04 November 2009

Salah dari segi moral untuk minta bonus: Najib

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata adalah salah dari segi moral untuk meminta mendapatkan bonus kerana negara masih bergelut untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan ramai pekerja di sektor swasta dibuang kerja.

“Adalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus apabila ekonomi belum pulih. Saya sentiasa memberitahu Ceupacs (Presiden Omar Osman) bahawa ia tidak boleh bertindak seperti kesatuan sekerja, setiap kali meraung meminta bonus (setiap kali pembentangan bajet) kerana anda mahu menjadi popular di kalangan ahli anda," katanya berucap di forum makan tengah hari perniagaan Bankers' Club di sini.

Cuepacs, badan induk bagi kesatuan pekerja sektor awam, kini mendesak kerajaan untuk mendapatkan bonus dua bulan bagi 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

Najib berkata, dalam sektor swasta, pekerja dibuang dan keadaan itu tidak berlaku dalam perkhidmatan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, itu tidak bermakna pekerja cemerlang tidak boleh diberi ganjaran tetapi malangnya sistem sedemikian tidak diwujudkan.

"Jika kita ada sistem yang memotivasikan mereka, tenaga kerja awam juga boleh meningkat untuk menjadi pekerja berprestasi tinggi. Kita sepatutnya memberi ganjaran kepada mereka.

"Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka menjadi yang kedua terbaik, tingkatkan prestasi mereka. Benar, sesuatu bantuan yang kecil perlu dihulurkan," katanya.

Menggunakan analogi golf, Najib berkata bantuan itu sama seperti handicap tetapi penerimanya perlu mengurangkan dari 24 kepada 18, 12 dan seterusnya kepada satu angka dan bersaing secara setara dengan pekerja lain.

"Ia juga sama dengan Bumiputera, dari masa ke semasa mereka perlu mengurangkan handicap masing-masing. Anda tidak boleh berada pada 24 sepanjang masa.

"Saya mengimpikan satu hari nanti apabila Bumiputera berupaya bersaing dengan sesiapa pun yang tiada handicap. Hari itu akan tiba. Jadi, kita kurangkannya perlahan-lahan.

"Bukan Bumiputera merasakan sistem semasa tidak adil tetapi saya jadikannya lebih adil. Setiap rakyat Malaysia akan dilayan dengan adil di negara ini," katanya. - Bernama

CUEPACS Sambut Baik Program Bekerja Dari Rumah

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan memanjangkan program amalan bekerja dari rumah untuk penjawat awam bagi bidang-bidang kerja tertentu, sekiranya program yang dirintis Kementerian Kerja Raya itu didapati berjaya menampilkan hasil yang positif.

Presidennya Omar Osman berkata program seumpama itu dilihat dapat mengurangkan tekanan dan boleh menghasilkan produktiviti lebih baik.

Katanya selain itu ia dapat mengurangkan masalah ruang tempat meletak kenderaan yang sering berlaku di pejabat-pejabat jabatan dan agensi kerajaan.

"Ia merupakan cara paling selamat bagi mereka untuk menghilangkan tekanan yang mungkin berlaku di tempat kerja, dan yang pasti mereka boleh dihubungi pada bila-bila masa di rumah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau menyambut baik langkah Kementerian Kerja Raya menjadikan 35 pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai perintis program amalan bekerja dari rumah mula 1 Januari ini seperti yang diumumkan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor pada Rabu.

"Ini adalah satu langkah yang bijak dan bagi Cuepacs, ini merupakan satu percubaan di peringkat agensi. Jika hasilnya positif, Cuepacs akan meminta supaya ia dipanjangkan ke kementerian lain terutama di kalangan penjawat awam wanita," katanya.

Shaziman hari ini mengumumkan bahawa pelukis pelan yang terpilih akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum kerajaan memutuskan sama ada akan meneruskan atau menghentikan program itu.

Pogram perintis itu dilaksanakan dari 1 Januari sehingga penghujung Mac 2010, dan sekiranya produktiviti didapati tidak menunjukkan peningkatan, program itu akan dibatalkan.

Program yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijangka membantu kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya, menangani masalah kesesakan di tempat kerja, dan secara tidak langsung turut meringankan beban kepada pekerja terutama dari sudut kos petrol dan tol, manakala penjawat awam wanita boleh memperuntukkan lebih masa bersama keluarga.

-- BERNAMA

Najib Bangga Dengan Kakitangan Awam Bekerja Di Makmal NKRA

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bangga dengan lebih 200 kakitangan awam yang sedang bekerja di lapan makmal yang bertanggungjawab bagi program transformasi kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat lapan makmal itu di Palm Garden Resort di sini, Najib berkata beliau melihat sendiri bagaimana kerja dijalankan di makmal berkenaan untuk membangunkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), agenda 1Malaysia dan perpaduan negara.

Lapan makmal itu mula beroperasi pada 5 Okt, masing-masing bagi enam NKRA -- pendidikan, isi rumah berpendapatan rendah, infrastruktur asas luar bandar, pengangkutan awam di bandar, rasuah dan jenayah -- dan dua lagi bidang yang ditumpukan, 1Malaysia dan perpaduan negara dan pengurusan data.

Lebih 200 individu dari pelbagai kementerian, agensi dan jabatan, dari seluruh negara bekerja di makmal berkenaan.

Di setiap makmal, terdapat sekurang-kurangnya 20 organisasi bekerja bersama-sama, merungkai dan memecahkan halangan yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan dan memupuk budaya prestasi tinggi dalam pentadbiran awam.

Makmal berkenaan akan merumuskan butiran mengenai pelan tindakan untuk merealisasikan setiap NKRA dan inisiatif 1Malaysia.

Pelan tindakan berkenaan akan diumumkan awal tahun depan.

"Saya amat bangga dengan sumbangan dan komitmen kakitangan awam ini. Sebelum ini perkhidmatan awam tidak membenarkan kreativiti dan kebolehan mereka untuk berfikir di luar batasan kebiasaan tersekat.

"Selepas melawat makmal-makmal berkenaan, Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek Hassan) dan saya amat bangga dengan pencapaian mereka setakat ini," kata Najib, yang diiringi Muhyiddin pada lawatan itu.

Katanya kerja yang dilakukan di makmal berkenaan membuktikan kakitangan awam Malaysia memiliki kebolehan untuk menjadi kreatif jika diberikan peluang.

"Sebagai contoh, kami telah mengenal pasti dan menaik taraf semua 10,000 buah sekolah di seluruh negara. Di masa lepas, ini akan mengambil masa.

"Begitu juga dengan jalan-jalan raya di kampung; malahan jalan raya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti dan rancangan sedang dibuat untuk menaik tarafnya. Langkah yang sama akan dibuat bagi semua NKRA yang lain," katanya.

Najib berkata staf di makmal berkenaan bekerja minimum 12 jam sehari dan ada kalanya mereka malahan mengadakan perbincangan sehingga 5 pagi.

"Kabinet akan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada kakitangan awam ini, termasuk memberikan ganjaran," katanya.



-- BERNAMA

Pegawai Salah Laku, Seleweng Wang Awam Akan Dikenakan Tindakan - KSN

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pegawai awam yang secara terang melakukan kesalahan dalam pengurusan wang awam sepertimana yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008 akan dikenakan hukuman, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Mohd Sidek, yang mempengerusikan pasukan petugas bagi menentukan bentuk tindakan yang akan diambil ke atas pihak-pihak yang didapati cuai atau melanggar peraturan dan prosedur dalam pengurusan wang awam, berkata terdapat empat jenis tindakan yang boleh diambil dalam kes salah laku/penyelewengan dalam pengurusan wang awam iaitu:

* surcaj di bawah Akta Acara Kewangan 1957;

* tindakan tatatertib di bawah Perintah-perintah Am, Bab D - Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Pegawai awam yang telah bersara tidak boleh dikenakan tindakan disiplin atau surcaj. Namun mereka boleh dikenakan tindakan sivil atau jenayah;

* pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan ke atas kes-kes salah laku seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara itu supaya tindakan undang-undang seterusnya boleh diambil. Sehubungan ini pihak PDRM akan turut menganggotai pasukan petugas; dan

* tindakan sivil di mahkamah jika terdapat cukup bukti.

Ketua Setiausaha Negara berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rabu berikutan mesyuarat pertama Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008 yang dipengerusikannya Isnin lepas (2 Nov 2009).

Mesyuarat dihadiri Peguam Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Mohd Sidek berkata mesyuarat itu antara lain bersetuju bahawa tindakan yang akan diambil akan berasaskan kepada fakta-fakta yang jelas dan akan turut mengambil kira peringatan Perdana Menteri iaitu tindakan tidak sepatutnya dikenakan dalam kes di mana seseorang pegawai membuat sesuatu keputusan dengan niat yang jujur, kesalahan-kesalahan yang tidak disengajakan atau berpunca daripada faktor-faktor di luar kawalannya.

