Nasib kakitangan awam rendah diabai
Berita Harian
SEBAGAI kakitangan awam, saya ingin mewakili ramai penjawat awam memuji usaha Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mahu menunaikan janji kerajaan ke arah mewujudkan satu perkhidmatan cemerlang berteraskan pelanggan menerusi enam tugas utama yang sedang dan bakal dilaksanakan tahun ini.
Moto 'Satu Perkhidmatan Satu Penyampaian' memang baik dan perlu direalisasikan menerusi sikap kakitangan sendiri yang perlu berdedikasi, jujur dan amanah ketika bertugas, lebih-lebih lagi sewaktu berurusan dengan orang ramai.
Apa pun, saya seperti pekerja lain yang dikategorikan kakitangan sederhana dan bawahan memohon kerajaan agar memberikan beberapa pertimbangan adil dan saksama demi kebaikan bersama.
Dalam banyak hal, saya melihat banyak pengabaian berlaku kepada kakitangan awam.
Saya ingin pembaca melihat hampir 90 peratus kakitangan awam adalah golongan rendah dan sederhana dan mungkin juga boleh dikategorikan sebagai golongan susah lebih-lebih lagi tinggal di bandar besar dan dibebani pula dengan harga barang keperluan harian yang terus naik.
Dengan kos sara hidup yang sangat tinggi termasuk di pekan kecil, maka pendapatan kami kini hanya cukup makan dan terpaksa mengikat perut seminggu sebelum dapat gaji bulan berikutnya.
Untuk kaya jauh sekali namun, hati dan perasaan sebagai kakitangan awam agak terguris disebabkan banyak kekangan yang terus menghimpit kehidupan kami.
Dengan pendapatan cukup makan, kami tidak dibenarkan membuat kerja sambilan.
Ini terbukti apabila permohonan mendapatkan kelulusan majikan tidak diluluskan. Maka, kebanyakan mereka melakukan kerja sambilan selepas waktu pejabat tanpa kelulusan dan pengetahuan pegawai atasan.
Apakan daya, ini terpaksa dilakukan demi menjana dan menambah kewangan keluarga.
Lebih malang apabila ada di kalangan penjawat awam mendapatkan wang tambahan dengan mengamalkan rasuah dan menipu untuk hidup mewah.
Malangnya, kerajaan menafikan hak kakitangan awam yang ingin mencari rezeki secara bijaksana dan halal tanpa mengganggu urusan seharian.
Sebagai penjawat awam, kami juga tidak boleh mewariskan kerja ini kepada anak walaupun mereka berkelulusan.
Ia tidak seperti kerjaya Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang boleh mewariskan kerjaya mereka melalui rangkaian yang dibina.
Malah, lebih malang lagi peluang anak kami ke asrama penuh atau MRSM juga dinafikan hanya disebabkan kami kakitangan kerajaan peringkat bawahan.
Dalam hal ini, saya berasa kecewa kerana kami dianggap 'kaya' hanya kerana mempunyai 'slip gaji'.
Saya difahamkan permohonan ke asrama atau MRSM akan diperap dulu kepada pemohon yang mempunyai slip gaji berbanding yang bekerja sendiri. Dalam keadaan ini, apakah hak kami yang berpendapatan sederhana dan juga kakitangan sokongan lain.
Hari ini seorang yang bekerja sendiri seperti penoreh getah, bekerja di ladang kelapa sawit atau peraih boleh mendapat pendapatan RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.
Bayangkan gaji kakitangan awam sekitar RM2,000 sebulan dan tinggal pula di bandar besar serta mempunyai beberapa anak bersekolah? Nampak saja besar, tapi pendapatan itu sebenarnya tidak mencukupi.
Kami merayu agar diskriminasi ini dihentikan segera. Anak kakitangan awam patut diberikan juga hak mendapat tempat di pusat berkenaan.
Kami memohon Cuepacs supaya meneliti keperluan penambahbaikan kepada semua kakitangan awam yang seolah-olah hilang hak istimewa.
Banyak perkara boleh dilakukan Cuepacs dengan mendapatkan maklum balas daripada kakitangan rendah seperti kami.
TAGIH SAKSAMA,
Sungai Petani, Kedah.