05 April 2010

Kenaikan Gaji: Cabaran Kepada Sektor Awam

MStar

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan cadangan kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam jika mereka berjaya meningkatkan produktiviti adalah cabaran kepada sektor awam.

Presidennya Cuepacs, Omar Osman berkata, jika semua kakitangan awam di negara ini sanggup meningkatkan produktiviti, tidak mustahil mereka akan merasai ganjaran baru daripada kerajaan.

"Integriti dan disiplin sebagai penjawat awan adalah kunci untuk merasai kenaikan itu dan ia sejajar dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan baru-baru ini," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang berkata, gaji kakitangan awam boleh dinaikkan tetapi dengan syarat semua penjawat awam mesti meningkatkan produktiviti kerja mereka dan menyokong inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara ekonomi berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata, selagi produktiviti negara meningkat, gaji kakitangan awam akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.

Kata Omar, kesungguhan sektor awam dalam meningkatkan produktiviti kerja bukan sahaja memberi pulangan kepada mereka malah menaikkan taraf ekonomi dan pendapatan negara.

"Kenaikan perlu setanding dengan negara luar tetapi sebelum itu pendapatan negara mestilah melebihi daripada apa yang ada sekarang untuk meningkatkan gaji penjawat.

"Jika taraf ekonomi kita baik dan menjana pendapatan yang banyak ia akan memberi faedah kepada semua penjawat awam. Namun sebaliknya jika ekonomi negara tidak kukuh, bagaimana kerajaan ingin menaikkan gaji mereka," ujarnya.

Ujarnya, jika kerajaan bersungguh-sungguh untuk menaikkan gaji kira-kira 1.2 juta penjawat awam, perhatian terhadap isu seperti mengenai rasuah, jenayah kolar putih, pecah amanah dalam sektor awam harus dibanteras.

"Teori kenaikan gaji itu sudah cantik, tetapi persoalannya di sini adalah mengenai mekanisme untuk melaksanakan perkara itu supaya semua penjawat awam lebih produktif dalam melakukan kerja.

Sementara itu, Omar turut menyarankan agara kakitangan awam diberi pemahaman tentang Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana tidak ramai yang memahami mengenai perkara tersebut.

"Taklimat yang lebih jelas tentang GST perlu kepada semua kakitangan awam kerana tidak ramai yang memahami mengenai perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau meberitahu pihaknya sedang berusaha giat untuk memastikan semua penjawat awam memahami mengenai perkara itu demi kepentingan mereka.

Pakar perubatan senior tercicir kenaikan pangkat

Berita Harian

SAYA ialah pegawai perubatan pakar yang bertugas di beberapa hospital kerajaan termasuk di Sarawak. Perkhidmatan saya sudah memasuki tahun ke-17 dan kini di gred hakiki UD52.

Pengumuman Perdana Menteri dua minggu lalu mengenai kenaikan ke UD54 bagi pegawai perubatan pakar dan bukan pakar yang berkhidmat antara sembilan hingga 12 tahun amat menggembirakan hati.

Tradisinya apabila ada pengumuman sedemikian, proses kenaikan dimulakan dengan pegawai perubatan pakar dan bukan pakar lebih senior. Pada waktu itu saya berasakan mempunyai peluang baik untuk menjadi pegawai perubatan pakar yang menerima kenaikan bersama rakan seangkatan dan rakan senior lain.

Malangnya apabila senarai pegawai perubatan pakar dan bukan pakar yang menerima kenaikan pangkat ke UD54 (tanpa melalui PTK dan pemangkuan seperti selalu) keluar, keputusannya amat memeranjatkan.

Nama yang tersenarai ialah pegawai perubatan pakar dan bukan pakar junior. Bagi yang pakar, nama tersenarai adalah yang baru diwartakan kurang tiga tahun. Bagi pegawai perubatan bukan pakar, nama yang tersenarai adalah pegawai yang sudah berkhidmat 12 tahun seperti diumumkan.

Pakar yang berkhidmat lebih 15 tahun langsung tiada. Pegawai perubatan bukan pakar yang berkhidmat lebih 20 tahun juga tidak tersenarai.

Apabila perkara ini dikemukakan ke beberapa pegawai di Kementerian Kesihatan, pelbagai versi jawapan diterima tapi tiada suatu pun yang betul-betul menjawab soalan kami kenapa bukan kami dulu yang naik seperti tradisi terdahulu? Kami diberitahu kenaikan kami menyusul kemudian. Melihat keadaan sekarang, pegawai perubatan senior akan hilang kekananan kepada pegawai perubatan junior. Di mana keadilannya?

Seminggu sudah berlalu, isu ini tidak habis diperkatakan. Rasa sedih, terkilan, marah dan teraniaya menyelubungi perasaan kami pegawai senior.
Rasa ketidakadilan dan teraniaya dengan keadaan yang berlaku. Tambah memburukkan keadaan apabila ada pegawai yang masih bercuti tanpa gaji kerana mengikut suami juga menerima kenaikan ini.

Saya dan pegawai perubatan pakar dan bukan pakar senior amat mengharapkan Kementerian Kesihatan menganalisis keadaan ini serta-merta agar kami tidak terus berasa demoralised.

DOKTOR TERCICIR,

Sokong GST jika mahu gaji lebih baik

Gaji penjawat awam boleh dinaikkan dengan syarat 1.2 juta penjawat awam meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata selagi produktiviti meningkat, gaji mereka akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.

"Gaji mereka akan diselaraskan mengikut perkembangan. Apa yang penting ialah dengan pengukuhan ekonomi, perolehan kerajaan juga meningkat," kata beliau dalam program "Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri” yang disiarkan Bernama TV.

Najib, yang juga menteri kewangan, turut menegaskan mengenai kepentingan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai satu daripada cara meningkatkan hasil kerajaan.

"Itulah sebabnya GST amat penting. Rakyat mahukan gaji yang lebih tinggi tetapi tidak mahu menyokong GST. Saya memerlukan sokongan 1.2 juta penjawat awam. Sekiranya anda mahu dibayar gaji yang lebih baik di masa depan, saya perlu mengukuhkan asas perolehan kerajaan kerana kalau tidak, dari mana saya akan dapat wang untuk membayar penjawat awam?," katanya.

Beliau berkata dengan mendapat sokongan daripada semua penjawat awam, akan membolehkan kerajaan melakukan yang lebih baik untuk semua rakyat.

Najib bagaimanapun menolak tanggapan bahawa kerajaan tunduk kepada tekanan politik berikutan perubahan fikiran dilihat dalam pelaksanaan GST dan peraturan dua harga petrol, dengan menyatakan lebih banyak masa diperlukan untuk sokongan dan kepercayaan rakyat bagi inisiatif itu.

Beliau berkata pembangkang telah memutar belitkan fakta berhubung cadangan GST yang menyebabkan kerajaan memerlukan masa untuk
menjelaskan kepada rakyat kerana ia adalah sesuatu yang baik untuk rakyat bagi jangka masa panjang.

Jadi kita bukan mengambil keputusan untuk menghentikannya tetapi untuk menangguhkannya sehingga projek itu mendapat lebih penerimaan umum.,” katanya.

Mengenai penstrukturan semula subsidi dua harga petrol, beliau berkata ia merupakan sistem yang amat kompleks dan tidak berbaloi, tetapi “kita akan tetap mengurangkan subsidi. Cuma akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana kerajaan tidak mahu membebankan rakyat.”

“Jadi, ia akan dilaksanakan dengan teratur dan berhati-hati,” kata Najib.

Kepada soalan yang ia mungkin dilaksanakan selepas pilihanraya umum, Najib yang ketawa mendengarnya berkata: “Tentunya akan ada yang sinis

dan skeptikal tetapi ia harus dihadapi sebagai cabaran dan kita perlu membuktikan yang mereka salah.”

Model ekonomi baru

Mengenai bagaimana beliau merancang untuk menyelaras objektif Model Ekonomi Baru (MEB) bagi mencapai ekonomi nilai tinggi dan
memastikan kos rendah, Najib berkata dengan MEB, ia boleh mewujudkan Malaysia sebagai ekonomi yang inovatif, dipacu oleh kebijaksanaan dan bakat yang baik.

Mengenai saranan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya Bumiputera memiliki 67 peratus daripada kekayaan ekonomi negara,

perdana menteri berkata kedudukan bumiputera yang masih tidak mencapai taraf yang sepatutnya bermakna kerajaan harus meneruskan tindakan afirmatif tetapi pada masa yang sama memperbetulkan kelemahan yang jelas kelihatan dalam pelaksanaan sebelumnya.

"Jadi apa yang ingin saya katakan ialah, kita tidak sepatutnya terlalu taksub dengan satu pandangan tetapi biarlah kita melihat dengan cara yang akanmemberikan perasaan bersatu sebagai satu negara dan satu masyarakat," katanya.

Mengenai keraguan terhadap tender terbuka dan sama ada ia benar-benar telus, Najib berkata melalui inisiatif baru, ia akan telus memandangkan orang ramai akan dapat melihat syarikat mana yang gagal dan yang mana akan mendapat bida itu serta harga bidaan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini.

"Jadi, rakyat boleh mengkritik kerajaan jika mereka merasakan proses itu tidak adil," kata Najib, yang genap setahun menjadi perdana menteri pada 3 April.

Pakej rangsangan

Menurut perdana menteri lagi, penekanan terhadap sistem penyampaian sektor awam yang lebih efisien dalam melaksanakan pakej rangsangan

berjumlah RM67 bilion penting bagi membawa dengan segera ekonomi Malaysia keluar daripada kelembapan selepas terjejas dengan kemelesetan ekonomi dunia tahun lepas.

“Ini kerana pakej rangsangan bukan sahaja berjalan lancar tetapi disampaikan ke akar umbi. Beratus dan beribu projek, besar dan kecil telah dilaksanakan,” katanya.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.5 peratus pada suku terakhir tahun lepas daripada pertumbuhan negatif 6.2 peratus apabila pakej rangsangan berkenaan mula dilancarkan pada Mac 2009.

Sistem penyampaian awam ditingkatkan dengan penubuhan Unit Pengurusan Projek di bawah Kementerian Kewangan bagi memastikan program dan projek dilaksanakan secara efisien bagi memastikan kesan maksimum terhadap ekonomi.

“Ini adalah petunjuk yang jelas dan satu manifestasi kejayaan pentadbiran kerajaan termasuk penjawat awam yang telah bekerja keras untuk mengagihkan pakej rangsangan,” kata beliau.

Menjawab soalan mengenai kenapa pasaran bercampur-campur dan kurang memberangsangkan kepada MEB yang diumumkan baru-baru ini, beliau berkata:”Pasaran selalu mengabaikan apa-apa pengumuman yang dibuat, memandangkan mereka mahu melihat butir-butir secara khusus, penanda aras, tempoh waktu dan peruntukan, insentif.”

Najib berkata peruntukan khusus akan disediakan untuk aktiviti ekonomi utama negara yang akan dipromosikan apabila belanjawan 2011 dibentangkan pada 15 Oktober tahun ini.

Beliau berkata MEB telah diumumkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di mana selepas pengumuman pada 31 Mac, ia akan digabungkan Rancangan Malaysia Ke-10 yang akan dilancarkan pada 10 Jun dan butiran lanjut akan diketahui pada Ogos.

Kerjasama dengan pembangkang

Semasa ditanya sama ada kerajaan persekutuan bersedia bekerjasama dengan pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai mereka untuk

pembangunan masyarakat, beliau berkata: “Apabila kita mendapat persetujuan bersama, kita tidak ada masalah untuk melaksanakannya untuk masyarakat dan pada asasnya kita mahu berlaku adil.”

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan projek di negeri-negeri di mana BN mengalami kekalahan seperti sekolah, klinik dan termasuk klinik 1Malaysia.

Najib berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang memberhentikan pekerja tempatan tanpa gaji pemberhentian kepada mereka atau menggaji pekerja asing dan mengabaikan warga tempatan.

“Majikan di negara ini perlu mencuba sebaik mungkin untuk mengambil pekerja tempatan agar guna tenaga kerja stabil dan kita tidak terlalu
bergantung kepada pekerja asing ,” katanya.

Mengenai pengangguran di Malaysia, beliau berkata ia kira-kira 3.6 peratus yang dianggap tiada pengangguran “kerana jika dilihat kita mempunyai 2.2 juta pekerja asing jemputan dan satu juta lagi secara tanpa izin.”

Pelaburan langsung asing

Perdana menteri juga berjanji akan melaksanakan dasar bagi memastikan persekitaran pelaburan Malaysia kekal sesuai dan kompetif untuk menarik

pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata negara akan menjadi lebih responsif kepada keperluan pelabur asing serta pelabur dalam negara terutamanya dengan persaingan sengit di pasaran antarabangsa.

"Kita menyedari persekitaran ekonomi telah berubah. Akan terdapat lebih banyak ekonomi baharu muncul yang menawarkan kos buruh yang lebih menarik dan rendah daripada kita dan ada di antaranya merupakan pasaran yang besar."

“Dunia sekarang berbeza daripada tahun 80an dan 90an. Malaysia perlu bersaing dengan lebih banyak negara dan mereka akan mendapati China adalah pasaran yang besar dan lebih baik untuk pelaburan. Tetapi saya yakin kita akan dapat menarik bahagian kita dalam FDI tahun ini dan tahun depan," katanya.

"Kita harus membuat pasaran teruja dengan reformasi kita,” kata beliau.

“Seluruh dunia merana tahun lepas dan keadaan kita yang tidak sebegitu teruk terjejas, pada pendapat saya menunjukkan tahap keyakinan terhadap

Malaysia dan bahawa tahun ini akan menjadi lebih baik," kata Najib.
.
Beliau berkata adalah sukar untuk mengekalkan aliran masuk pelaburan pada tahun lepas berikutan kelembapan ekonomi dunia dan bukan kerana tidak lagi kompetitif untuk menarik FDI.

Najib mengumumkan MEB pada hari Selasa yang bertujuan menjadikan Malaysia lebih kompetitif di rantau ini dan dunia bagi meningkatkan pendapatan perkapita negara kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad daripada AS$7,000 sekarang ini.

Mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan, Najib berkata bilangan pemohon yang diterima daripada bank-bank asing mula menambah kepada aliran masuk pelaburan dalam industri perkhidmatan kewangan.

Perdana menteri berkata kerajaan sedang memproses permohonan daripada dua bank Islam mega dari India dan Timur Tengah dengan modal berbayar sebanyak AS$1 bilion setiap satu.

"Terdapat perkara menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Pada November 2009, Kementerian Kewangan meluluskan pengeluaran lesen bank komersil kepada Industrial and Commercial Bank of China Ltd (ICBC).

Mengenai industri halal, Najib berkata inisiatif kerajaan berkemungkinan memastikan Malaysia di hadapan negara lain yang mengambil bahagian dalam industri yang semakin berkembang ini seperti Argentina, Australia dan Brazil.

Beliau berkata jenama halal negara, atas inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai integriti dan reputasi yang kukuh.

"Kita sedang mempromosikan hab halal Malaysia tetapi kita perlu mempunyai jalinan dengan negara-negara lain jika kita mahu mengeksport

makanan halal memandangkan pengimport bersih makanan,” katanya.

Slogan 1Malaysia

Mengenai 1Malaysia, perdana menteri berkata dakwaan kononnya slogan 1Malaysia datangnya dari negara luar termasuk Israel adalah fitnah pembangkang semata-mata.

Najib berkata beliau berbincang dengan beberapa rakannya setelah menyedarikan amat pentingnya usaha baru ke arah penyatuan rakyat.

"Saya bincang dengan beberapa teman saya sebab saya kata amat penting bagi kita untuk membuat suatu usaha baru ke arah perpaduan nasional ini sebagai penyatuan.

"Jadi saya selalu menjemput pelbagai kumpulan untuk mengadakan percambahan fikiran dan apabila saya mengariskan perkara ini, bila kita lakukan
percambahan minda, timbullah idea Gagasan 1Malaysia ini," katanya.

Najib berkata dakwaan pembangkang itu bertujuan merosakkan atau mencemar gagasan itu setelah idea itu semakin hebat diterima rakyat.

"Mereka (pembangkang) tak berani serang Gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikannya, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar.

"Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali," katanya merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata kemuncak kepada penghayatan Gagasan 1Malaysia ialah apabila ia membawa keuntungan strategik kepada rakyat dan negara.

"Kemuncak kepada segala-galanya ialah apabila kita dapat meraikan kepelbagaian itu sebagai satu yang aset kepada negara," katanya.

Menurutnya Gagasan 1Malaysia meletakkan kepentingan rakyat di atas segala kepentingan lain dan mengutamakan keberkesanan serta keberhasilan sesuatu program yang dirancang.

"Outcome itu lebih penting daripada output," katanya.

Najib berkata kefahaman rakyat terhadap Gagasan 1Malaysia semakin meningkat apabila banyak badan korporat menggunakan 1Malaysia sebagai simbol dalam logo mereka.

"Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa," kata Perdana Menteri.

Mengenai halangan terhadap Gagasan 1Malaysia, Perdana Menteri berkata ia lebih kepada golongan yang masih memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan.

"Kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam pekarangan masjid dan sebagainya.

"Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrim dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrim itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia," kata Najib.

Ditanya perasaannya selepas setahun menjadi perdana menteri, Najib berkata masa setahun berlalu terlalu cepat dan beliau merasakan seolah-olah "baru semalam saya mulakan tugas".

Menurutnya ia mungkin kerana beliau sangat sibuk sepanjang masa dan banyak program yang diperkenalkan dalam masa yang singkat.

"Saya bersyukur dalam tempoh setahun ini, kita dapat memperkenalkan banyak inisiatif baru yang memberi hasil memuaskan dan mungkin sedikit sebanyak rakyat bertambah yakin kepada kerajaan," katanya.

Perlindungan insurans motor

Sementara itu, perdana menteri berkata, Bank Negara Malaysia perlu mengambil kira masalah rakyat apabila mencadangkan perlindungan insurans motor asas yang baru bagi kecederaan anggota dan kematian pihak ketiga, sama seperti membuat dasar yang lain.

Katanya, bank pusat perlu mengadakan rundingan dengan persatuan-persatuan, kumpulan pengguna dan orang ramai bagi menyelesaikan segala isu sebelum melaksanakan dasar baru yang dikenali sebagai skim bagi kecederaan anggota dan kematian pihak ketiga (TPBID).

Baru-baru ini dilaporkan bahawa terdapat rancangan mengehadkan tuntutan insurans motor pihak ketiga kepada RM100,000, termasuk untuk penghospitalan, pemulihan, kesakitan, kesengsaraan, kerugian pendapatan dan pendapatan masa depan.

Sumber industri menyebut ia akan melibatkan jutaan orang biasa yang terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, Bank Negara berkata skim ini masih di peringkat cadangan dan ia akan mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan bulan depan sebelum mengemukakannya kepada kerajaan.

“Saya akan memaklumkan kepada Bank Negara yang mereka perlu berunding dengan persatuan dan kumpulan pengguna,” katanya.

“Sekiranya terdapat perubahan, kerajaan akan berunding dengan semua mereka yang berkepentingan dan bukan hanya syarikat insurans tetapi juga kumpulan pengguna,” katanya.

Najib berkata, industri insurans motor perlu melalui perubahan memandangkan ia merupakan perniagaan yang merugikan dari segi kutipan premium dan pembayaran.

“Ia adalah defisit yang serius. Apa yang terjadi ialah peserta menggunakan keuntungan daripada produk insurans lain terutamanya insurans hayat untuk mensubsidi insurans motor,” katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2010, kerajaan mengumumkan keperluan menyediakan perlindungan insurans motor asas untuk TPBID, pada premium yang munasabah yang setara dengan paras perlindungan yang disediakan.

Sumber memberitahu Bernama bahawa beberapa cadangan perubahan di dalam TPBID adalah drastik. Jika seorang bapa berusia 56 dan bersara dan meninggal dunia dalam kemalangan, anak-anaknya tidak boleh membuat tuntutan kehilangan sara hidup memandangkan Akta berkenaan hanya bagi ganti rugi mereka yang bekerja sehingga umur 55 tahun.

Begitu juga dalam hal jika seorang anak yang bakal menamatkan pengajian dari universiti meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sebelum bekerja, keluar tidak akan mendapat apa-apa, katanya.

Beliau menyatakan rasa kecewa kerana TPBID dilihat diadakan secara tergesa-gesa tanpa rundingan dan ini tidak memberi keyakinan terutama apabila syarikat berasingan baru akan menguruskan skim yang dicadangkan.

- Bernama

04 April 2010

Lebih Banyak Jururawat Berijazah Di Hospital-Hospital Awam, Kata Liow

Oleh Alan Ting

PUTRAJAYA, 4 April (Bernama) -- Perkhidmatan perubatan di Malaysia sedang mengalami satu perubahan dengan perkhidmatan yang lebih baik terutama di wad-wad klinikal berikutan lebih banyak jururawat berijazah diambil untuk berkhidmat di tempat-tempat itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melahirkan kira-kira 2,000 jururawat berijazah setahun melalui Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan dari universiti awam dan swasta.

"Di peringkat kementerian, kami mampu melatih 8,000 orang di kolej dan sekolah-sekolah kejururawatan tetapi sekolah dan kolej ini tidak menawarkan kursus peringkat ijazah. Oleh itu, pada masa ini, kami sedang bekerjasama dengan universiti awam dan swasta untuk melatih lebih ramai jururawat.

