27 May 2007

Rasuah tidak berkaitan dengan kenaikan gaji

Utusan Online

Pendapat
KEMAMPUAN kewangan yang kurang daripada keperluan boleh menyebabkan berlakunya macam-macam perlakuan, termasuk kemungkaran rasuah yang bukan sahaja boleh menyebabkan pemberi dan penerima boleh dihukum berasaskan hukum sivil, tetapi ia berdosa di sisi agama.

Amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang akan bertindak lebih tegas terhadap mana-mana pegawai, anggota dan kakitangan yang didapati masih terlibat dengan rasuah selepas mereka menikmati gaji baru Julai nanti, membuktikan bahawa amalan itu adalah suatu fenomena sebelum ini.

Kenaikan gaji tambahan 20 peratus lagi dari kenaikan untuk kakitangan awam sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri pastinya kerana mengambil kira tentang masalah dan faktor kemampuan kewangan kurang daripada keperluan anggota polis sebelum ini yang secara tidak langsung berlakunya fenomena rasuah.

Walaupun rasuah berlaku dalam perkhidmatan-perkhidmatan lain juga dengan nilainya dan jumlah angkanya jauh lebih besar, namun perkhidmatan polis adalah paling dilihat berpotensi terdedah kepada amalan rasuah. Ia sering dipandang prejudis berkaitan dengan rasuah kerana skim gajinya murah berbanding perkhidmatan-perkhidmatan lain.

Tetapi apabila kemampuan kewangan melebihi keperluan, tetapi masih juga terlibat dengan rasuah, maka apa lagi alasan yang boleh dibuat selain daripada menyatakan kesimpulan bahawa yang terlibat dengan rasuah itu sememangnya mahu terbabit bersama rasuah.

Sama ada kenaikan gaji boleh menyumbangkan kepada terhapusnya amalan rasuah, boleh dilihat kepada sama ada masih terus wujud atau perlunya dimansuhkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang diwujudkan khusus bagi memerangi amalan itu.

Kalau amalan rasuah sudah tidak berlaku lagi, BPR dengan sendirinya hilang fungsi dan jika kewujudannya terus dikekalkan, ia akan dikategori sebagai suatu pembaziran termasuk dalam bentuk tanggungan bayar gaji kakitangan untuk satu perkhidmatan yang tidak ada kerja yang perlu dibuat.

Andainya BPR terus wujud, maknanya amalan rasuah masih lagi menjadi suatu ancaman yang perlu diperangi dan kenaikan gaji bukan satu formula yang tepat, macam kempen antirokok, macam mana boleh dianggap berjaya kalau agensi khusus bagi industri penanaman tembakau masih lagi terus wujud.

Kalau amalan rasuah memang sudah berkurangan tetapi belum terhapus sepenuhnya menjadikan BPR masih perlu wujud, ia tidak lagi perlu wujud sebagai sebuah agensi khusus, sebaliknya atas nama satu unit bagi mana-mana agensi yang sesuai dengan bidang tugasnya.

Sesungguhnya ada orang berbangga kerana di negara atau negerinya wujud bangunan-bangunan hospital yang banyak dengan kelengkapan serba canggih sebagai lambang pencapaian kemajuan. Tetapi kepada mereka yang tugasnya memerangi penyakit tanpa melihat laba berganda, semakin banyak dan semakin besar hospital yang dibina, akan menjadikannya bertambah risau.

Ini adalah kerana percambahan dan pembesaran hospital membuktikan bahawa permintaan terhadap pemeriksaan kesihatan dan perubatan sangat tinggi dan terdesak, sekali gus memberi bilangan pesakit di sesebuah negara dan negeri itu sentiasa bertambah.

Apakah sesuatu yang membanggakan sesebuah negara atau negeri dengan bilangan rakyatnya yang sakit semakin hari semakin bertambah. Bukankah rakyat yang sihat jauh lebih berguna kepada agama, bangsa dan negara berbanding dengan rakyat yang sakit dan terlantar di hospital?

Begitulah juga dalam kes rasuah, kalau perkhidmatan BPR diberikan suntikan kecanggihan dan jumlah anggota BPR ditambah menjadi lebih ramai, bermakna masalah rasuah kian berleluasa.

Rakyat yang kreatif pemikiran akan dapat melihat sama ada amalan rasuah akan berkurangan atau bertambah. Maka ia ada atau tidak rasuah itu bergantung kepada saiz perkhidmatan BPR sendiri.

– RAMLI ABDUL HALIM,

Kota Bharu, Kelantan.

No comments: