27 May 2007

Kenaikan gaji wajar rangsang mutu sistem penyampaian

Berita Harian

PENANTIAN selama lebih sedekad kira-kira sejuta kakitangan awam akhirnya menjadi kenyataan apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan kenaikan gaji mereka sehingga 35 peratus, berkuatkuasa 1 Julai ini. Perdana Menteri juga mengumumkan persetujuan kerajaan menaikkan kadar bantuan sara hidup atau Cola sebanyak 100 peratus. Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula turut menikmati kenaikan tambahan sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji mereka. Ini bermakna, semua peringkat kakitangan awam menikmati kenaikan gaji termasuk pesara kerajaan yang turut merasai kenaikan pencen. Kali terakhir kerajaan membuat semakan gaji ialah pada 1992. Dengan semakan gaji kali ini, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan RM6.8 bilion setahun manakala peningkatan kadar Cola membabitkan perbelanjaan tambahan RM600 juta tahun ini atau RM1.2 bilion setahun. Ini satu jumlah yang cukup besar dan bukti keprihatinan kerajaan terhadap jasa kakitangan awam selama ini.

Kita berharap ‘durian runtuh’ yang diterima oleh hampir 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara itu, selain disyukuri, turut disusuli dengan semangat dan budaya kerja baru. Cuepacs perlu memainkan peranan agar pekerja dapat mengubah sikap, meningkatkan kualiti kerja dan lebih berdisiplin bagi menaikkan imej perkhidmatan awam. Kakitangan kerajaan perlu meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan mutu hasil kerja seperti diharapkan supaya dapat memenuhi tuntutan orang ramai. Kenaikan itu adalah pertimbangan khas kerajaan selain menghargai sumbangan anggota tentera dan polis menjaga keselamatan negara walaupun terdedah kepada begitu banyak dugaan dan rintangan dalam menjalankan tugas mereka. Pengumuman kerajaan itu akan memberi rangsangan yang kuat kepada anggota tentera dan polis. Ia juga satu motivasi dan dorongan moral yang besar bagi perkhidmatan awam lain, selaras dengan hasrat kerajaan hendak mempertingkat kecekapan dan juga menambahbaik sistem penyampaian awam.

Begitupun, kita amat berharap golongan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan ekoran kenaikan gaji kakitangan awam. Perbuatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan sewenang-wenangnya akan menyebabkan inflasi yang boleh memburukkan ekonomi negara. Lebih mendukacitakan apabila sejak awal bulan ini sudah ada pasar, pasar raya dan kompleks beli-belah menaikkan harga barangan mereka tanpa disedari pengguna. Tidak ada sebab kenapa mereka harus menaikkan harga semata-mata kerana gaji naik. Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus memastikan, bukannya sekadar mengeluarkan amaran saja, bahawa kenaikan gaji ini tidak disusuli dengan peningkatan harga barangan keperluan secara keterlaluan. Kerajaan tentu mengambil kira beberapa isu dalam semakan semula gaji kakitangan awam, termasuk kesan kepada paras upah di pasaran buruh dan keadaan inflasi akibat kenaikan gaji bagi sejumlah anggota sektor awam. Jika harga barang naik, faedah kenaikan gaji tidak akan dirasai dan tidak akan memperbaiki kedudukan asal kakitangan awam dan lambat laun, tuntutan menaikkan gaji akan dibuat lagi. Yang jelas, kenaikan gaji itu menunjukkan sikap timbang rasa dan kepekaan kerajaan terhadap kebajikan kakitangan awam. Harus diingat, wang yang digunakan bagi menampung kenaikan itu adalah wang rakyat. Justeru, sebagai balasan atas kenaikan gaji itu, kakitangan awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

No comments: