30 May 2007

Pegawai tidak mesra pelanggan kena tukar

Berita Harian

DICKSON: Jabatan Imigresen menukarkan beberapa pegawainya dari kaunter hadapan yang berurusan dengan orang ramai kepada tugasan dalam pejabat selepas mendapati mereka kurang mesra pelanggan, termasuk sukar senyum ketika melayan pelanggan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wahid Md Don, berkata selain penilaian dari semasa ke semasa, jabatan juga menyiasat aduan orang ramai mengenai mutu perkhidmatan pegawai sebelum menukarkan pegawai terbabit.

Beliau yang enggan menjelaskan jumlah sebenar pegawai yang ditukarkan memberi contoh seorang pegawai kaunter di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya ditukarkan ke cawangan Bukit Kayu Hitam, Kedah dan melakukan kerja dalam pejabat kerana tidak mesra pelanggan.

"Penilaian mutu perkhidmatan pegawai dibuat penyelia dan berdasarkan aduan awam, termasuk melalui peti aduan di setiap pejabat Imigresen. Laporan mutu perkhidmatan pegawai peringkat cawangan dibuat setiap minggu dan dihantar ke ibu pejabat setiap bulan.

"Ada kes sebelum ini membabitkan pegawai yang ditukarkan dalam tempoh 24 jam kerana tidak mesra pelanggan," katanya selepas perbarisan tamat latihan Kursus Induksi Umum dan Khusus Pegawai Imigresen KP 17 Siri 1/2007 di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM), dekat sini, semalam.

Katanya, jabatan juga melancarkan kursus untuk menerapkan amalan mesra pelanggan, termasuk senyum ketika bertugas dengan peringkat permulaan membabitkan pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Johor Bahru.

"Kursus yang dikendalikan perunding berkelayakan akan dibuat berperingkat untuk lebih 8,000 pegawai kita, terutama yang bertugas di kaunter hadapan dan sering berurusan dengan orang ramai," katanya.

Wahid berkata, pegawai juga diingatkan supaya tidak prejudis kepada pelancong negara tertentu seperti Afrika dan Indonesia yang selama ini sering dikaitkan dengan pelbagai kesalahan imigresen.

"Layan mereka macam biasa dan mesra... jika ada kecurigaan terhadap pelancong tertentu, laporkan kepada pegawai atasan supaya tindakan lanjut dapat diambil, bukan menimbulkan rasa kurang selesa pelancong," katanya.

Mengenai penggunaan i-KAD oleh pelajar asing yang dilancarkan kelmarin, beliau berkata, pelajar tidak perlu membawa pasport ketika di luar kampus dan pengeluaran kepada 66,000 pelajar asing diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

"Kad juga akan diberikan kepada pekerja asing yang setakat ini berjumlah kira-kira dua juta, tetapi prosesnya akan mengambil masa, kecuali pekerja baru yang akan terus diberikan i-KAD sejurus tiba di negara ini," katanya.

No comments: