Habuan pencen RM9b
PUTRAJAYA 24 Dis. - Kerajaan akan membelanjakan RM9 bilion termasuk peruntukan tambahan RM1.3 bilion pada tahun depan bagi melaksanakan beberapa dasar baru skim pencen kakitangan awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Yeow Chin Kiong berkata, selaras perubahan dasar tersebut, seramai 590,000 pesara dan penerima pencen terbitan akan menikmati kenaikan kadar pembayaran pencen sehingga 71.4 peratus mulai bulan depan.
Menurutnya, dasar baru yang ditunggu-tunggu oleh kakitangan awam sejak 28 tahun itu, antara lain, membabitkan pengiraan pencen sehingga maksimum 30 tahun tempoh perkhidmatan berbanding sekarang 25 tahun, pemansuhan penyusutan pencen terbitan kepada 70 peratus serta pemansuhan syarat pemastautinan dan ex-gratia terbitan.
‘‘Kita di ambang perubahan besar dasar persaraan dan pencen yang telah ditunggu sejak sekian lama dan kerajaan lakukannya dengan mengambil kira aspek kemampuan kewangan.
‘‘Jadi kita betul-betul kena berterima kasih kepada kerajaan kerana ini melibatkan kakitangan yang sedang berkhidmat dan pesara yang masih hidup serta balu atau duda,” katanya kepada pemberita pada sesi penjelasan opsyen semula skim pencen dan ex-gratia terbitan di sini hari ini.
Perdana Menteri dalam majlis-majlis berasingan antara Mei hingga November lalu mengumumkan beberapa dasar baru persaraan dan pencen seperti meningkatkan umur persaraan kepada 58 tahun, menaikkan kadar pencen pesara berpendapatan rendah kepada RM720 sebulan dan pemansuhan penyusutan pencen terbitan 70 peratus selepas 12 tahun setengah.
Abdullah turut mengumumkan keputusan kerajaan membenarkan kakitangan awam yang memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kembali kepada skim pencen dan pemberian ex-gratia terbitan kepada ibu bapa kakitangan awam bujang yang meninggal dunia dalam perkhidmatan.
Menurut Chin Kiong, penambahbaikan skim pencen tersebut dapat dilakukan setelah kerajaan mampu melakukan penjimatan sehingga RM1.9 bilion melalui dasar meningkatkan umur persaraan kepada 58 tahun.
‘‘Ini berikutan sebanyak 15,000 kakitangan dijangka tidak akan bersara tahun depan melalui dasar persaraan baru itu selain penjimatan membabitkan pembayaran gratuiti yang perlu dianjakkan sehingga pekerja tersebut bersara,” katanya.
Beliau menjelaskan, peningkatan peruntukan perbelanjaan faedah persaraan yang pada tahun ini sahaja memakan belanja RM7.6 bilion tidak perlu dibimbangi kerana berdasarkan trend, ia tidak melebihi kadar dua peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak tahun 2000.
Dalam pada itu, beliau berkata, surat pekeliling bagi penukaran semula opsyen KWSP kepada skim pencen berkuat kuasa 1 Februari depan dikeluarkan hari ini kepada 66,733 kakitangan awam terlibat setelah dasar baru tersebut diluluskan oleh Dewan Negara semalam.
Katanya, kebanyakan mereka yang terbabit adalah kalangan guru dan kakitangan perubatan.
‘‘Sebenarnya permintaan menukar opsyen itu adalah kesan daripada beberapa perubahan dasar baru persaraan dan pencen yang dilaksanakan oleh kerajaan.
‘‘Saya rasa separuh daripada mereka akan kembali kepada opsyen pencen tetapi jumlah sebenarnya hanya akan diketahui pada akhir Januari tahun depan,” jelasnya.