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO).

Ketua Cawangan Pembangunan Standard dan Inspektorat Arkib Negara, Azimah Mohd. Ali berkata, pensijilan ISO 15489 itu akan menjadi panduan kepada pihak terbabit untuk memastikan aspek pengurusan rekod tidak diabaikan.

Katanya, pensijilan tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

"Kita perlu berbuat demikian kerana masih banyak agensi kerajaan didapati mempunyai kefahaman yang rendah mengenai pentingnya pengurusan rekod dalam arkib yang efisien," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Projek Strategi Pemeliharaan Arkib dan Rekod Kerajaan (e-Spark)' pada Seminar Pra-Kongres Mengenai Urus Tadbir Rekod Yang Baik di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui kajian e-Spark yang dilakukan selama tiga tahun bermula 2005 itu, banyak agensi kerajaan dikesan tidak mengambil berat mengenai pemeliharaan rekod yang baik terutama yang mempunyai nilai-nilai warisan.

Menurutnya, meskipun setiap agensi memiliki sistem pangkalan data tetapi hakikatnya ia hanya dibina untuk kegunaan harian bukan untuk menyimpan maklumat.

"Ini kerana sistem di setiap agensi atau jabatan itu tiada ciri-ciri untuk menyimpan atau merekod maklumat terdahulu, jadi ini perlu diatasi," katanya.

Beliau berkata, melalui kajian itu juga, Arkib Negara telah membeli dua sistem pengurusan rekod iaitu Sistem Pengurusan Rekod Elektronik (ERMS) dan Sistem Pengurusan Arkib (AMS).

Katanya, melalui kedua-dua sistem itu, pengurusan maklumat berkaitan arkib akan menjadi lebih efisien dan terkini terutama ERMS yang sesuai digunakan oleh agensi dan jabatan kerajaan manakala AMS pula hanya digunakan oleh Arkib Negara.

Azam KP baru Imigresen

Utusan Online

PUTRAJAYA 21 Julai - Pelan integriti Jabatan Imigresen akan dikaji semula bagi memastikan tahap kecekapan, ketelusan dan keberkesanan sistem penyampaian agensi itu diperkukuhkan, kata Ketua Pengarah Imigresen yang baru, Datuk Mahmood Adam.

Menurutnya, penglibatan pelbagai agensi kerajaan lain amat diperlukan bagi memulihkan kembali imej Imigresen yang tercalar akibat tuduhan rasuah.

''Kita akan cari satu pelan integriti baru untuk membaiki kelemahan yang ada dan laksanakan satu penambahbaikan yang berterusan."

"Imigresen mengamalkan prinsip terbuka dan akan melibatkan agensi-agensi yang berkaitan yang boleh membantu kita contohnya Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR)," katanya kepada pemberita selepas melaporkan diri di jabatan itu di sini hari ini.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan itu dilantik menerajui Jabatan Imigresen berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Wahid Don yang ditahan oleh BPR berhubung kes rasuah pada minggu lepas.

Wahid yang kemudian dibebaskan dengan jaminan telah ditukarkan ke Jawatan Kumpulan, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 14 Julai lalu.

Mahmood yang terharu dengan pelantikannya mengetuai Imigresen bertekad mahu membanteras rasuah di kalangan pegawai dalam jabatan itu sepanjang perkhidmatan beliau.

Justeru, beliau akan memberi penekanan melalui penggunaan aplikasi dalam talian (online) secara menyeluruh untuk semua jenis pembayaran bagi mengelakkan berlaku ketirisan atau kebocoran di peringkat sistem penyampaian.

''Saya rasa sistem online lebih berkesan ke atas semua urusan terutama dari segi pembayaran kerana ia lebih terjamin dan tidak akan berlaku penipuan dan sebagainya.

''Imigresen merupakan satu jabatan yang membabitkan dokumen dan keselamatan negara, jadi kita perlu berhati-hati kerana ia melibatkan soal kerakyatan, malah seseorang yang melakukan kesalahan boleh didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.

Mahmood, 55, pernah berkhidmat dengan Jabatan Imigresen pada awal pembabitan beliau dalam sektor perkhidmatan awam pada 1976 hingga 1980 sebagai Pengarah Imigresen Negeri Sembilan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) yang baru dilantik, Abdul Rahman Othman berharap kelulusan membabitkan pekerja asing akan dilaksanakan secara adil dan berhemah.

''Kelulusan pekerja asing merupakan satu perkara yang ada kaitan dengan perkhidmatan kepada orang ramai. Jadi ia perlu dibuat secara berhati-hati bagi memenuhi kehendak dan keperluan mereka," kata bekas Pengarah Bahagian Pekerja Asing itu.

Beliau menggantikan Yusof Abu Bakar yang turut ditahan atas tuduhan rasuah.