30 November 2009

Gaji diploma tidak setaraf

Berita Harian

SAYA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan lulusan diploma untuk mengisi kekosongan jawatan di perkhidmatan awam.

Walaupun jawatan gred 17 yang kami terima itu tak setaraf kelulusan, kami terima dengan hati terbuka.

Cuma apa yang terkilan ialah dari segi gred gaji dibayar JPA. Kami lulusan diploma dan ijazah dibayar dengan gred P1T1 (RM824.00) iaitu setaraf gred lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala bagi yang memiliki sijil politeknik pula dibayar dengan gred P1T9.

Jika semua masyarakat terdedah dengan hal ini, saya yakin lebih baik lepasan SPM memohon melanjutkan pelajaran pada peringkat sijil di politeknik. Ia jelas menunjukkan tiadanya keadilan dan JPA seolah-olah menafikan kelulusan dan tidak mengiktiraf lulusan diploma IPTA.

Kami berharap sekurang kurangnya berilah gaji kami sama dengan kelulusan sijil politeknik atau lebih tinggi. Kami menghabiskan masa belajar peringkat diploma selama tiga tahun dan dalam tiga tahun, pihak JPA jangan lupa kami meminjam berpuluh ribu ringgit daripada PTPTN untuk menghabiskan pengajian.

Dengan gaji RM824, mana mungkin kami membayar hutang PTPTN serta tunggakannya seperti dijadualkan. Gaji habis semata-mata untuk bayar hutang, tambang pergi balik kerja, perbelanjaan makan dan minum.

Jadi terpaksalah kami menggunakan pakaian sama bertahun-tahun sehingga menunggu gaji naik.

KAKITANGAN AWAM,
Pahang.