30 May 2007

JKR wajar henti tuduh-menuduh

Berita Harian

SIKAP menuding jari kepada pihak lain atas kesalahan yang perlu dipikul sendiri menyebabkan Jabatan Kerja Raya (JKR) terus diuji. Terbaru, 20 siling Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah bernilai RM468 juta runtuh pada 27 Mei lalu. Mujurlah kejadian itu tidak membabitkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Apabila menyentuh mengenai JKR, pasti ramai terbayang gelagat Menterinya yang sentiasa mempunyai alasan untuk mempertahankan kementeriannya. Kenyataan demi kenyataan yang keluar seolah-olah menyatakan bahawa kementerian beliau melakukan tugas terbaik dan kejadian yang berlaku berpunca daripada pihak lain. Perdebatan beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Ahmad berhubung isu kebocoran bumbung Parlimen yang sudah diubah suai dengan kos peruntukan oleh kerajaan RM90 juta tetapi gagal mengambil kira aspek kalis air pada struktur bumbung memperlihatkan kepincangan dari sudut teknikal jabatan berkenaan.

Tindakan ini dianggap kurang bijak kerana ia memberi kesan kepada kerajaan. Perdana Menteri mengarahkan kementerian terbabit supaya menghentikan tuduh-menuduh secara terbuka berhubung siapa yang bertanggungjawab dalam isu kelemahan penyelenggaraan bangunan kerajaan. Secara tidak langsung perdebatan dengan hujah tidak meyakinkan daripada menteri berkenaan memberi gambaran negatif kepada rakyat berhubung cara pentadbiran kerajaan.

Pasti banyak persoalan berlegar pada fikiran rakyat mengenai bagaimana pemilihan kontraktor dilakukan, bagaimana JKR menilai aspek kualiti bangunan selamat dan adakah kerajaan membazirkan duit rakyat demi menguntungkan pihak tertentu.

Sebagai rakyat Malaysia dan melalui hampir 50 tahun kemerdekaan negara, saya berasa isu seperti ini perlu ditangani dengan bijak oleh kementerian terbabit dan menunjukkan kepada masyarakat luar bahawa Malaysia mempunyai pegawai bertauliah dari institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Justeru, bagi saya ini bukanlah masanya menuding jari mencari kesalahan orang lain, tetapi ini adalah masa untuk kementerian terbabit menyingkap semula adakah setiap kakitangannya melaksanakan tugas mengikut prosedur operasi yang memenuhi garis panduan dan piawaian yang ditetapkan oleh jabatan. Setiap laporan yang dikeluarkan pegawai berhubung aspek penyelenggaraan perlu dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan laporan yang dibuat adalah telus dan tidak dipengaruhi unsur seperti rasuah.

Kepada pegawai JKR terbabit, anda diberi satu tanggungjawab untuk memastikan aspek penyelenggaraan dan keselamatan bangunan selamat digunakan. Bertindak lebih awal sebelum kejadian kerosakan bangunan berlaku dan pastikan kerja penyelenggaraan dilakukan dari semasa ke semasa.

OTHMAN ISMAIL
Pasir Panjang,
Selangor Darul Ehsan.

No comments: