01 June 2007

Antara elaun COLA dan Sarsi

Utusan Online

SUKACITA akhirnya gaji kakitangan awam naik. Terima kasih kami ucapkan atas usaha kerajaan dalam meningkatkan rezeki kami.

Bagaimanapun, kami kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Sarawak dan Sabah masih tidak dapat menikmati elaun COLA sebagaimana rakan kami di Semenanjung Malaysia.

Elaun COLA kakitangan kerajaan di Semenanjung Malaysia telah dinaikkan lagi 100 peratus iaitu dari RM150 hingga RM300.

Kami di Sarawak tetap tidak dapat sebarang elaun COLA dan elaun wilayah kami tetap sama tanpa sebarang kenaikan. Ramai kakitangan bawahan kini mengeluh kerana elaun wilayah kini sudah semakin ketinggalan.

Perlu diingatkan bahawa elaun wilayah telah diwujudkan sejak dulu lagi atas sebab barangan keperluan harian di Sarawak dan Sabah adalah jauh lebih mahal daripada Semenanjung.

Ambil contoh harga buku dan majalah, pasti kita akan nampak terdapat perbezaan harga untuk Sabah, Sarawak dengan harga di Semenanjung Malaysia. Masalah ini lebih-lebih lagi dirasai oleh penduduk di pedalaman.

Adalah tidak adil kiranya elaun wilayah dan elaun COLA disamakan. Justeru, kami mohon agar elaun COLA turut diberikan kepada kami, atau sekurang-kurangnya naikkan elaun wilayah. Kalau atas sebab politik yang tidak dapat dielakkan dan elaun COLA tidak dapat diberikan, kami cadangkan wujud elaun baru iaitu elaun Sarsi (Sarawak Special Incentive) atau seumpamanya.

Harap pihak kerajaan akan mengambil berat mengenai masalah kami dan membuat pertimbangan yang seadilnya.

– W.A,

Kuching, Sarawak.

1 comment:

Anonymous said...

Saya cadangkan supaya kakitangan Kerajaan di Sarawak hentikan menuntut elaun Cola dan membuat dongeng sebab elaun wilayah diberi. jgn amalkan sikap tamak asyik nak lebih jer. Tapi lebih baik cadangkan harga minyak di sarawak kekal RM 1.91 berbanding Semenanjung, kerana faktor banyak pendalaman. dan sukar mendapatkan petrol. tolonglah orang pendalaman. sudah kaya mahu kaya lagi.