"Dengan ini, kami berharap lebih ramai jururawat berijazah dapat dilahirkan dalam usaha kami untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, terutama di bidang klinikal," katanya kepada Bernama.

Liow berkata dengan adanya lebih ramai jururawat berijazah, ia membolehkan kementerian untuk meletakkan mereka di wad-wad klinikal.

"Sekarang kami mahu jururawat klinikal, berkhidmat di wad-wad klinikal, bagi mempertingkatkan perkhidmatan. Untuk melakukannya, kami juga sedang dalam proses untuk melaraskan gred bagi jururawat yang ada di bawah Kementerian Kesihatan agar setanding dengan jururawat berijazah yang baru menyertai perkhidmatan di bawah skala gaji U41," katanya.

Liow menjelaskan bahawa 19 Sekolah dan Kolej Kejururawatan di bawah Kementerian Kesihatan hanya menawarkan kursus sehingga ke peringkat diploma dan mereka menyertai perkhidmatan dengan gred U29.

"Sebelum ini, walaupun selepas para jururawat ini dapat melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah dan menjadi jururawat berijazah, mereka hanya boleh dinaikkan ke U32, lebih rendah daripada jururawat berijazah yang baru yang akan diletakkan serta merta di bawah gred U41.

"Kami telah melaraskan tangga gaji mereka supaya jururawat ini yang menyertai perkhidmatan di bawah U29, sebaik mereka menjadi jururawat berijazah, mereka akan diletakkan di bawah tangga gaji lebih tinggi pada U42," katanya.

Pada masa ini, tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menawarkan ijazah kejururawatan, melahirkan 413 jururawat berijazah setiap tahun manakala 13 universiti swasta juga menawarkan ijazah sarjana muda dalam kejururawatan dengan jumlah pengambilan 1,760 pelajar.

Jumlah pengambilan bagi universiti awam dan swasta ialah 2,173 pelajar.

Liow berkata terdapat dua jenis pengambilan bagi jururawat berijazah dalam perkhidmatan perubatan, iaitu bagi jururawat terlatih di bawah gred U29, U32 dan U36 bagi lulusan dengan diploma dan dengan pengalaman bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun yang akan diletakkan pada gred U42.

Pengambilan lain ialah bagi mereka dengan kelulusan Sijil Tingi Pelaran Malaysia (STPM) atau program matrikulasi yang akan menjalani kursus empat tahun dan sebaik tamat, akan diletakkan di bawah gred U41.

Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan merupakan ijazah akademik empat tahun dalam bidang prinsip dan sains kejururawatan, dari sebuah universiti pendidikan tinggi atau sekolah yang diberikan tauliah yang sama.

Walaupun seseorang itu layak untuk menduduki peperiksaan berlesen untuk menjadi seorang jururawat berdaftar selepas lulus dari satu program dua tahun dengan ijazah bersekutu atau daripada satu program kejururawatan empat tahun dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan, ijazah itu menyediakan jururawat untuk memainkan peranan profesional dalam perkhidmatan.

Seperti yang disuarakan Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) Matron Ramziah Ahmad, ia merupakan objektif persatuan itu untuk melihat lebih ramai jururawat berijazah dikeluarkan di negara ini.

"Dengan lebih banyak jururawat berijazah, kualiti penjagaan kejururawatan dapat dicapai. Dengan adanya jururawat berijazah sama ada dengan ijazah, ijazah sarjana atau PhD, mereka dapat memberikan pendapat dan berkongsi pengetahuan dan maklumat mereka dengan para doktor.

"Ini akan memastikan kualiti perkhidmatan kepada para pesakit, asalkan kita dapat melahirkan lebih ramai jururawat berijazah kerana bilangan jururawat berijazah masih kecil," katanya dengan menambah bahawa banyak jururawat matron dan sister sekarang bukan jururawat berijazah.

Terdapat tiga bidang pengkhususan bagi jururawat berijazah -- klinikal, pentadbiran dan pendidik.

Setakat Februari 2010, terdapat sejumlah 40,208 jururawat bekerja di sektor kesihatan awam manakala 16,800 lagi dengan perkhidmatan swasta. Hanya 555 merupakan jururawat berijazah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan manakala 321 dengan sektor swasta.

-- BERNAMA