"Prinsip asas yang akan diutamakan oleh pasukan petugas dalam mengambil tindakan ialah memastikan ia mampu menerapkan budaya tadbir urus yang baik dalam Perkhidmatan Awam sekali gus menjurus kepada prinsip budaya prestasi tinggi," katanya.

Mohd Sidek berkata pasukan petugas akan meneliti kes-kes secara berperingkat dengan mendahulukan kes-kes yang banyak berlaku dan tidak mematuhi Arahan Perbendaharaan dan pekeliling-pekeliling Perbendaharaan seperti pembayaran telah dibuat tetapi barang tidak diterima, perkhidmatan tidak dilaksanakan dan perolehan barangan atau perkhidmatan tidak mengikut spesifikasi.

"Bagi kes-kes sebegini tindakan surcaj di bawah Akta Acara Kewangan 1957 dan tindakan tatatertib di bawah Perintah Am Bab D - Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 boleh diambil terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Mohd Sidek berkata tindakan ke atas kes-kes salah laku akan diambil secara berperingkat, iaitu sebaik sahaja siasatan ke atas satu-satu kes itu selesai.

Beliau juga berkata dalam menjalankan tugasnya pasukan petugas akan memberi fokus kepada prinsip asas iaitu tadbir urus pengurusan kewangan awam yang baik.

"Anggota-anggota Perkhidmatan Awam yang diberi tanggungjawab perlu mengamalkan budaya prestasi tinggi. Untuk ini mereka yang berprestasi cemerlang akan diberi ganjaran sewajarnya tetapi kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa, mediokrasi, kecuaian, pelanggaran peraturan dan prosedur pengurusan wang awam yang disengajakan sepertimana yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008," katanya.

Mohd Sidek juga berkata pasukan petugas itu, yang penubuhannya diumumkan oleh Perdana Menteri pada 30 Okt lepas, akan bermesyuarat pada setiap minggu dan merancang untuk menyelesaikan tugasnya selewat-lewatnya pada bulan April 2010.



-- BERNAMA

Support for reward scheme

NST

By B. Suresh Ram

KUALA LUMPUR: Cuepacs has urged the government to implement as soon as possible the new reward scheme for civil servants that was announced by Prime Minister Datuk Seri Najib Razak.

Its president, Omar Osman, said there should be a proper mechanism to implement the scheme.

"The way it will be implemented and the details involved are crucial for the betterment of the civil service," he told the New Straits Times yesterday.

Cuepacs, the umbrella body representing about 100 civil service unions nationwide, also wants the government to brief them on the scheme.

Najib on Monday had said a new reward scheme may be introduced to acknowledge outstanding performers in the civil service.

Among those who stand to be rewarded are those involved in revenue collection who had successfully met their targets, members of enforcement agencies with sound prosecution records and those who come up with innovative research and development ideas.

Omar said there were already agencies that were providing excellent service.

He cited the Immigration Department, which could now issue passports within two hours of application.

"The current reward system only benefits individual workers and not the overall agency or department."

The new scheme, if implemented, would help to curb corruption and encourage the more than 1.2 million public servants to excel in their jobs.

Cuepacs, he said, was grateful to Najib for the recognition accorded as the present reward system was ineffective and open to abuse.

"It is high time for it to be reviewed and replaced with a new one as stated by the prime minister."

03 November 2009

APMM Jadi Penguatkuasa Tunggal Maritim Pada 2011

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mensasarkan untuk menjadi agensi penguatkuasa maritim tunggal dalam mengawal perairan negara menjelang 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi agensi itu Laksamana Muda Datuk Noor Aziz Yunan berkata langkah ke arah itu telah bermula secara berperingkat dengan mengambil alih aset dan tugas agensi-agensi lain yang turut mengawal perairan negara.

"Ini kerana terlalu banyak agensi di bawah Zon Maritim Malaysia dan ia melibatkan peruntukan kewangan yang besar kepada negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Media Maritim di sini, Selasa.

Ketika ini lapan lagi agensi turut terlibat mengawal perairan negara iaitu Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Imigresen, Pasukan Gerakan Marin, Kastam Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya APMM yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah memohon tempoh selama dua tahun kepada kerajaan bagi menyiapkan diri mengawal zon perairan negara secara bersendirian.

Beliau berkata apabila dilaksanakan, semua akta yang melibatkan agensi lain akan dikuatkuasakan oleh APMM.

Noor Aziz berkata untuk mencapai matlamat itu, APMM perlu membaik pulih kapal-kapal lama dan memiliki kapal-kapal baru yang lebih efektif dan moden supaya penguatkuasaan lebih berjaya.

Katanya anggota dan pegawai agensi-agensi lain akan diberi pilihan untuk menyertai APMM memandangkan pengalaman luas yang dimiliki mereka dalam mengawal perairan negara.

Beliau juga berkata APMM akan meningkatkan kerjasama dengan masyarakat bagi mengurangkan pencemaran di perairan negara khasnya di Selat Melaka.

"Nelayan dan pekerja kapal dapat memberi maklumat berhubung kegiatan membuang minyak di perairan negara pada waktu malam yang sukar kita jejaki tanpa bantuan alat canggih," katanya.

Beliau berkata untuk melaksanakan operasi sedemikian, pesawat APMM jenis Bombarbier C1415 kini dilengkapi sistem canggih yang mampu menjejaki aktiviti membuang minyak dan menangkap suspek.



-- BERNAMA

Bayaran Khas RM500 Untuk Semua Penerima Pencen

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Bayaran khas RM500, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 pada 23 Okt lepas, akan diberikan kepada semua penerima pencen.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan bayaran khas ini termasuk pesara pilihan dan pesara atas sebab lain serta balu, duda dan anak.

Dalam kenyataan JPA untuk menjelaskan perkara itu menyatakan Selasa bahawa pemberian bayaran khas itu juga meliputi penerima pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Penerima pencen yang layak menerima bayaran khas ini ialah mereka yang menerima pencen bulanan pada bulan Disember 2009," menurut JPA.

Sebelum ini, bayaran khas itu diumumkan akan diberikan kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib.

September lepas, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan RM500 kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada September dan Disember yang melibatkan kewangan sebanyak RM430 juta.

JPA berkata bayaran melalui bank akan dilakukan pada 14 Dis depan, iaitu sehari sebelum tarikh pembayaran pencen bagi bulan itu yang ditetapkan pada 15 haribulan.

"Bagi mereka yang dibayar secara waran, waran berasingan akan dikirimkan pada awal Disember bagi membolehkan penunaian pada 14 Di 2009," kata JPA.



--BERNAMA

Ganjaran baru kakitangan, jabatan cemerlang

Sistem mampu tingkat motivasi penjawat awam: PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan untuk kakitangan awam dan jabatan yang cemerlang selaras dengan pendekatan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Jemaah Menteri sedang merangka kaedah sistem itu untuk diperkenalkan supaya benar-benar berkesan dan mampu meningkatkan motivasi penjawat awam.

"Maknanya, kita tidak bertolak ansur terhadap salah guna kuasa dan mediokriti (sederhana) tetapi (pada masa sama) kita perlu beri ganjaran kepada prestasi tinggi.

"Mungkin Hari Kualiti kita tukar kepada Hari Inovasi, kita nak cuba gubal satu sistem ganjaran yang lebih bermakna lagi, bukan seperti sistem sebelumnya, menegak dan melintang, tidak berkesan sebab kita dah berpakat, tahun ini giliran saya, tahun depan hangpa pulak... kalau macam itu tak jadi, jangan cakap tak berlaku, ia berlaku sebab saya tahu ia berlaku," katanya berucap pada perhimpunan bulanan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, semalam.

Turut hadir Muhyiddin, Mohd Sidek dan menteri serta timbalan menteri di JPM.

Beliau berkata, ganjaran kepada prestasi tinggi bukan terhad kepada perkhidmatan kaunter atau soal hubungan terus dengan rakyat sebaliknya lebih luas, contohnya jabatan yang kutipan cukai meningkat, jabatan yang berjaya dalam banyak pendakwaan atau jabatan yang menghasilkan sesuatu yang luar biasa dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Ini semua terangkum dalam budaya prestasi tinggi yang saya harap kita dapat gubal satu sistem yang mana kita akan dapat memperkasakannya dalam pentadbiran awam dan kerajaan pada keseluruhannya," katanya.

Mengenai pegawai yang berada pada tahap sederhana, Najib berkata, ketua jabatan perlu menegur dengan baik dan berterus terang bahawa mutu kerjanya tidak sampai ke tahap yang boleh diterima supaya mereka berubah.

