23 February 2010

Kemampuan Perkhidmatan Awam Lebih Penting Daripada Soal Jantina: Najib

SIBU, 23 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemampuan perkhidmatan awam untuk melaksanakan dan memenuhi jangkaan kerajaan dan rakyat lebih penting daripada kebimbangan sesetengah pihak mengenai penguasaan penjawat wanita yang semakin meningkat sekarang.

Perdana Menteri berkata beliau tidak hairan wanita akan menjadi bilangan yang terbesar, daripada segi pengambilan baru ke perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), dalam jangka waktu terdekat, jika trend lebih ramai wanita masuk universiti berterusan.

"Soal jantina tidak penting, yang penting sekali ialah hasil dan pencapaian perkhidmatan awam," katanya pada sidang akhbar di akhir lawatan dua hari ke Sarawak Selasa.

Sebelum itu beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadiri makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina bersama masyarakat Tionghua Sibu.

Perdana Menteri diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, semalam bahawa trend masa kini yang menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan kanan itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Ahmad Shah turut berkata perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.

Najib berkata tentu sekali pemohon wanita lebih ramai kerana puratanya bilangan mereka yang memasuki universiti adalah dalam lingkungan 65 peratus daripada bilangan pelajar selain perlu mempunyai ijazah pertama sekurang-kurangnya untuk menyertai perkhidmatan PTD.

Mengenai cadangan kerajaan pusat untuk membantu membawa kembali jenazah 22 orang askar berasal dari Sarawak yang dikebumikan di Semenanjung untuk disemadikan di negeri ini, beliau berkata pihak berkenaan sedang menunggu persetujuan daripada keluarga masing-masing.

Ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, Kanowit, 80 km dari sini hari ini, beliau berkata askar-askar berkenaan, yang merupakan renjer dan peninjau, telah terkorban semasa mempertahankan negara daripada ancaman komunis dahulu.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah bersetuju untuk menyedia satu tapak manakala kerajaan sedang mencari peraturan untuk menyemadikan jenazah tersebut, katanya.

-- BERNAMA

Mentransformasi kakitangan awam kikis tanggapan negatif

Berita Harian

KAKITANGAN kerajaan, terutama yang banyak berinteraksi dengan orang ramai acap kali dilabel tidak mesra, lembap, malas, tidak boleh berkomunikasi dengan baik, gagal mengawal perasaan, kurang pengetahuan dan berkemahiran. Adil dan wajarkah tuduhan itu terus-terusan dilemparkan dengan dilabel sebegitu?

Sejauh mana Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan sejak April tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mentransformasikan kerajaan supaya lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat serta memacu negara ke arah melahirkan masyarakat maju, bersatu padu dan saksama dengan standard kehidupan lebih tinggi bergerak sejajar dengan objektifnya.

Selepas hampir setahun GTP dan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilancarkan, sejauh mana pencapaiannya? Hakikatnya kecekapan dan keupayaan 'orang kerajaan' itu sudah menampakkan hasilnya, cuma memerlukan pacuan gear semaksimumnya.

Hakikatnya, transformasi itu perlu untuk memastikan peratusan reaksi negatif masyarakat terhadap produktiviti, prosedur, birokrasi dan amalan tertentu terhadap golongan itu dapat dimaksimumkan. Justeru, inilah cabaran besar yang perlu diharungi kira-kira 1.2 juta penjawat awam dengan pelaksanaan disegerakan dengan lebih berkesan.

Ketua Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr Haris Abdul Wahab, melihat GTP itu wajar sebagai penanda aras serta kayu pengukur ke arah perubahan transformasi kakitangan awam yang lebih cekap, ada kredibiliti dan berdaya maju, sekali gus menimbulkan kesejahteraan kepada masyarakat secara keseluruhan.

Bukan tugas mudah untuk menggemblengkan sepenuhnya sektor awam ini kerana banyak penambahbaikan perlu dilakukan dan secalit kesilapan dilakukan, menjadikan keyakinan masyarakat luntur dan akan terus menempelak penyampaian perkhidmatan mereka.

Pandangan negatif masyarakat itu boleh ditepis dengan memastikan semua kakitangan kerajaan membantu masyarakat menangani masalah sosial yang berlaku di negara ini seperti isu kemiskinan, pengangguran, keruntuhan moral, pelbagai jenayah daripada yang sekecil-kecil hingga yang besar. Kesediaan kakitangan awam untuk mengurus dan mengawal masalah sosial dianggap sebagai input penambahbaikkan dalam pelaksanaan program lebih bersistematik untuk masyarakat.

Haris menjelaskan, sektor awam mempunyai kementerian dan jabatan yang mempunyai peranan masing-masing.

"Setiap jabatan boleh membantu mencungkil peluang serta mengenal pasti keperluan masyarakat umpamanya dari segi pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Pada masa sama, kakitangan sektor awam seharusnya menunjukkan keupayaan dalam mengenal pasti peluang untuk memajukan mobiliti sosial masyarakat. Saya percaya sekiranya semua aspek ini dapat dilaksanakan, masyarakat tidak lagi melabelkan penjawat awam sebagai gagal dan tidak berupaya membangunkan kehidupan masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, semua pencapaian keberhasilan GTP yang lebih berkesan dapat direalisasikan dengan menambah kemahiran dan pengetahuan anggotanya di semua peringkat selari dengan aspirasi Wawasan 2020 ke arah mencapai status negara maju.

"Setiap warga kerja seharusnya memperlengkapkan diri dengan pengetahuan bidang tugas masing-masing. Aspek kemahiran dari segi interaksi dengan pelanggan, bijak mengawal perasaan dan lebih memberi layanan mesra sentiasa diterapkan dalam diri.

"Sikap yang lebih positif itu adalah keutamaan dalam membantu hasrat kerajaan untuk proses GTP dengan jayanya. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian saya, dapat dilihat sesetengah jabatan terutama yang kerap berurusan dengan orang ramai seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah semakin baik.

"Jika dulu ramai yang merungut dengan sikap kurang profesional kakitangan, lembap dan tidak mesra tetapi semakin kurang," katanya.

Pada masa sama, pelbagai prosedur, proses kerja dan birokrasi yang membelenggu setiap jabatan itu memerlukan pengubahsuaian supaya selaras antara jabatan dan agensi.

Pengorbanan tenaga, masa dan buah fikiran kakitangan sektor awam pasti tidak menjadi bahan momokan sekiranya mereka ingin menuntut kenaikan pangkat atau gaji jika mampu mempamerkan keupayaan sebenar sebagai ganjaran prestasi serta peningkatan produktiviti.

Penguasaan Wanita Dalam Perkhidmatan Awam Berdasarkan Merit - Muhyiddin

MUAR, 23 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penguasaan wanita di dalam perkhidmatan awam ketika ini tidak harus dipertikaikan kerana ia adalah berdasarkan kepada keupayaan dan merit.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, polisi kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita hanyalah suatu "garis panduan."

"Walau apa pun yang berlaku di dalam perjawatan, keputusannya adalah berdasarkan kepada merit. Jikalau wanita itu berkeupayaan dan berdasarkan pada merit, maka dia layak untuk berada di situ. Kita tidak boleh mempertikaikannya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi Robotec oleh pelajar-pelajar sekolah di Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar di Pagoh, hari ini.

Muhyiddin mengakui bahawa keadaan itu turut berlaku di dalam Kementerian Pelajaran di mana bilangan guru wanita pada ketika ini adalah lebih ramai berbanding bilangan guru-guru lelaki.

Menurut beliau, fenomena di mana bilangan wanita memegang jawatan tinggi lebih ramai daripada lelaki bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi turut berlaku di seluruh dunia.

"Ia adalah suatu fenomena global," katanya.

Muhyiddin berkata apa yang paling penting adalah bagaimana hendak mengurus perkara itu, sambil menyifatkan wanita adalah aset dan kelebihan kepada negara.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.

Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohd Zin berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Contohnya kata beliau kepada Bernama, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik diisi oleh wanita.

Ahmad Shah berhujah bahawa perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.

-- BERNAMA

22 February 2010

Puteri Umno Kesal Pandangan Cuepacs Terhadap Penjawat Awam Wanita

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Pergerakan Puteri Umno kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Ahmad Shah Mohd Zin berhubung kebimbangan kesatuan itu mengenai penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kebimbangan itu tidak berasas sama sekali dan menunjukkan kecetekan fikiran pemimpin Cuepacs sehingga sanggup mengeluarkan pandangan tidak adil terhadap wanita.

"Puteri percaya dan yakin pertambahan penjawat awam wanita menurut Cuepacs (hampir tiga perempat jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi oleh wanita) adalah disokong oleh kebolehan serta keupayaan wanita itu sendiri.

"Dan, perkembangan itu sama sekali tidak akan memberi kesan jangka panjang terhadap kemajuan dan pembangunan negara seperti yang didakwa oleh Cuepacs," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Ahmad Shah dalam kenyataannya kepada Bernama hari ini berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Ahmad Shah turut menghujahkan perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.

Rosnah berkata kenyataan pemimpin Cuepacs itu bertentangan dengan aspirasi kesaksamaan gender yang diuar-uarkan oleh kerajaan selain menidakkan kebolehan dan keupayaan golongan wanita.

"Cuepacs sepatutnya mencari jalan dan melihat faktor yang menyebabkan kekurangan kaum lelaki dalam jawatan sebagai pembuat dasar terutamanya daripada sudut jumlah penuntut wanita di institusi pengajian tinggi yang sentiasa melebihi kaum lelaki," katanya.

Rosnah berkata Puteri Umno mahu Ahmad Shah memikirkan semula kenyataannya, yang jelas tidak mengambil kira sumbangan golongan wanita kepada pembangunan negara semata-mata kerana tidak boleh menerima hakikat bahawa jumlah wanita berkebolehan sekarang melebihi kaum lelaki.

"Pergerakan Puteri Umno juga percaya, dalam apa bidang sekali pun, penglibatan wanita adalah berasaskan merit dan ia sepatutnya seimbang dengan penyertaan kaum lelaki," katanya.



-- BERNAMA

Cuepacs Bimbang Penguasaan Penjawat Wanita

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Isnin meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.

Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohd Zin berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Contohnya kata beliau kepada Bernama, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik diisi oleh wanita.

Ahmad Shah menghujahkan perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.

Baru-baru ini Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata nisbah antara guru lelaki dan wanita adalah 30:70.

Sambil menghargai polisi kerajaan berkenaan kesamaan gender, Ahmad Shah berkata Cuepacs mahu dasar itu dilaksana dengan berhati-hati agar tidak mengganggu keseimbangan antara penjawat lelaki dan wanita.

Beliau berkata kedua-dua gender mempunyai kekuatan dan kelemahan yang boleh diguna untuk melengkapi antara satu sama lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata walaupun terdapat lebih ramai guru wanita dalam perkhidmatan tersebut peringkat pembuat keputusan dikuasai kaum lelaki.

Beliau berkata prestasi guru wanita adalah sangat baik dan mereka memberikan pendidikan yang berkualiti kepada kanak-kanak.

Lok menyarankan agar kementerian berkenaan mengambil lebih ramai guru lelaki untuk bidang-bidang tertentu seperti sukan, pendidikan jasmani dan kokurikulum.

Nisbah yang ideal antara guru lelaki dan wanita kata Lok adalah 50:50.

-- BERNAMA

Muhammad Shahrul Ikram Dilantik Pengerusi IAEA

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Duta Malaysia ke Qatar, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, dilantik sebagai pengerusi baru Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Muhammad Shahrul Ikram dilantik secara sebulat suara pada mesyuarat khas lembaga itu pada 12 Feb lalu dan beliau akan berkhidmat sebagai pengerusi lembaga ITU sehingga September ini.

Wisma Putra, dalam kenyataan hari ini, berkata pencalonan Muhammad Shahrul Ikram itu diluluskan oleh kumpulan Asia Tenggara dan Pasifik (SEAP) di mana Malaysia menjadi anggota kumpulan itu.

Beliau merupakan seorang diplomat kanan dan biasa dengan tugasan dalam badan antarabangsa itu selepas pernah berkhidmat sebagai Wakil Gilir Residen Malaysia ke IAEA dari tahun 2002 hingga 2005.

Beliau juga telah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Politik Multilateral di Kementerian Luar dari 2005 hingga 2007 yang bertanggungjawab antara lain dalam hal ehwal IAEA, kata Wisma Putra.

-- BERNAMA

Gaji pegawai ikut kelulusan

Berita Harian

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk surat Pegawai Perhubungan Perusahaan disiar pada 5 Februari lalu bertajuk 'Gaji pegawai lulusan sarjana wajar diselaras.'

Skim perkhidmatan Pegawai Perhubungan Perusahaan (PPP) Gred S41 memperuntukkan Kelayakan Masuk Pelbagai (KMP) pada peringkat ijazah pertama dan sarjana dengan gaji permulaan berbeza bagi setiap kelayakan.

Gaji sarjana muda kepujian ialah Gred S41:P1T3 (RM1,869.79) dan sarjana ialah Gred S41:P1T7 (RM2,231.59). Gaji permulaan perkhidmatan PPP tidak wajar dibandingkan dengan skim lain kerana penetapan gaji permulaan setiap skim perkhidmatan dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira:
# Prinsip kadar upah;

# Kelayakan masuk;

# Latihan khusus yang wajib, dan

# Prinsip relativiti dan pariti perkhidmatan yang berbeza mengikut klasifikasi perkhidmatan dan bidang serta kompleksiti tugas yang ditetapkan.

NIK NORAINI NIK YA,
Timbalan Pengarah Korporat JPA.

200,000 pesara kerajaan berdepan tekanan hidup

Berita Harian

Wang pencen tidak mencukupi paksa lakukan kerja di usia emas

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200,000 pesara kerajaan yang menerima pencen RM250 sebulan didakwa berhadapan dengan tekanan hidup sehingga ada antara mereka terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga masing-masing.

Kebanyakan mereka pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum diswastakan sudah menjangkau usia lebih 60 tahun, tetapi terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk tempoh masa yang panjang dengan gaji bulanan yang rendah iaitu sekitar RM600 hingga RM700 sebulan.

Presiden Kesatuan Sekerja Dalam GLC, Mohamed Shafie BP Mamal yang mendedahkan perkara itu, mendakwa sebahagian lagi bekerja sebagai pemandu teksi, berniaga secara kecil-kecilan selain terbabit dalam aktiviti pertanian.

"Pihak kesatuan melihat jumlah pencen (RM250) itu berada di bawah garis kemiskinan dan terlalu kecil berbanding kos sara hidup masa kini.

"Pesara GLC ini terpaksa bekerja keras walaupun sudah berusia kerana perlu menyara hidup keluarga masing-masing selain menanggung perbelanjaan pengajian anak-anak sama ada di institusi pengajian tinggi swasta atau awam.

"Kita amat sedih melihat segelintir mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dari pagi hingga malam manakala ada yang terpaksa berdiri lama tetapi menerima jumlah gaji di bawah RM800.

"Pihak kesatuan juga dimaklumkan bahawa ada pesara yang sakit serta tidak mampu bekerja sehingga memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baitulmal. Ini semua adalah kisah benar dan bukannya retorik," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Mohamed Shafie merayu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya memberi perhatian serius kepada perkara ini bagi membantu golongan terbabit.

"Kita amat berharap jumlah pencen RM250 itu akan dikaji semula kerajaan bagi mengatasi kesusahan yang dihadapi pesara kerajaan dalam GLC. Kumpulan ini juga pernah membantu kepada pembangunan negara sewaktu mereka berkhidmat dulu," katanya.

"Pihak kesatuan merasakan golongan ini juga perlu diberikan pencen minimum RM720 sebulan seperti mana dinikmati kakitangan kerajaan pada masa kini