20 July 2009

Guru Tabika Kemas Taraf Diploma

LENGGONG, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) sedang melatih semua guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) supaya mempunyai kelayakan diploma sebelum 2012, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata program berkenaan menjadi keutamaan kementerian buat masa ini sebelum tumpuan diberikan terhadap usaha memastikan semua kelas tabika dikendalikan di bangunan sendiri.

Katanya usaha melatih guru berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pusat Program Kecemerlangan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (Permata).

"Kini hampir 99 peratus daripada 8,300 guru tabika Kemas berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan kita berharap masing-masing mempunyai diploma dalam bidang berkaitan bagi tempoh tiga tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis meletakkan batu asas pembinaan Kompleks Komuniti Bestari (KKB) Parlimen Lenggong di sini Ahad.

Mohd Shafie berkata penambahbaikan kualiti pendidikan guru Kemas itu diberi keutamaan kerana kerajaan tidak mahu sekiranya semua prasarana tabika Kemas dinaiktaraf namun pada masa sama kualiti tenaga pengajarnya masih di takuk lama.

"Kita akan beri tumpuan kepada pengisian tabika terbabit sebelum usaha-usaha berkaitan pembangunan fizikal premis dan sebagainya dilaksanakan," katanya ketika ditanya mengenai masalah tabika Kemas yang menumpang dan menyewa bangunan.

Kemas ketika ini mempunyai lebih 8,000 premis tabika di seluruh negara melibatkan hampir 100,000 kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata pelbagai cadangan berhubung pindaan perlembagaan parti yang dikumpulkan menerusi semua Umno bahagian yang memulakan mesyuarat di seluruh negara akan menjadi panduan kepada pucuk pimpinan.

Katanya pimpinan parti mahu mendapat pandangan akar umbi berhubung pindaan perlembagaan dan suara berkenaan adalah penting supaya dapat dinilai sama ada pandangan pimpinan dan akar umbi adalah selari.

Pandangan dan komen mengenai pindaan perlembagaan yang merangkumi cadangan pemansuhan sistem kuota pencalonan bagi pemilihan Umno akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno sebelum dibawa ke perhimpunan agung khas pada 13 Okt ini untuk diluluskan.

-- BERNAMA

APMM Akan Ambil 2,000 Anggota Pelbagai Pangkat

LANGKAWI, 19 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengambil seramai 2,000 anggota pelbagai pangkat pada tahun ini bagi mengisi jawatan yang masih kosong dalam usaha melengkap kekuatan pasukan itu.

Ketua Pengarahnya Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish berkata APMM sebagai agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab menjaga perairan negara sentiasa berdepan dengan cabaran serta ancaman luar jangkaan, justeru penambahan anggota perlu dilakukan.

Katanya pengambilan dibuat secara berperingkat-peringkat dan mereka yang terpilih akan mengikuti latihan di pusat latihan di Kuantan, Pahang sebelum ditempatkan di semua wilayah dan unit APMM.

Enam hingga 10 peratus wanita akan diambil bagi mengisi jawatan kosong itu, katanya pada kejohanan dan ujian kemahiran menembak senjata api APMM di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi (Lisram) di sini Ahad.

Hampir 200 anggota APMM pelbagai pangkat daripada enam pasukan dari seluruh negara menyertai kejohanan itu.

Katanya APMM kini mempunyai 3,000 anggota di seluruh negara dengan 300 daripadanya adalah wanita yang ditugaskan di pelbagai unit termasuk di kapal-kapal.

Mohd Amdan berkata APMM juga akan menubuhkan unit penyelam bagi menjalankan tugas-tugas operasi serta mencari dan menyelamat (SAR).

"Bilangan anggota unit itu belum dipastikan, bagaimanapun semua pejabat wilayah telah mempunyai anggota penyelam ini bagi memudahkan ibu pejabat APMM untuk menubuhkan unit itu dalam membantu kerja-kerja operasi dan SAR," katanya.

Beliau turut menyarankan agar individu-individu yang bersara awal daripada jabatan atau agensi kerajaan memohon untuk bertugas dengan APMM tanpa mengikuti latihan kerana pusat latihan yang sedia ada terhad.

"Anggota APMM perlu bersiap sedia dengan pelbagai kelebihan dan kebolehan dari segi rohani dan jasmani termasuk kecekapan menembak sebagai latihan bagi meningkatkan kemahiran menembak," katanya.

-- BERNAMA

BPA Terima Aduan Kelewatan Agensi Perkhidmatan Awam

KOTA BELUD, 19 Julai (Bernama) -- Kelewatan atau tiada tindakan segera untuk menyelesaikan masalah berkaitan perkhidmatan awam merupakan aduan tertinggi yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah (Aduan) biro, Aziz Ismail berkata aduan tersebut merupakan 31.5 peratus daripada keseluruhan 6,337 aduan yang diterima.

Ia diikuti dengan aduan berhubung kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan termasuk perkhidmatan kaunter dan layanan telefon sebanyak 18.4 peratus, tindakan tidak adil (16.5 peratus) dan kegagalan penguatkuasaan (10 peratus), katanya.

"Perkara ini turut memberi persepsi buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara," katanya kepada pemberita semasa Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu anjuran BPA dengan Pejabat Daerah Kota Belud, di sini Ahad.

Program itu disertai oleh 21 agensi perkhidmatan awam di bawah naungan kerajaan negeri dan persekutuan.

Aziz berkata daripada 6,337 aduan yang diterima itu, 4,281 kes atau 67.6 peratus berjaya diselesaikan.

-- BERNAMA