11 September 2009

KSN: Segelintir sahaja yang berpolitik

M'Kini

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan mengakui bahawa terdapat elemen-elemen dalam perkhidmatan awam yang terpengaruh dengan politik ketika menjalankan tugas mereka.

"Saya tidak menafikannya," kata Sidek ketika menjawab soalan Malaysiakini dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya selasa lalu.

Namun begitu, beliau berkata, sebahagian besar kakitangan kerajaan sentiasa menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

Beliau juga memuji pertubuhan media yang melaporkan tentang masalah dalam perkhidmatan awam dan menggalakkan mereka untuk terus berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, penghargaan juga harus diberikan kepada mereka yang layak menerimanya.

Beliau juga berharap media alternatif turut menghargai sumbangan majoriti kakitangan awam yang telah menjalankan tugas mereka dengan baik.

Dalam wawancara tersebut, Sidek turut menjawab soalan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan awam, terutama mengenai soal kecekapan dan masalah rasuah.

09 September 2009

Cuepacs Berterima Kasih Kepada Kerajaan Atas Bantuan Khas Kewangan

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam kumpulan sokongan seperti yang diumumkan Rabu.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu tetapi kami juga kecewa kerana menjangkakan sebulan bonus kepada semua penjawat awam," kata setiausaha agungnya Ahmad Shah Mohd Zin ketika dihubungi.

Beliau berharap kerajaan akan menggantikannya dengan bonus yang lebih tinggi tahun depan.

Kira-kira 860,000 penjawat awam akan menerima bayaran khas kewangan itu yang akan dibuat sebanyak dua kali iaitu RM250 dibayar sebelum Aidilfitri manakala bakinya pada Disember.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian khas itu yang dibuat selepas mengambil kira kebajikan penjawat awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persekolahn akhir tahun ini.

Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran itu adalah sebanyak RM430 juta.



-- BERNAMA

06 September 2009

Kerajaan kaji bonus kakitangan awam

KSN bincang dengan Cuepacs untuk tindakan lanjut

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedang berbincang dengan Cuepacs mengenai tuntutan bayaran bonus untuk kakitangan awam pada tahun ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sedang dalam perundingan mengenai perkara itu.

"Tunggulah...KSN tengah berbincang dengan Cuepacs," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di di Batu 2 1/2 Jalan Cheras kira-kira setengah jam, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman percaya kerajaan akan memberi keputusan positif mengenai bonus atau wang sagu hati kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam untuk tahun ini.

Beliau berkata, Cuepacs berharap bonus kali ini dibayar sebelum Aidilfitri.

Katanya, pihaknya sudah menghantar surat mengenai tuntutan bonus itu baru-baru ini kepada Najib untuk mendapatkan pertimbangan sewajarnya.

"Kita belum mendapat reaksi balas mengenai perkara itu tetapi Cuepacs berharap kerajaan tidak mengecewakan harapan 1.2 juta kakitangan awam terutama bagi mereka yang berada dalam Kumpulan Sokongan Satu dan Dua yang amat mengharapkan sedikit sumbangan untuk persediaan menyambut Aidilfitri.

"Cuepacs tidak memaksa...terserah kepada kerajaan berapa jumlah sanggup dibayar (bonus atau sagu hari). Yang penting kita (kakitangan awam) dapat menikmatinya dan kalau dibayar sebelum raya lagi bagus," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tahun lalu, setiap kakitangan kerajaan menerima bonus sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000.

Omar berkata, Majlis Tertinggi Cuepacs akan bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan lebih lanjut mengenai permintaan bonus atau sagu hati tahun ini.