"Bukan bererti bahawa kita nak marah atau campak fail, tidak, jemput ke bilik dan terang kepada dia (bahawa) kerja saudara atau saudari tak sampai pada tahap kualiti yang dikehendaki," katanya.

Diplomat ke Mesir tingkat hubungan

Berita Harian

KUMPULAN Lapan Negara Islam Membangun (D-8) mencapai kata sepakat untuk menghantar dua diplomat muda dari setiap negara anggota ke Mesir bagi meningkatkan perhubungan dua hala seterusnya mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perkara itu antara beberapa hasil dicapai pada mesyuarat Sesi Ke-12 Menteri D-8 yang berlangsung di ibu negara, semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata bagi merealisasikan program pertukaran diplomat itu, Mesir bersetuju menjadi tuan rumah dan ia dijangka dilaksana awal tahun depan.

"Ini satu cadangan baik diutarakan pada mesyuarat hari ini (semalam). Secara asasnya, cadangan ini dilihat memperkukuhkan hubungan negara anggota," katanya pada sesi sidang media bersama Menteri D-8 di sini.

Dalam pada itu, Anifah berkata, wakil anggota D-8 turut berikrar berusaha keras bagi merealisasikan Pelan Tuju D-8 untuk kepentingan bersama.

Ditanya isu tenaga nuklear Iran, Anifah berkata, kumpulan anggota D-8 mengambil ketetapan tidak membincangkan perkara itu dalam mesyuarat berkenaan.

Guru berkelulusan ijazah diambil ajar prasekolah

Berita Harian

Pengajar terlatih pendidikan awal atasi masalah kuasai 3M

KERAJAAN akan mengambil guru berkelulusan ijazah untuk mengajar prasekolah pada masa depan dalam usaha menyediakan guru terlatih bagi pendidikan awal kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kementerian Pelajaran turut mengambil langkah menyediakan guru berijazah untuk semua sekolah rendah bagi mendidik murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Muhyiddin berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di kalangan pelajar.

"Ini satu pendekatan yang kita percaya boleh mengubah situasi pendidikan dalam negara untuk meningkatkan kualiti pembelajaran prasekolah dan sekolah rendah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Berikutan itu, Muhyiddin berkata, pengusaha prasekolah swasta juga perlu mematuhi kualiti guru yang disediakan di institusi masing-masing.

Katanya, pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa, termasuk mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap prasekolah sektor swasta bagi memastikan ia mematuhi dasar serta menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang dikuatkuasakan sejak 2003.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak berhasrat menyekat sebarang usaha penambahbaikan dilakukan pengusaha prasekolah swasta selagi ia tidak bercanggah dengan dasar," katanya.

Menjawab kekeliruan Dr Tan mengenai perbezaan antara pendidikan prasekolah dan Permata Negara, Muhyiddin berkata, Permata Negara adalah program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mereka memasuki prasekolah.

"Projek contoh sudah dijalankan di beberapa tempat di seluruh negara dan hasilnya memang baik, malah kementerian akan mengembangkannya secara berperingkat.

"Ini satu lagi cabaran besar kepada kementerian menyediakan tenaga pengajar terlatih bagi membimbing anak yang masih kecil, bukan saja untuk prasekolah tetapi juga pendidikan awal kerana mereka memerlukan bimbingan khusus," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) mengenai langkah menjadikan pendidikan prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah menetapkan prasekolah antara bidang keberhasilan utama Kementerian Pelajaran.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, strategi komprehensif dirancang, termasuk menambah baik kurikulum prasekolah dan cadangan 50 peratus waktu interaksi dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, sebanyak 4,194 kelas prasekolah baru akan dibina menjelang 2012.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan meningkatkan 67 peratus penyertaan kanak-kanak berumur lima tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta tahun ini kepada 87 peratus menjelang 2012.

01 November 2009

Cuepacs Cadang JPA Kaji Semula Gred Gaji Pemandu

PULAU PINANG, 31 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengkaji semula gred gaji pemandu di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan agar lebih sesuai dengan keadaan dan tuntutan semasa tugas mereka.

Presidennya Omar Osman berkata kedudukan gred gaji pemandu ketika ini dianggap tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa dan perlu disusun semula agar menjaga kebajikan lebih 25,000 penjawat awam itu.

