05 May 2009

Calon cemerlang boleh dipertikai

Berita Harian


ANUGERAH Perkhidmatan Cemerlang (APC) untuk kakitangan awam pelbagai jabatan bagi 2008 sudah diumumkan, termasuk dari Jabatan Pelajaran. Saya terpanggil untuk menyuarakan masalah pemilihan calon untuk APC membabitkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Rompin, Pahang.

Saya dapati pemilihan calon guru cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini agak mengecewakan. Timbul rasa tidak puas hati kerana guru yang lama berkhidmat dan berkaliber tidak menerima anugerah, sebaliknya mereka yang baru berkhidmat mendapat pengiktirafan. Sudah tentu ia menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat guru.

Biasanya, pentadbiran peringkat sekolah akan mencalonkan beberapa guru yang berkemampuan dan berkelayakan. Namun dalam kes di PPD Rompin, didapati calon yang dihantar pihak sekolah tidak tersenarai sebagai penerima, sebaliknya PPD memilih calon pilihan mereka.


Keadaan ini sekiranya berterusan boleh melunturkan semangat guru yang benar-benar berdedikasi dicalonkan untuk pemilihan berkenaan.

Bagi mengatasi mengurangkan rungutan, PPD perlu lebih telus bagi pemilihan APC untuk tahun ini. Buatlah semakan semula dan berbincang dengan pihak sekolah sebelum pengumuman dibuat.


TERKILAN ROMPIN 09,
Temerloh, Pahang.

Kesesuaian bidang, PNGK asas pemilihan calon isi jawatan kosong

Berita Harian


SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) ingin merujuk kepada tulisan 'Insan Kecewa' dari Puchong, Selangor dalam ruangan ini, pada 29 April yang menyebut 'SPA Patut Utamakan Pekerja Pengalaman Isi Jawatan Kosong' dan juga tulisan 'Sedih' dari Kuala Lumpur dalam ruangan sama bertarikh 30 April 'SPA Tidak Utama Pekerja Kontrak'.

Bagi setiap urusan pengambilan untuk pengisian jawatan tertentu, SPA menerima permohonan yang begitu banyak berbanding kekosongan yang ada. Oleh itu, SPA boleh membuat pemilihan dengan memanggil calon terbaik untuk ditemuduga.

Dalam hal ini, kesesuaian bidang dengan jawatan dimohon dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) adalah satu daripada cara digunakan untuk menyenarai pendek calon yang akan panggil temu duga selepas menilai kelayakan akademik mereka.

Selain kesesuaian bidang dan PNGK yang digunakan dalam asas tapisan, kaedah peperiksaan juga diamalkan dalam tapisan ke atas 15 skim perkhidmatan tertentu. Semua calon yang layak akan dipanggil menduduki peperiksaan sebelum dipertimbang menghadiri temu duga.

Peperiksaan yang dilaksanakan SPA adalah untuk mengenalpasti profil calon yang terbaik dan bersesuaian dari aspek minat, personaliti, kecerdasan dan kemahiran selaras dengan kehendak skim perkhidmatan.

Justeru, pengalaman bekerja bukan bonus bagi calon untuk melepasi asas tapisan yang dikenakan untuk dipanggil temu duga. Ia tidak adil untuk calon lain yang tidak mempunyai pengalaman kerja. Namun, pengalaman kerja akan diambil kira apabila calon menghadiri temu duga dan sekiranya berjaya dilantik penyelarasan gaji akan dibuat berdasarkan kepada kesesuaian pekerjaan calon sebelum ini.

Dakwaan pengadu bahawa SPA hanya melantik calon berumur antara 23 hingga 25 tahun tidak berasas kerana had umur untuk memohon berkhidmat dengan sektor awam hendaklah berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup permohonan dan tidak melebihi 54 tahun pada tarikh lantikan.

Bagi calon dilantik secara kontrak melalui prinsip persaingan terbuka dalam data bank SPA, mereka diberi keutamaan untuk lantikan ke jawatan tetap apabila ada kekosongan.

Bagaimanapun, ada juga calon lantikan kontrak tidak menepati prinsip berkenaan di mana calon ini dikenal pasti pihak kementerian/Jabatan dan dilantik secara kontrak untuk keperluan tertentu.

Calon ini tidak melalui proses tapisan seperti biasa ketika mereka dilantik secara kontrak. Sekiranya berlaku kekosongan jawatan tetap, calon sedemikian perlu melalui proses sama seperti calon lain iaitu berdaftar dengan SPA dan cuma akan ditawarkan jawatan tetap sekiranya melepasi tapisan untuk dipanggil temu duga seterusnya menunjukkan prestasi memuaskan ketika peringkat temu duga.

Dengan cara ini, SPA dapat memastikan misi SPA iaitu memilih dan melantik anggota perkhidmatan awam yang berkualiti bagi memenuhi keperluan dan visi negara tercapai seterusnya mendukung prinsip adil dan saksama ketika menjalankan proses itu.

RADZIAH MOHD SHARIF,
Pegawai Perhubungan Awam SPA.

04 May 2009

Perkhidmatan Awam Disaran Terap Prinsip 6M Bagi Perkasa Perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Prinsip Musyaratah yang bermakna menepati syarat kejayaan yang menjadi sifat Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan amanah perlu dijadikan tanda aras oleh pemimpin perkhidmatan awam bagi memperkasakan perkhidmatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom ketika mengemukakan cadangan itu berkata, Musyaratah merupakan satu daripada enam prinsip dalam Islam yang boleh diaplikasikan dalam pentadbiran seharian.

