Menteri, Timbalan Dan KSU Digalak Wujud Blog
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Menteri, Timbalan Menteri serta Ketua Setiausaha (KSU) kementerian digalakkan supaya mewujudkan blog persendirian bagi membolehkan rakyat mengemukakan sebarang pendapat, pandangan dan kritikan secara terus.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata dengan adanya blog itu, ia juga memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi secara terus dengan menteri, timbalan dan KSU.
"Oleh itu para menteri digalakkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mempunyai laman web sendiri atau blog yang boleh diwujudkan sedemikian rupa agar seseorang pemimpin itu dapat berinteraksi dengan lebih pantas lagi dan lebih menjangkau lagi berbanding keadaan sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sijil penghargaan Pertandingan mencipta lagu 1Malaysia di sini Khamis.
Dr Rais juga berkata pada masa ini masih terdapat segelintir menteri, timbalan atau KSU yang tidak mempunyai blog atau laman web sendiri dan hanya bergantung kepada e-mail.
Dalam usaha membangunkan blog bagi menteri, timbalan dan KSU, beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberikan bantuan serta panduan dalam merangka bentuk blog-blog yang sesuai.
Selain itu katanya pembinaan blog untuk para menteri, timbalan dan KSU juga merupakan peluang untuk kedua-dua pihak iaitu dari pihak pemimpin dan rakyat untuk berinteraksi secara peribadi atau secara telus.
"Zaman menteri-menteri menerima pandangan daripada orang ramai secara kritis sudah sampai. Jadi kalau tidak diubah pendekatan, kita mungkin tidak setimpal dengan perubahan zaman," katanya.
Terdahulu, para pencipta lagu dan penulis lirik bagi enam buah lagu yang terpilih untuk dimainkan pada hari Kemerdekaan 31 Ogos ini, masing-masing menerima sijil penghargaan serta cek bernilai RM8,000 bagi sebuah lagu kecuali dua buah lagu yang dicipta oleh bahagian Perkhidmatan Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang hanya menerima sijil penghargaan.
-- BERNAMA