JKR mesti baiki sistem kerja bukan beri alasan
Berita Harian
SEHARI selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta agensi berkaitan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) berhenti tuduh menuduh berhubung kelemahan penyelenggaraan bangunan kerajaan, kafeteria kompleks baru Mahkamah Kuala Lumpur digenangi air kerana kebocoran paip semalam. Sebelum ini kompleks baru berharga RM270 juta yang masih di bawah pengendalian kontraktor itu mengalami keruntuhan siling dan sedikit keretakan dinding. Bagaimanapun teguran Perdana Menteri kepada JKR itu bukan kerana kes semalam, tetapi berdasarkan kerosakan beberapa bangunan kerajaan sebelum ini, termasuk terbaru membabitkan bangunan Parlimen. Kita berharap Kementerian Kerjaraya dan JKR perlu melihat arahan Perdana Menteri itu dengan dada terbuka dengan tindakan susulan jangka pendek dan panjang yang wajib mereka lakukan. Tuduh menuduh dan meletakkan kesalahan pada pihak lain tidak dapat menyelesaikan masalah kelemahan penyelenggaraan bangunan kerajaan. Kita bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa JKR, yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap aspek penyelenggaraan bangunan kerajaan perlu memikul tugas berkenaan dengan baik agar premis kerajaan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat diduduki. Agensi itu tidak seharusnya menyalahkan kontraktor atau sub-kontraktor semata-mata apabila berlaku sesuatu kerosakan. Jurutera dan pegawai teknikal JKR juga bertanggungjawab membuat pemantauan dan pemeriksaan ketika dan selepas pembinaan sesuatu projek.
Beberapa kejadian kebocoran dan kerosakan bangunan kerajaan jelas menunjukkan kelemahan JKR sama ada dari aspek perancangan atau penyelenggaraan. Malah, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut mempersoalkan kegagalan JKR memasukkan kerja membina bumbung kalis air ketika mengubah suai bangunan Parlimen sebanyak RM90 juta sebelum ini. Apa yang menghairankan, selepas kerja pengubahsuaian selesai dilakukan pada 2005, tugas penyelenggaraan tidak dilakukan dengan baik oleh pihak teknikal yang dilantik sehingga timbul masalah kebocoran pada bumbung. Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu boleh tampil dengan pelbagai kenyataan atau alasan tetapi hakikatnya, mesti ada sesuatu yang tidak kena dalam perancangan dan pemantauan JKR. Jabatan itu seharusnya bertindak proaktif dengan meluaskan skop siasatan ke atas premis kerajaan agar mencakupi aspek reka bentuk, struktur, binaan dan penyelenggaraan serta secara telus mengisytiharkan jika ada bangunan kerajaan yang tidak selamat diduduki dan dikunjungi.
Kerajaan sudah merangka Pelan Induk Industri Pembinaan (CIMP) 2006-2015, menerusi Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB) bagi meningkatkan mutu sektor pembinaan negara. Dengan perkembangan terbaru ini, peranan CIDB dalam mengakreditasikan kontraktor utama mungkin boleh diperluaskan untuk memastikan semua sub-kontraktor turut diakreditasi dari segi kemahiran dan mutu kerja. CIDB juga perlu dilengkapi kuasa undang-undang untuk memastikan hanya pekerja mahir dan separuh mahir yang ditauliahkan oleh CIDB dibenarkan menjalankan kerja kontrak. Kuasa undang-undang itu akan membolehkan CIDB menjalankan pemeriksaan terhadap kerja binaan dan memastikan mana-mana kontraktor yang menggunakan khidmat sub-kontraktor dan khidmat pekerja yang tidak ditauliahkan, didakwa di mahkamah. Pengawasan di tapak binaan amat penting bagi mengelakkan ketirisan dan kontraktor bersikap sambil lewa dan menggunakan bahan tidak mengikut spesifikasi yang boleh menyebabkan kecacatan pada struktur bangunan.

No comments:
Post a Comment