Katanya Cuepacs berharap gred gaji R3 dan R6 untuk pemandu dapat dinaikkan masing-masing kepada R12 dan R14 serta mewujudkan gred baru iaitu R16 memandangkan tugas mereka berisiko tinggi dan melibatkan keselamatan nyawa penumpang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung dwi-tahunan Kesatuan Pemandu-pemandu Kementerian Kesihatan Semenanjung Malaysia (KPKKSM) kali ke-21 di sini pada Sabtu, beliau berkata dengan kenaikan gred itu kelak, gaji permulaan serta gaji mati bagi setiap gred akan lebih baik.

"R3 adalah gred bagi pemandu yang baru dilantik ke jawatan itu manakala R6 merupakan gred bagi kenaikan pangkat dalam skim pemandu ," katanya.

Ketika ini, gaji permulaan bagi pemandu pada gred R3 ialah sekitar RM647 dan gaji mati RM1,500 manakala bagi R6 kira-kira RM685 dan gaji mati sekitar RM1,700.

Omar berkata gred R16 pula perlu diwujudkan supaya pemandu berpeluang meningkatkan kerjaya mereka sehingga ke tahap penyelia.

Katanya Cuepacs mendapat aduan bahawa terdapat pemandu yang terpaksa menanggung sendiri kos kerosakan kereta jabatan sekiranya berlaku kemalangan, saman lalu lintas, bayaran tol atau kehilangan kenderaan itu.

"Sudahlah gaji mereka kecil, kumpulan pemandu ini juga tidak dilindungi insurans dan ini amat tidak sesuai dengan tugas dan keselamatan mereka. Mereka bukan sahaja menjaga nyawa dan keselamatan diri sendiri malahan pegawai atau kakitangan yang menggunakan kenderaan jabatan itu," katanya.

Beliau berkata Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan JPA pada 12 Nov ini dan isu kenaikan gred dan gaji pemandu merupakan antara perkara yang akan dibangkitkan.

Selain itu, katanya beberapa perkara lagi yang akan dipanjangkan kepada JPA ialah berkaitan cadangan mengurangkan faedah pinjaman perumahan kakitangan awam daripada empat peratus kepada satu peratus dan tambahan cuti bersalin bagi kakitangan wanita daripada 60 hari kepada 84 hari serta cuti bersalin bergaji penuh sehingga anak ketujuh.

Omar berkata Cuepacs juga memohon pertimbangan kerajaan agar bantuan khas RM500 yang diumumkan semasa pembentangan bajet 2010 baru-baru ini bukan sekadar melibatkan gred 41 hingga 54 serta pesara wajib sahaja , malahan dipanjangkan juga kepada pesara pilihan dan mereka yang memilih bersara berikutan proses penswastaan.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata Cuepacs berharap dapat menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat untuk membincangkan isu pemberian bonus dua bulan gaji kepada kakitangan awam.

Katanya beliau telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Ketua Setiausaha Negara dua malam lalu dan berhasrat membawa sendiri isu itu untuk perbincangan langsung dengan Perdana Menteri.

"Kita mahu menyampaikan sendiri hasrat ini kepada Perdana Menteri dan hendak mendengar amanat dan mandat beliau kepada kakitangan awam," katanya.

-- BERNAMA

KSN Terima Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam

PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam oleh Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada majlis konvokesyen kesembilan universiti itu Sabtu.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Canselor UNITAR Tun Rahah Mohd Noah sebagai menghargai jasa beliau dalam memartabatkan perkhidmatan awam.

Mohd Sidek dalam ucapannya berkata beliau berbangga dengan anugerah yang diberikan kerana ia adalah lambang pengiktirafan jasa dan sumbangan seluruh warga perkhidmatan awam yang telah bekerja dengan jujur, ikhlas dan bersungguh-sungguh.

"Saya rasa rendah hati dan kerdil kerana ia dimungkinkan oleh sumbangan sebegitu ramai dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran yang telah sama-sama memberi bantuan dan sokongan, kerjasama, nasihat dan bimbingan sama ada yang masih berkhidmat atau yang sudah bersara," katanya.

Mohd Sidek juga berkata perkhidmatan awam yang benar-benar cemerlang adalah apabila semua pelanggan mendapat layanan yang baik dan konsisten daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

"Perkhidmatan awam yang tidak membezakan siapa yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan, baik di Putrajaya, Lubuk Antu, Cherok Paloh atau dari mana sahaja...semua akan dilayan dengan prihatin, terhormat dan terbaik," kata beliau.

-- BERNAMA