31 December 2008

Kenaikan gaji, elaun staf SPRM ditimbang

Utusan Online

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pelbagai pihak supaya gaji dan elaun yang lebih tinggi diberikan kepada kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan mula beroperasi Khamis ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, untuk itu, satu jawatankuasa khas diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz akan mengkaji soal kenaikan gaji dan elaun berkenaan dan perkara lain bagi menambah baik perkhidmatan SPRM.

“Saya sedar wujud rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang akan diserapkan ke dalam SPRM kerana kadar gaji yang ditawarkan adalah rendah.

“Perkara sama telah disuarakan oleh Ahli-Ahli Parlimen pada sesi Dewan Rakyat dan jawatankuasa ini telah diminta untuk mengkaji tentang perkara berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Beristiadat BPR 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang SPRM 2008 pada 16 Disember lalu manakala Dewan Negara pada 22 Disember.

Kenaikan gaji yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekarang kepada kakitangan BPR yang diserapkan ke dalam SPRM hanya sebanyak 3.7 peratus.

Ia membabitkan kenaikan antara RM12 hingga RM80 seorang mengikut pangkat dan pengalaman kakitangan terbabit.

Menurut Abdullah, langkah menaikkan gaji dan elaun itu akan membolehkan kakitangan SPRM memberi tumpuan kepada kerja tanpa memikirkan soal untuk menyara diri dan keluarga.

“Dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan ini, saya berharap kakitangan SPRM akan memberikan komitmen yang tinggi kepada kerja masing-masing bagi membanteras rasuah.

“Ini berikutan wujud persepsi di kalangan rakyat bahawa kerajaan dan BPR sebelum ini tidak berusaha bersungguh- sungguh membanteras gejala ini,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Said dalam ucapannya merayu campur tangan Abdullah supaya memastikan JPA menyediakan skim perkhidmatan termasuk gaji dan elaun yang lebih baik untuk kakitangan BPR yang diserapkan ke SPRM.

Beliau berkata, langkah itu boleh menyuntik semangat kalangan warga BPR sedia ada dan menarik lebih ramai profesional untuk bersama-sama SPRM memperjuangkan usaha memerangi rasuah.

30 December 2008

Guru sekolah agama diserap

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my

Tumpu isu perjawatan, latihan tingkat kualiti pendidikan SAR, SAN

KUALA LUMPUR: Guru yang bertugas di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sudah diperuntukkan jawatan secara hakiki sekali gus diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, sekolah yang berdaftar sebagai SABK pula berpeluang menerima guru Kementerian Pelajaran yang terlatih sekiranya guru sedia ada tidak mencukupi.

"Guru ini akan diberi gaji yang bersesuaian dengan kelayakan mereka, diberi peluang kenaikan pangkat, berpeluang menikmati kemudahan sebagai penjawat awam serta berpeluang untuk mengikuti kursus di dalam dan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, tumpuan kepada soal perjawatan dan latihan guru itu adalah sebahagian langkah bagi merealisasikan program pendaftaran SABK yang diperkenalkan pada 2005 untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di bawah Kementerian Pelajaran dari pelbagai aspek termasuk proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Katanya, murid di SABK pula berpeluang mendapat pelbagai bantuan seperti biasiswa, makanan serta buku teks, selain bersaing dengan murid di sekolah aliran perdana dalam sebarang aktiviti Kementerian Pelajaran sama ada yang berbentuk kurikulum atau kokurikulum, dan jika berkelayakan, akan diberi peluang mewakili negara pada peringkat antarabangsa.

"Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melihat pendidikan berteraskan Islam terus dimantapkan dan diperkasa di negara ini, kementerian akan terus berusaha gigih bagi memastikan SABK dapat berkembang menjadi institusi sekolah yang cemerlang dan mampu memberi pendidikan agama yang sempurna kepada generasi muda negara," katanya.

Hishammuddin berkata, sehingga kini, jumlah SAR dan SAN yang berdaftar sebagai SABK ialah sebanyak 154, manakala 101 sekolah agama masih pada peringkat perbincangan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman.

Beliau berkata, pada 23 Disember lalu, Kementerian Pelajaran sudah dimaklumkan mengenai hasrat Jabatan Agama Islam Johor untuk mendaftar sejumlah 27 sekolah agama sebagai SABK iaitu 15 SAR, 3 SAN, satu Maahad Johor dan lapan Sekolah Rendah Arab Bersepadu.

