Utara: Isu elaun guru Kafa selesai
Berita Harian
Oleh Azmi Md Deros
Jaik masukkan bayaran dalam buku akaun sejak kelmarin bolehkan mereka buat persiapan raya
ALOR STAR: Masalah kelewatan pembayaran elaun kira-kira 3,500 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di negeri itu yang tertunggak sejak Ogos lalu, selesai apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyalurkan peruntukan, baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kelewatan itu berpunca masalah komunikasi antara Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dan Jakim.
"Kerajaan negeri sudah menghubungi Jakim dan masalah kelewatan pembayaran elaun itu sudah diselesaikan apabila Jakim membuat bayaran sebanyak kira-kira RM4 juta kepada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, kelmarin.
Beliau diminta mengulas rungutan kira-kira 3,500 guru Kafa yang lewat menerima elaun mereka sebanyak RM500 sebulan sejak Ogos lalu.
Guru terbabit mendakwa mereka kerap menerima elaun lewat antara dua atau tiga minggu setiap bulan, tetapi kali ini adalah paling lambat kerana lebih dua bulan, sekali gus menyukarkan mereka membuat persiapan Aidilfitri.
Sementara itu, jurucakap Jaik ketika dihubungi berkata, guru Kafa terbabit boleh mengambil elaun mereka yang disalurkan melalui akaun masing-masing mulai semalam dan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan untuk mengambil alih bangunan Marina Habour di Kuala Kedah yang terbiar sejak beberapa tahun lalu untuk diserahkan kepada sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi diuruskan.
"Ia akan dimasukkan ke dalam komponen pembangunan bandar `water front' yang akan dilaksanakan berhampiran bangunan marina itu.
"Projek fasa pertamanya membabitkan keluasan 14.4 hektar berharga RM60 juta yang terdiri daripada ruang niaga dan siar kaki dijangka siap dua tahun lagi dan bakal menjadi mercu tanda dan destinasi pelancong terbaru di negeri ini," katanya.