"Dengan wawasan, pemikiran yang jelas dan melangkaui masa, sifat dan keterampilan baginda seharusnya dijadikan asas dalam mentadbir bagi menzahirkan perkhidmatan berkualiti.

"Prinsip Musyaratah menghendaki pemimpinnya mempunyai sifat-sifat unggul seterusnya berupaya menerajui organisasi ke arah kecemerlangan," katanya ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Integrasi: Isu dan Cabaran Dalam Perkhdimatan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, Isnin.

Jamil Khir berkata, prinsip dan pendekatan Islam lain yang boleh diaplikasikan dalam urusan pentadbiran awam ialah Mua'tabah yang bermakna mengikis sifat buruk, Mu'aqabah mengekalkan tindakan benar secara berterusan, Muroqobah mengawal diri secara berterusan, Muhasabah yang bererti menilai diri dan Mujahadah yang bermakna berusaha bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, jika Prinsip 6M tersebut dipenuhi beliau yakin pemimpin-pemimpin jabatan akan berupaya menerajui dan membawa organisasi ke arah kecemerlangan yang berpanjangan.

Memberikan prinsip Muroqobah atau mengawal diri secara berterusan sebagai contoh beliau berkata, pemimpin jabatan atau kakitangan perkhidmatan akan sentiasa mengawal tingkah laku dan tindakan supaya ketinggian martabat insan yang dianugerahkan Allah sentiasa terpelihara.

Secara tidak langsung ia akan membantu kita untuk mengawal tindakan dan perlakuan daripada tamak, terlalu kebendaan dan melanggar undang-undang yang mana kecenderungannya lebih ke arah kemusnahan, katanya.

Melalui prinsip Muhasabah diri, permasalahan seperti situasi di mana majikan atau pekerja menghadapi dilema dalam membuat penilaian, seringkali masalah keadilan, kejujuran dan maklumat yang tidak lengkap digunakan sebagai alasan untuk mempertahankan diri di samping menyalahkan pihak lain.

Jamil Khir berkata, melalui prinsip Islam masalah itu cukup mudah untuk diselesaikan kerana sekiranya pegawai dan kakitangan bawahan sanggup dengan ikhlas bermuhasabah serta menjauhkan diri daripada sifat-sifat hipokrit, maka organisasi akan dapat mengenal pasti sahsiah, keterampilan dan kewibawaan sebenar pegawai dan secara tidak langsung akan dapat meletakkan seseorang pegawai pada posisi yang sebetulnya.

Berikutan harapan yang tinggi diletakkan rakyat terhadap perkhidmatan awam Jamil Khir turut menyarankan prinsip Mujahadah iaitu berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan semua tugas.

Kerajaan dan orang ramai hanya inginkan penjawat awam dapat mempersiapkan diri dan berusaha bersungguh-sungguh supaya kehendak pengguna dapat dilaksanakan dengan berkesan, katanya.

Dalam ucapannya Jamil Khir turut berharap proses penambahbaikan akan terus berlaku dalam perkhidmatan awam di Malaysia kerana sebagai sebuah negara sedang membangun, negara memerlukan perkhidmatan awam yang dinamik yang mampu mengambil, menyerap dan memberi tindak balas kepada perubahan sekeliling supaya tidak ketinggalan dan yang lebih penting terus kekal relevan dalam arus perdana yang semakin kompleks dan mencabar.

Seminar selama dua hari yang bertujuan mendapatkan perspektif yang lebih jelas dan tepat berhubung konsep kepimpinan Islam dalam konteks perkhidmatan awam itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan anggota pentadbiran kerajaan.



-- BERNAMA

Penjawat Awam Terbaik Dihantar Melanjut Pelajaran

KUALA TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk menghantar pegawai-pegawai terbaik di kalangan penjawat awam di negeri ini bagi menyambung pelajaran dan mengikuti kursus di beberapa institusi tersohor di dalam dan luar negara.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata selain memberikan kebaikan kepada pegawai itu sendiri, ilmu yang diperoleh juga mampu meningkatkan prestasi dan mutu kerja dalam perkhidmatan awam di Terengganu.

"Selain beberapa universiti di dalam negara, kerajaan negeri juga bercadang untuk menghantar pegawai yang terbaik menyambung pelajaran dan berkursus di luar negara seperti di New Zealand, Australia dan Singapura," katanya dalam ucapan pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2009 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mokhtar Nong.

Ahmad berkata tempoh masa kursus atau menyambung pelajaran penjawat awam itu bergantung kepada keperluan iaitu antara satu dan dua tahun.

Beliau berkata hala tuju kerajaan negeri pada masa kini ialah untuk merakyatkan pentadbiran dan pembangunan dan sehubungan itu pendekatan ini perlu difahami secara total oleh semua pekerja sektor awam di negeri ini untuk menjayakannya.

Semangat merakyatkan pentadbiran dan pembangunan ini boleh dicapai sekiranya semua pekerja sektor awam sanggup menjadi ejen perubahan, sanggup menerima idea-idea baru dan sanggup memberi komitmen di luar skop tugas-tugas seharian, katanya.

Katanya, sebagai jentera kerajaan dan barisan hadapan dalam kerajaan, pekerja sektor awam perlu berkhidmat dengan berkesan dan tidak mengundang kritikan yang negatif serta cemuhan daripada rakyat kerana ia akan dilihat sebagai satu kelemahan.

"Kelemahan pekerja kerajaan akan diterjemahkan oleh rakyat sebagai kelemahan kerajaan dan kerajaan yang lemah akan dihukum rakyat semasa pilihan raya umum," tambahnya.

Seramai 18 orang penjawat awam dalam semua sektor dianugerahkan Sijil Pekerja Cemerlang pada majlis tersebut.

-- BERNAMA