Katanya, Kementerian Pelajaran akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan SABK menerima manfaat penuh dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta.

Skim gaji pegawai BPR tak menarik

RANG Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 diluluskan dan mula berkuat kuasa pada 1 Januari ini bagi menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjayakan penubuhan SPRM menggantikan Badan Pencegah rasuah (BPR) bagi memantap lagi undang-undang untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan dengan lebih berkesan.

Di samping itu satu skim gaji baru yang lebih baik dan menarik berbanding dengan kakitangan awam lain diumumkan Perdana Menteri untuk memberi semangat dan perangsang supaya pegawai SPRM dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih dedikasi.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 24 Disember lalu, memberi taklimat khas kepada pegawai BPR mengenai Skim Gaji Baru (Khas) untuk pegawai BPR bertempat di Ibu Pejabat BPR di Putrajaya.

Pegawai BPR yang hadir sungguh terharu dengan kehadiran pegawai JPA dan mengharapkan skim gaji baru itu betul-betul akan memberi manfaat kepada mereka. Semua sedia maklum pegawai BPR sangat memerlukannya bukan kerana untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk kegunaan ketika menjalankan siasatan.

Pengalaman saya sendiri yang lama berkhidmat dengan BPR, ketika menjalankan siasatan, biasanya kami memerlukan wang untuk dibelanjakan atas tugas rasmi seperti membayar dan belanja rakan setugas atau bawahan atau saksi makan dan minum kerana membantu menjayakan tugas kita di luar pejabat terutama di luar waktu bertugas.

Amalan ini sebenarnya menjadi satu kemestian atau tradisi di BPR sejak sekian lama. Setiap pegawai penyiasat BPR memerlukan bantuan rakan untuk menjayakan kes mereka. Pegawai penyiasat BPR tidak boleh bersendirian menjalankan siasatan kerana setiap kes BPR, biasanya membabitkan ramai saksi.

Pengalaman saya yang berpuluh tahun berkhidmat, setiap satu kes BPR biasanya tidak kurang daripada 20 saksi, malah ada kalanya melebihi 100 saksi bergantung kepada kes. Bayangkan begitu ramai saksi yang perlu seorang pegawai penyiasat hadapi.

Bagaimana jika pegawai penyiasat ada 10 kes atau lebih dalam satu-satu masa. Wang belanja amat diperlukan untuk menjayakan kes. Ini sangat berlainan dengan kakitangan awam lain yang tidak perlu keluar belanja kecuali untuk diri sendiri bagi menjayakan tugas mereka kerana tugas mereka hanya di pejabat.

Berbalik kepada skim gaji baru tadi, selepas taklimat diberikan JPA, alangkah terperanjatnya kami, selepas dimaklumkan kami hanya diberikan satu kenaikan gaji tahunan saja, tanpa tambahan kepada elaun yang sedia ada.

Ini bermakna pegawai BPR yang berkelulusan diploma hanya memperoleh lebih kurang RM68 sementara berkelulusan Ijazah memperoleh RM98 saja mengikut skim baru. Ia di luar jangkaan kami, malah ada daripada pegawai BPR yang baru dinaikkan pangkat tetapi belum disahkan di dalam jawatan hanya memperoleh kenaikan RM12 saja.

Persoalan yang timbul ialah adakah peruntukan sebanyak itu dikatakan `skim gaji baru yang baik dan menarik’ seperti diumumkan kerajaan. Dalam pada itu, kami diwajibkan memberi opsyen supaya bersetuju dan jika tidak bersetuju akan dibersarakan.

Ramai pegawai BPR merasakan tertipu dengan helah JPA kononnya mereka bukan Menteri Kewangan yang boleh meluluskan peruntukan yang lebih untuk skim gaji baru berkenaan. Saya berasa hairan adakah JPA tidak berbincang terlebih dulu mengenai peruntukan baru untuk diberikan kepada BPR (SPRM).

Saya berharap Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dapat campur tangan untuk mengatasi masalah ini. Pada saya JPA tidak berlaku adil dalam pemberian satu Skim Gaji Baru BPR (SPRM) dan adalah tidak munasabah hanya diberi satu kenaikan gaji tahunan saja, sedangkan seluruh negara sedia maklum dan dihebohkan dengan satu skim gaji lebih baik dan menarik berbanding kakitangan awam lain.

PEGAWAI BPR PUTRAJAYA
Putrajaya.