Utusan Online
SAYA adalah ratusan ribu siswazah berasa terpanggil untuk menyuarakan pendapat dan buah fikiran sekadar untuk dikongsi bersama dengan pembaca sekalian.
Umum mengetahui bahawa fenomena pengangguran masih membelenggu negara namun masih ada sesetengah pihak menidakkan usaha pihak kerajaan yang selama ini berusaha sedaya upaya untuk membasmi gejala tersebut.
Pelbagai program dan kerjasama antara pihak kerajaan, NGO dan pihak swasta yang terlibat menawarkan pekerjaan kepada siswazah untuk mengisi kekosongan jawatan tenaga mahir bagi kumpulan pengurusan dan profesional dalam negara kita. Begitu juga dalam sistem pendidikan negara.
Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah berusaha memartabatkan profesion perguruan dengan memberikan pelbagai insentif termasuk kenaikan gaji kepada warga guru yang menurut saya adalah bertepatan dengan bebanan tugas yang digalas ditambah pula dengan tugas mendidik anak bangsa.
Program seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Kursus Diploma Perguruan dan Kursus Sijil Perguruan masih lagi diperlukan dan pada pendapat saya wajar diteruskan.
Lepasan pendidikan keluaran IPTA/UPSI tidak perlu khuatir atau 'iri hati' kepada bakal guru lepasan KPLI kerana kita tidak wajar menidakkan rezeki insan lain.
Malah mereka sepatutnya bersyukur kerana ditawarkan dengan mod kursus pendidikan berbanding siswazah lain. Hendak berkira empat tahun belajar tidak wajar dijadikan alasan.
Sebagai contoh, lepasan KPLI juga terpaksa menyambung kursus selama satu atau satu tahun setengah lagi sebelum mereka menjadi guru.
Bertungkus-lumusMereka ini telah bertungkus-lumus mendapatkan ijazah setelah tiga hingga empat tahun belajar di universiti dan berbekalkan semangat membara meminati profesion perguruan, mereka sanggup pergi menimba ilmu lagi dengan berkursus (KPLI) serta menambah masa pengajian mereka.
Bukankah pengajian lulusan pendidikan yang ditawarkan di universiti juga selama empat tahun?
Tambahan pula, timbul dua situasi bahawa tidak semua siswazah pendidikan benar-benar ingin mengajar walaupun opsyen mereka dalam pendidikan dan dalam situasi lain terdapat juga siswazah daripada bukan pendidikan tetapi amat meminati profesion perguruan.
Jika diperhatikan jumlah permohonan KPLI setiap tahun meningkat malah ada yang melebihi daripada 100,000 orang memohon sedangkan pengambilannya terhad.
Ini menjelaskan bahawa ramai yang berminat menceburi bidang perguruan dan cabaran lain kerana pengangguran.
Dua situasi berbeza yang saya nyatakan tetapi merujuk kepada satu matlamat yang sama iaitu untuk menjadi guru atau pendidik yang akan meneruskan agenda mendidik anak bangsa sehingga menjadi insan berguna.
Salahkah siswazah ini diberi peluang? Memang benar berbanding dengan lulusan pendidikan, siswazah ini kurang dari segi ilmu mengajar.
Lantaran itu, pihak kementerian menawarkan KPLI di Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk memperlengkap pengetahuan dan menyiapkan diri siswazah tersebut sebelum menjadi guru.
Bukti lain adalah Skim Pensiswazahan Guru yang dilaksanakan kementerian jelas menunjukkan kerajaan membantu rakyat terutama kepada golongan pendidik sedia ada untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.
Jika ini dilaksanakan dianggarkan peratusan siswazah menganggur dalam negara dapat dikurangkan bilangannya.
Di samping untuk mengatasi pengangguran, ia juga dapat memanfaatkan siswazah yang benar-benar berminat serta telah mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran atau guru ganti untuk menceburi profession perguruan.
Sejajar dengan perancangan Kementerian Pelajaran telah merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010) bertujuan menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua golongan rakyat.
Enam teras strategik telah dikenal pasti dan antaranya adalah membangunkan modal insan dan memartabatkan profesion perguruan. Ini penting kerana tanpa warga guru hasrat ini tidak mungkin dapat direalisasikan.
Justeru, janganlah kerana mementingkan diri, kita sanggup mempertikaikan soal siapa layak atau tidak tetapi sebaliknya kita harus berusaha memikirkan alternatif serta bagaimana menyelesaikan lambakan siswazah menganggur baik lulusan pendidikan mahupun lulusan kursus-kursus lain.
PENCINTA GURU
Segambut, KL